Carian
Lebih 1 Juta Individu Di Malaysia Hadapi Kemurungan – Tips Meningkatkan Kualiti Hidup Anda Setiap Hari
August 30, 2024 Lina Rosli

Dalam kesibukan kehidupan seharian, kita sering terlupa bahawa perubahan kecil dalam rutin harian boleh membawa kesan besar kepada kesejahteraan kita.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, lebih satu juta orang di Malaysia berumur 16 tahun ke atas (kira-kira 4.6%) hidup dengan kemurungan dan jumlah ini telah meningkat dua kali ganda dari 2019 hingga 2023.

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukan sahaja berisiko menghadapi masalah kesihatan mental, tetapi juga berpotensi menghadapi risiko kesihatan fizikal seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes, dan hipertensi.

Walau bagaimanapun, menjalani kehidupan yang lebih baik tidak perlu rumit. Dengan beberapa perubahan mudah dalam tabiat harian, anda boleh meningkatkan kualiti hidup anda.

Bagaimana Cara Untuk Memperbaiki Kualiti Hidup?

Jika anda ingin memperbaiki kesejahteraan minda dan badan, memperbaiki suasana hati atau ingin membuat perubahan yang positif di dalam kehidupan anda, berikut adalah 9 tips yang boleh anda praktikkan untuk mendapatkan kesejahteraan mental dan fizikal selain turut memperbaiki kualiti hidup.

#1 Mulakan Hari Dengan Positiviti

Apa yang dimaksudkan dengan memulakan hari dengan positiviti? Di sini, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan memulakan aktiviti rutin anda pada awal pagi.

Anda boleh cuba untuk bangun 15 minit lebih awal – jika sebelum ini anda kerap tundakan penggera dan bangun lewat. Ini kerana, memulakan hari lebih awal boleh membantu anda melakukan lebih banyak aktiviti daripada biasa.

Sebagai contoh, anda boleh menikmati secawan teh yang tenang, amalkan meditasi atau mindfulness, atau lakukan regangan sambil mendengar muzik kegemaran. Perubahan kecil ini dapat memberikan kesan yang besar terhadap mood dan produktiviti anda sepanjang hari.

#2 Elakkan Daripada Berlaku Tidak Adil Kepada Diri Anda

Unruk pengetahuan anda, suara dalaman anda mempunyai pengaruh yang besar terhadap realiti anda. Jika anda sering menjadi pengkritik diri, cuba tukar cara berfikir anda dengan mengamalkan pengakuan positif.

Sebagai contoh, sekiranya anda berjaya menyiapkan tugasan lebih awal daripada sebelumnya, anda boleh berkata kepada diri sendiri, “Tahniah XX, awak memang handal,” atau anda juga boleh mengusap belakang kepala anda sebagai tanda anda berbangga dengan kejayaan anda.

Dengan melakukan perkara seperti di atas, anda dapat meningkatkan harga diri anda dan membantu anda menghadapi cabaran dengan lebih baik sekaligus membawa kepada pandangan yang lebih positif terhadap kehidupan.

#3 Hadkan Penggunaan Skrin, Lebihkan Aktiviti Bersama Yang Tersayang

Jika diberi peluang untuk menggunakan telefon pintar tanpa had, sudah tentu semua orang akan menjadi juara bagi cabaran ini.

Secara umumnya, skrin akan ada di mana-mana. Sekiranya di pejabat, anda akan menggunakan komputer, sementara jika di luar, anda akan menggunakan telefon pintar pula. Ataupun di rumah, skrin utama anda adalah televisyen.

Untuk memastikan kehidupan anda lebih baik, anda boleh menukar sebahagian daripada masa skrin anda kepada waktu-waktu tanpa elektronik.

Tetapkan masa khusus untuk menghabiskan waktu berkualiti bersama orang tersayang atau terlibat dalam hobi yang anda gemari. Sama ada membaca, melukis atau berkongsi perbualan bermakna, masa tanpa skrin ini dapat memperkayakan hidup anda dan mengeratkan hubungan anda.

#4 Amalkan Tabiat Pemakanan Yang Sihat

Apa yang kita makan memberi kesan kepada tahap tenaga dan kesihatan kita. Jika anda sering memilih makanan ringan yang tidak sihat, secara logiknya, nutrien dan juga vitamin yang diperlukan adalah tidak cukup.

