Ketika cuaca panas terik melanda negara, bukan sahaja risiko strok haba yang perlu diwaspadai, tetapi juga strok iskemik yang boleh berlaku secara tiba-tiba. Peningkatan suhu badan akibat cuaca panas boleh menyebabkan tekanan pada sistem kardiovaskular, yang seterusnya boleh meningkatkan risiko serangan strok, terutamanya di kalangan individu yang sudah mempunyai faktor risiko seperti tekanan darah tinggi atau diabetes.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), strok telah menjadi punca kematian ketiga paling biasa di Malaysia pada tahun 2023. Menjelang tahun 2040, strok diramalkan menjadi punca kedua kematian di negara ini, dengan satu daripada empat rakyat Malaysia berpotensi diserang strok jika langkah pencegahan tidak diambil. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu memberi perhatian serius terhadap pencegahan dan rawatan strok.
Bercakap mengenai strok iskemik, keadaan ini berlaku apabila bekalan darah ke otak tersekat. Keadaan ini menghalang tisu otak daripada menerima oksigen dan nutrien, menyebabkan kematian sel otak dalam masa beberapa minit sahaja.
Antara gejala strok iskemik termasuklah:
- kelumpuhan otot
- gangguan penglihatan
- kesukaran bercakap
- pelbagai masalah lain yang boleh menjejaskan aktiviti harian
‘Golden Hour’: Masa Penting untuk Tindakan Cepat Mencegah Strok
Apabila serangan strok berlaku, masa adalah segala-galanya. Istilah ‘Golden Hour’ merujuk kepada tempoh masa yang kritikal untuk memulihkan bekalan darah ke otak selepas saluran darah tersumbat.
Dalam tempoh ini, intervensi perubatan yang segera dan tepat dapat meningkatkan peluang pemulihan dan mengurangkan risiko hilang keupayaan jangka panjang atau kematian.
Menurut Dr Kok Chin Yong, Pakar Perunding Neurologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), menyatakan bahawa rawatan perubatan awal sangat penting untuk meminimumkan kerosakan pada otak.
Rawatan seperti trombolisis, yang melibatkan pemberian ubat untuk melarutkan darah beku, mesti dilakukan dalam tempoh 4.5 jam dari permulaan strok. Bagi pesakit dengan darah beku yang lebih besar, trombektomi mekanikal digunakan untuk mengeluarkan darah beku dari saluran darah.
Sementara bagi pesakit strok dengan darah beku yang lebih besar, prosedur trombektomi mekanikal akan dilakukan. Prosedur ini melibatkan penggunaan peranti untuk mengeluarkan darah beku secara fizikal, sama seperti prosedur angioplasti jantung yang mana doktor pakar akan menggunakan kerangka besi (stent retriever) untuk mengembang di sekeliling darah beku, membolehkan darah beku itu ditarik keluar bersama-sama dengan alat kateter aspirasi – alat yang digunakan untuk menyedut darah beku keluar dari saluran darah.
Trombektomi mekanikal paling berkesan apabila dijalankan dalam tempoh masa 6 jam selepas serangan strok tetapi ia masih boleh memberi manfaat kepada pesakit jika dilakukan dalam masa 24 jam dalam kes tertentu.
Kajian juga menunjukkan bahawa apabila trombolisis dijalankan dalam tempoh masa ‘the golden hour’, ia meningkatkan kebolehan pesakit strok untuk bergerak secara berdikari sebanyak 30% pada tiga bulan selepas strok, membolehkan pesakit menguruskan aktiviti harian mereka dengan kurang bantuan.
Sementara untuk, trombektomi mekanikal boleh meningkatkan kebolehan berdikari dalam hampir 50% pesakit strok dan mengurangkan simptom selepas strok pada lebih 40% pesakit.
Kepentingan Perlaksanaan Rehabilitasi Selepas Strok
Harus diingatkan, rawatan strok tidak terhenti setakat intervensi semasa ‘Golden Hour’. Rehabilitasi jangka panjang juga memainkan peranan penting dalam membantu pesakit memulihkan keupayaan mereka.
Melalui proses neuroplastik otak, sambungan baru dapat terbentuk untuk menggantikan kawasan otak yang terjejas akibat strok. Dr Kok menekankan bahawa rehabilitasi boleh meningkatkan kualiti hidup dan membantu pesakit menguruskan aktiviti harian mereka dengan lebih baik.
Seterusnya, individu juga masih perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam secara teratur dan pengambilan makanan kaya omega-3 juga boleh mengurangkan risiko strok. Pakar mencadangkan sekurang-kurangnya lima atau lebih hidangan ikan setiap minggu boleh mengurangkan risiko strok sebanyak 60%.
Penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi) dan diabetes adalah faktor risiko utama strok kerana kedua penyakit ini menggalakkan pembentukan plak dalam saluran darah yang berpotensi menyebabkan penyumbatan dalam aliran darah ke otak, seterusnya membawa kepada simptom strok secara tiba-tiba.
Memahami kepentingan rawatan tepat pada masanya dan rehabilitasi selepas strok adalah langkah penting untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit strok. Dengan tindakan yang proaktif dan kesedaran yang lebih tinggi, kita boleh membantu mengurangkan beban strok dalam masyarakat dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.