Carian
Ulasan Samsung Galaxy Z Flip6 – Bawa Jalan-Jalan Kuala Lumpur, Dari Kafe Hingga Ke Canting Batik
September 2, 2024 Lina Rosli

Siapa sahaja yang tidak menggemari telefon pintar yang serba boleh – contohnya seperti merakam gambar dan video tanpa tripod, membantu saya berinteraksi dengan pelancong luar negara ataupun mengubah ayat ringkas kepada ayat yang lebih lengkap dengan tona yang sesuai dan macam-macam lagi.

Jika anda terfikir, apakah peranti yang boleh membuat semua perkara di atas, sudah tentu tidak lain tidak bukan – Samsung Galaxy Z Flip6.

Selama tiga minggu ini, saya telah menguji penggunaan Samsung Galaxy Z Flip6 dan saya harus katakan bahawa telefon ini benar-benar mengubah gaya hidup saya sebagai penulis dan juga cafe hunter.

Dengan reka bentuk lipat yang memikat dan pelbagai ciri canggih, Samsung Galaxy Z Flip6 menawarkan lebih daripada sekadar kemasan yang bergaya. Berikut adalah pandangan mendalam tentang pengalaman saya menggunakan telefon ini dan apa yang menjadikannya pilihan yang menarik.

Apa Yang Menarik Pada Samsung Galaxy ZFlip6?

Secara umumnya, dari segi rekaan, tiada banyak perbezaan yang boleh anda lihat dari segi bentuk dan saiz skrin – jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy Flip5.

Satu perkara yang benar-benar membezakan Galaxy Z Flip6 dengan model yang sebelumnya adalah pada bahagian kamera – yang mana untuk model terkini ini Samsung menampilkan bulatan berwarna sama dengan warna kerangka pada bahagian kamera.

Selain itu, Samsung kali ini turut menambahbaik bahagian engsel dan binaan peranti yang mana ia hadir dengan engsel yang lebih nipis dan sekaligus menjadikan peranti boleh tertutup rapat. Jadinya, anda tidak lagi perlu risau akan kemasukan habuk atau partikel kecil di dalam rongga antara skrin. 

Ia juga menampilkan kemasan sisi yang lebih bersegi serta turut menampilkan kemasan yang kurang berkilau – tidak seperti Samsung Galaxy Z Flip5. Ini sekaligus mengurang risiko peranti tampak kotor dan mempunyai penampilan cap jari yang memerlukan anda untuk mengelapnya secara kerap.

Prestasi Unggul – Snapdragon 8 Gen 3 Dan Kamera Utama 50MP

Dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy, Samsung Galaxy Z Flip6 menawarkan prestasi yang sangat mengagumkan. Saya dapat menjalankan pelbagai aplikasi secara serentak tanpa mengalami sebarang masalah, dan ini sangat penting semasa menjalankan tugas multi-tugasan yang memerlukan banyak aplikasi dibuka secara serentak.

Apa yang paling saya gemari pada siri ZFlip ini adalah kamera utama yang menawarkan hasil gambar yang cukup jelas.

Untuk pengetahuan anda, kamera utama 50MP pada Samsung Galaxy Z Flip6 merupakan peningkatan besar untuk model tahun ini. Apabila saya menggunakan kamera ini dalam cahaya terang, gambar yang dihasilkan sangat tajam dan penuh warna.

Contohnya, gambar di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini, ia hadir dengan warna yang tidak terlalu menyerlah dan kontras yang bersesuaian.

Selain itu, setiap butiran ditangkap dengan jelas, menjadikan gambar-gambar ini sesuai untuk dikongsi di media sosial atau untuk kenangan peribadi.

Ketika keadaan cahaya kurang ideal, seperti pada waktu malam atau dalam ruang yang kurang pencahayaan, kamera ini masih menunjukkan prestasi yang cukup memuaskan. Contohnya, pada gambar makanan di bawah, anda boleh lihat warna hijau daun dan merah kuah dihasilkan dengan baik sekali.

Mod FlexCam adalah salah satu ciri yang sangat saya nikmati. Ia membolehkan saya mengambil gambar dari sudut yang kreatif, dan ia sangat berguna semasa acara atau aktiviti yang memerlukan anda membawa tripod – seperti mengambil gambar berkumpulan di bawah.

