Baru-baru ini, 4Fingers telah mencipta kejayaan besar dengan meraih pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk 90% daripada cawangannya di seluruh negara.
Pencapaian ini sekaligus menunjukkan komitmen mendalam 4Fingers terhadap pematuhan piawaian halal dan menandakan langkah besar dalam memenuhi keperluan pelanggan yang mementingkan status halal dalam setiap hidangan mereka.
Tambah 4Fingers, untuk cawangan-cawangan baharu, mereka masih lagi dalam proses permohonan mendapatkan sijil halal – ini berikutan sijil halal perlu dimohon setiap kali cawangan baharu dibuka.

Kejayaan ini selari dengan sambutan ulang tahun yang ke-10 4Fingers di Malaysia. Bagi yang tidak mengetahui, 4Fingers menyajikan hidangan ayam goreng rangup dengan pelbagai pilihan perisa seperti Soy Garlic dan Hot Sauce – akan datang bakal menampilkan perisa Rendang yang disajikan bersama Nasi Lemak.
Bercakap mengenai sijil halal lagi, dengan pengiktirafan ini, 4Fingers telah mengesahkan bahawa semua menu 4Fingers, termasuk wingettes dan drumettes yang dilengkapi dengan lapisan sos khas, disediakan dengan penuh teliti serta memberi perhatian khusus kepada kebersihan dan kualiti. Ini memberikan kepastian kepada pelanggan bahawa setiap hidangan yang mereka nikmati mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ketat.

Untuk pengetahuan anda, di peringkat global 4Fingers telah beroperasi sejak 2009 yang mana ia ditubuhkan di Singapura dan kini telah berkembang ke lebih banyak lagi lokasi termasuk Indonesia dan Thailand.
Dengan komitmen terhadap kualiti dan inovasi yang kekal menjadi strategi utama dalam perkembangan jenama ini, 4Fingers bersedia untuk terus berkembang dan membawa lebih banyak tawaran unik kepada pelanggan, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.