Oleh itu, cuba tukar kepada buah-buahan atau kacang. Pilih makanan seperti yogurt dan mentega kacang yang kaya dengan nutrien dan protein. Perubahan ini bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal anda tetapi juga memberikan tenaga yang berpanjangan.

#5 Luangkan Waktu Untuk Diri Sendiri

Dalam bahasa mudah, anda boleh mengamalkan ‘me time‘ untuk anda mengenalpasti apakah kesukaran yang anda hadapi, ataupun apakah perkara menarik yang perlu anda raikan.

Jadinya, sekiranya anda berhadapan dengan beberapa kesukaran, menulis dalam jurnal boleh membantu mengubah perspektif anda. Luangkan lima minit setiap hari untuk menulis beberapa perkara yang anda syukuri, seperti menikmati makanan kegemaran, bertemu rakan atau mendapatkan rehat yang cukup.

Amalan ini mengalihkan fokus anda dari apa yang kekurangan kepada apa yang melimpah dalam hidup, membawa rasa kepuasan dan kegembiraan.

#6 Satu Tumpuan Untuk Satu-Satu Masa

Pada pendapat peribadi penulis, tidak salah untuk anda menjadi lebih produktif dan melakukan beberapa kerja secara serentak. Walau bagaimanapun, untuk kebanyakan waktu, terdapat segelintir individu yang mungkin akan menghadapi kesukaran untuk melakukannya dan akhirnya akan menyebabkan tekanan.

Oleh itu, bagi menyelesaikan isu ini, sebaliknya, cuba tumpukan masa untuk bekerja pada satu tugas utama pada satu masa. Ini membolehkan anda menyelesaikan tugas dengan lebih berkesan tanpa gangguan, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan rasa tertekan.

#7 Pentingnya Mendapatkan Tidur Yang Cukup

Jika dilihat pada mata kasar, tidur lewat mungkin kelihatan produktif, tetapi ia sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan anda.

Sekiranya boleh, pastikan anda mendapatkan tidur lebih awal – ini bagi memastikan anda daat memulakan hari baru dengan segar.

Amalkan rutin tidur yang baik, seperti menjauhkan telefon pintar dan mendengar muzik tenang atau meditasi sebelum tidur. Harus diingatkan, mendapatkan tidur yang berkualiti adalah salah satu perkara terbaik yang anda boleh lakukan untuk kesihatan dan kebahagiaan anda.

#8 Tarik Nafas Dan Lihat Situasi Secara Meluas

Apabila berada di situasi di mana anda perlu bertindak pantas, kadangkala ia boleh menyebabkan anda tertekan dengan kekangan yang ada.

Oleh itu, jika anda berhadapan dengan situasi emosional, tarik nafas dalam-dalam dan elakkan membuat reaksi yang mungkin anda sesali. Pertimbangkan pendekatan yang lebih bijaksana dengan menilai situasi dan potensi hasilnya, untuk mencapai interaksi yang lebih membina dan keadaan fikiran yang lebih tenang.

#9 Ubah Cara Anda Berbelanja – Urus Kewangan Anda

Berbelanja boleh menjadi cara yang baik untuk memanjakan diri. Tapi harus diingatkan bahawa anda juga perlu anda cara pengurusan perbelanjaan yang bersesuaian. Sebagai contoh, sewaktu berbelanja, pastikan anda memantau perbelanjaan dan menetapkan matlamat kewangan – ini bagai memastikan bahawa ia sentiasa dalam kawalan.

Selain itu, anda disarankan untuk membuat senarai perbelanjaan sebelum membeli barangan dan menggunakan kad diskaun atau kupon dapat membantu anda berjimat dan mengelakkan pembelian impulsif. Anda juga boleh membandingkan harga dari beberapa kedai sebelum membuat pembelian besar dan menyimpan wang dalam tabung kecemasan untuk menghadapi situasi tidak dijangka.

Pada 9.9 ini, pertimbangkan untuk menyertai Jualan Mega Jenama Lazada, bermula dari 8 September (8 malam) hingga 11 September 2024. Sewaktu jualan ini, anda boleh nikmati tawaran hebat dari jenama tempatan dan antarabangsa dengan diskaun sehingga 90%. Di Lazada, ada boleh melakukan penjimatan besar dengan baucar selain turut boleh menikmati promosi penghantaran percuma di seluruh platform.

Komen