Gambar potret yang diambil menggunakan mod ini menunjukkan kedalaman dan tekstur yang menonjolkan subjek dengan latar belakang yang kabur secara semulajadi, memberikan kesan visual yang sangat menarik.

Kamera swafoto 10MP pada Samsung Galxy Z Flip6 menawarkan kualiti gambar yang sangat baik. Hingar pada gambar juga tidak kelihatan terlalu ketara.

Galaxy AI Pembantu Pintar yang Memudahkan Kehidupan

Selain daripada penampilan kamera yang cukup memuaskan, Samsung Galaxy Z Flip6 ini juga turut hadir dengan teknologi unik yang menambah nilai pada pengalaman saya sewaktu menggunakannya.

Teknologi unik yang dimaksudkan saya adalah Galaxy AI. Untuk pengetahuan anda, sebelum Galaxy AI ini ditawarkan di dalam siri peranti boleh-lipat Samsung, ia sebenarnya telahpun hadir pada siri mercu mereka iaitu Siri Samsung Galaxy S24.

Dan kini, penawaran Galaxy AI ini kini telah ditambah baik dan dilengkapi dengan ciri yang lebih mendalam seperti cadangan teks, menterjemah bahasa dan juga melakar ilustrasi yang lebih kompleks.

Bagi saya, salah satu ciri yang saya rasa sangat berguna adalah Interpreter. Dengan fungsi ini, saya dapat menterjemah teks secara langsung, yang sangat memudahkan komunikasi ketika saya berurusan dengan rakan-rakan dari luar negara atau ketika melancong.

Malah, apa yang lebih menarik, anda juga boleh menggunakannya sewaktu menonton drama-drama kegemaran anda – tanpa perlu menunggu terjemahan dialog disertakan. Menarik, bukan?

Seterusnya, ciri Galaxy AI yang lain yang juga saya gemari adalah ciri Sketch to Image. Hal ini kerana, menerusi ciri Sketch to Image, ia membolehkan saya menukar lakaran kasar menjadi imej realistik. Ini adalah alat yang sangat berguna untuk sesiapa yang suka melukis atau mereka bentuk, kerana ia memberikan visual yang lebih terperinci dan menarik berdasarkan lakaran asal.

Untuk individu yang mungkin ingin menambah versatility pada momen-momen potret yang anda rakam, Galaxy AI pada Samsung Galaxy Z Flip6 ini juga dihadirkan dengan satu lagi ciri menarik yang anda boleh cuba iaitu Portrait Studio.

Melaluinya, ia membolehkan saya mengubah gambar menjadi bentuk kartun 3D atau lakaran selain turut memberikan sentuhan kreatif yang unik pada setiap potret. Berikut adalah beberapa contoh gambar potret yang telah saya cuba menggunakan ciri Portrait Studio ini.

Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa ciri penyuntingan yang lain yang canggih yang boleh anda cuba menerusi fungsi Photo Assist di Samsung Galaxy Z Flip6. Antaranya, anda juga boleh menukar beberapa objek di dalam gambar dengan hanya membulatkan gambar yang ingin ditukar.

Malah, untuk mendapatkan hasil gambar yang lebih memuaskan, sebagai contoh sewaktu anda berada di luar. Anda boleh membuang atau menghilangkan objek yang tidak diingini secara terus – menggunakan Generative Edit tanpa perlu memuat turun aplikasi lain.

Bagi kesemua proses penjanaan semula imej ini, ia mengambil masa sekitar 30 hingga 60 saat – yang mana ia juga bergantung kepada kelajuan internet anda pada ketika itu. Selain itu, anda juga perlu melakukan beberapa kali cubaan untuk mendapatkan hasil gambar yang diinginkan – walaupun untuk setiap ilustrasi, Galaxy AI akan hadir dengan beberapa pilihan janaan untuk anda pilih.

Akhir sekali, ciri yang turut mendapat tempat di hati ramai pengguna Samsung Galaxy Z Flip6 adalah ciri Composer – ciri lain yang meningkatkan kelancaran penggunaan telefon ini. Melalui ciri ini, ia akan mencadangkan balasan teks yang sesuai berdasarkan konteks mesej, sama ada balasan formal untuk urusan kerja atau balasan santai untuk perbualan kasual.

