MODENAS Memperkenalkan Logo Dan Identiti Baharu Yang Memfokuskan Pengembangan Teknologi Dan Kelestarian

August 28, 2024
syarikat

Lina Rosli

Baru-baru ini, jenama motosikal MODENAS telah melancarkan logo dan identiti jenama baharu mereka, menandakan langkah berani ke arah masa depan yang lebih progresif.

Sebagai syarikat motosikal nasional, MODENAS kini menetapkan hala tuju untuk menjadi ikon mobiliti global dengan memberi penekanan pada pengembangan teknologi, kelestarian, dan inovasi di peringkat antarabangsa.

Logo baharu MODENAS mengekalkan simbol ikonik “M” yang diberi nafas moden, menggambarkan ketepatan dan visi masa depan syarikat. Sementara untuk warna, jenama ini masih mengekalkan penggunaan warna biru dan putih – tetapi ditambah beberapa esen warna kelabu dan platinum yang mencerminkan identiti jenama yang lebih dinamik.

Elemen “Road Star” turut diperkenalkan, melambangkan kepimpinan dan fleksibiliti MODENAS dalam menghadapi cabaran industri masa kini.

Pelancaran identiti baharu ini bukan sekadar penjenamaan semula jenama MODENAS tetapi juga satu deklarasi mengenai komitmen mereka untuk melebarkan sayap mereka ke pasaran global.

Dengan usaha sama strategik bersama jenama-jenama antarabangsa seperti Kawasaki dan Kymco, MODENAS kini bersedia untuk memperkenalkan motosikal mesra alam yang memenuhi piawaian pelepasan global, seperti model KRISS 110 terbaharu yang mematuhi piawaian Euro 4.

Dengan visi baharu ini, MODENAS bukan sahaja mengukuhkan kehadiran mereka di Malaysia, tetapi juga bersedia untuk menakluk pasaran antarabangsa.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd