Perkhidmatan LRT, MRT, Monorel Dan BRT Akan Beroperasi 24 Jam Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67

August 30, 2024
destinasi

Lina Rosli

Rapid KL mengumumkan yang mana semua perkhidmatan rel mereka iaitu LRT, MRT, monorel serta Sunway BRT dan laluan bas terpilih akan beroperasi selama 24 jam bermula dari jam 6.00 pagi pada 30 Ogos hingga jam 11.30 malam pada 31 Ogos 2024.

Inisiatif ini adalah yang pertama kali dilaksanakan sebagai sokongan kepada sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-67.

Dengan ini, ia sekaligus memberi peluang kepada warga kota untuk menyaksikan sambutan ambang Merdeka dan Hari Kebangsaan di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur dan Putrajaya tanpa terjejas oleh kesesakan lalu lintas. Malah, bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam, pihak Prasarana juga turut menyediakan lebih 10,000 petak parkir kenderaan di beberapa stesen rel terpilih.

Bukan itu sahaja, Rapid KL akan menyediakan sekitar 60 bas percuma dari MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya mulai jam 6 petang pada 30 Ogos 2024 hingga 3 petang pada 31 Ogos 2024.

Selain itu, sebanyak 9 buah bas juga akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi sekitar Putrajaya – termasuk Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 31 Ogos 2024.

Sekiranya anda pengguna kad Touch ‘n Go, anda juga dinasihatkan untuk memastikan baki yang di dalam kad atau akaun anda bagi memastikan perjalanan yang lancar.

Seramai lebih 4,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL akan bertugas secara syif untuk memastikan kelancaran operasi sepanjang 24 jam dan memberikan pengalaman perjalanan yang baik sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 pada tahun 2024.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd