Carian
Perbezaan Antara Gula Perang Dan Gula Merah
October 14, 2024 Lina Rosli

Secara umumnya, gula merah dan gula perang adalah dua jenis gula yang sering digunakan di dalam masakan – selain dari gula putih.

Dan kebiasaannya, gula merah ini digunakan oleh masyarakat di kawasan pantai timur Malaysia seperti Terengganu dan juga Kelantan yang mana gula merah ini dipanggil nisan. Selain itu, gula merah tebu juga disebut sebagai gulo saka bagi masyarakat lokal Minangkabau.

Secara umumnya, ramai dalam kalangan individu yang mungkin akan keliru dengan kedua-dua jenis gula ini. Terdapat beberapa perbezaan penting antara keduanya yang perlu diketahui oleh setiap tukang masak.

Perbezaan Gula Merah Dan Gula Perang

Di bawah ini, Tajria akan berkongsikan perbezaan di antara gula merah dan gula perang yang perlu anda ketahui.

Apa Itu Gula Merah?

Gula merah merupakan jenis gula yang dihasilkan daripada nira kelapa atau nira tebu, melalui proses pembuatan yang kurang ditapis. Ini menyebabkan gula merah mengekalkan banyak mineral semula jadi seperti kalium, zat besi dan magnesium.

Bentuknya yang sering kali didapati dalam ketulan atau serbuk dan warnanya yang gelap, biasanya coklat kemerahan.

Rasa gula merah lebih kaya dan kompleks dengan sedikit nota karamel yang kuat, menjadikannya pilihan utama dalam hidangan seperti rendang, masak lemak, sambal, kari dan juga kuih-muih tradisional.

Apa Itu Gula Perang?

Sebaliknya, gula perang mempunyai asal-usul yang berbeza. Ia adalah gula pasir putih yang telah dicampurkan dengan molases, iaitu sirap pekat yang diperoleh daripada proses penapisan gula.

Dengan kehadiran molases ini, ia memberikan gula perang warna coklat muda atau gelap, bergantung pada kuantiti molases yang ditambah.

Selain itu, gula perang lebih diproses berbanding gula merah dan tidak mengandungi mineral semula jadi yang banyak. Rasanya manis turut mempunyai rasa yang seakan ada sedikit sentuhan karamel, tetapi tidak sekuat gula merah.

Di dalam dunia pembuatan roti dan pencuci mulut, gula perang sangat dihargai kerana ia memberikan kelembapan tambahan kepada biskut, kek, dan juga memberikan tekstur yang lebih lembut pada hasil masakan.

Penggunaan Gula Merah Dan Gula Perang Di Dalam Masakan

Dari segi penggunaan, gula merah lebih sering digunakan dalam masakan tradisional untuk memberikan rasa yang lebih mendalam dan unik. Ia sering digunakan dalam pembuatan sos, perapan dan juga minuman tradisional seperti air nira.

Sebaliknya, gula perang lebih popular dalam pembuatan roti, kek dan biskut kerana sifatnya yang mampu menambah kelembapan kepada produk yang dihasilkan. Gula perang juga digunakan dalam beberapa sos barbeku dan kari, serta beberapa jenis minuman terutamanya dalam masakan barat.

Walaupun kedua-dua jenis gula ini mungkin kelihatan serupa, perbezaan dari segi proses pembuatan, kandungan nutrisi, rasa dan kegunaannya membuatkan setiap gula ini unik dan mempunyai peranannya tersendiri dalam dunia masakan.

Memahami perbezaan ini penting untuk memastikan hasil masakan yang diinginkan tercapai, sama ada anda ingin menghasilkan hidangan tradisional dengan rasa asli atau pencuci mulut yang lembut dan beraroma.

Komen