Ini benar-benar menjimatkan masa dan membuatkan saya dapat berkomunikasi dengan lebih cepat dan berkesan.

Selain daripada Composer, anda juga boleh mencuba ciri Chat Translation yang mana anda tidak lagi perlu keluar daripada aplikasi permesejan untuk sama ada menerjemah ataupun menukar bahasa komunikasi lain. Ini kerana menerusi fungsi Char Assist, anda boleh terus memahami mesej orang lain (yang menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Inggeris).

Mod Flex Memberikan Kemudahan dan Versatiliti

Jika anda tanya, apakah momen paling ‘flex‘ yang pernah saya lakukan di sepanjang menggunakan Samsung Galaxy Z Flip6, jawapannya pastilah apabila saya tidak perlu menggunakan tripod saya untuk merakam video saya.

Menggunakan Flex Mode di Samsung Galaxy Z Glip6, saya dapat meletakkan telefon pada sudut tertentu dan ia akan berdiri sendiri, membolehkan saya menggunakan kamera dengan lebih mudah tanpa perlu memegang telefon.

Selain daripada merakam gambar, anda juga boleh menggunakan mod Flex ini sewaktu menggunakan berborak menggunakan mod Conversation. Ini juga sangat berguna untuk menonton video atau membuat panggilan video, kerana saya tidak perlu mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan telefon atau menggunakan tripod.

Fungsi ini memberi kebebasan tambahan dalam cara saya menggunakan telefon ini, menjadikannya alat yang sangat fleksibel untuk pelbagai keperluan.

Skrin Luar Bukan Sekadar Hiasan

Samsung turut memperlihatkan pelbagai aktiviti yang boleh pengguna lakukan pada skrin luar Samsung Galaxy Z Flip6 seperti menggunakan hiasan latar boleh bergerak (wallpaper), membalas mesej terus pada skrin luar, melihat paparan jadual harian dan banyak lagi.

Samsung juga memperkenalkan Photo Ambient yang dikuasakan oleh AI, hiasan latar yang akan berubah secara automatik mengikut masa dan cuaca semasa. Ia akan menganalisis hiasan latar anda, kemudian memindahkan jam dan menukar warna bingkai untuk memastikan imej latar belakang tampil lebih menarik dan menonjol.

Dengan kebolehan kustomasi yang lebih baik, saya boleh menyesuaikan tema dan pek ikon mengikut citarasa peribadi. Ciri-ciri baru ini meningkatkan pengalaman pengguna, menjadikan telefon ini bukan sahaja cantik tetapi juga mudah digunakan.

Bateri Dengan Kapasiti Ketahanan Yang Dipertingkatkan

Satu lagi perkara yang menjadikan Samsung Galaxy Z Flip6 lebih baik daripada model yang sebelum ini adalah penawaran bateri yang lebih besar iaitu sebanyak 4000mAh – sekaligus memberikan ketahanan yang sangat baik.

Dengan penggunaan ringan, saya dapat menggunakan telefon ini sepanjang hari tanpa perlu mengecasnya semula. Ketahanan bateri ini adalah tambahan besar, terutama bagi mereka yang sentiasa bergerak dan memerlukan telefon yang boleh bertahan sepanjang hari.

Dari segi pengalaman pengecasannya juga memuaskan kerana ia menawarkan sokongan untuk pengecasan berwayar 25W. Ini memastikan bahawa saya tidak perlu menunggu lama untuk mengecas telefon

Samsung Galaxy Z Flip6 adalah telefon lipat yang memukau dengan reka bentuk yang elegan dan pelbagai ciri canggih. Dari prestasi yang mengagumkan hingga pengalaman kamera yang inovatif, setiap aspek telefon ini direka untuk memenuhi keperluan moden pengguna.

Dengan tiga minggu pengalaman menggunakan telefon ini, saya boleh katakan bahawa Z Flip6 adalah pilihan yang sangat baik bagi mereka yang mencari telefon pintar yang menggabungkan gaya, prestasi, dan fungsi canggih dalam satu pakej.

Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini? Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Samsung Galaxy Z Flip6, ia boleh didapati pada harga bermula:

  • Samsung Galaxy Z Flip6 (12/256GB) – RM 4999
  • Samsung Galaxy Z Flip6 (12/512GB) – RM 5599
Komen