Teh Turki – Apa Yang Membezakannya Dengan Teh Yang Lain?

September 11, 2024
fakta menarik

Lina Rosli

Untuk pengetahuan anda, selain kopi, Türkiye sebenarnya turut popular dengan sajian teh – yang mana ia menjadi satu kelaziman budaya dalam kalangan masyarakat mereka. Daripada sarapan hingga ke makan malam, teh sentiasa menjadi peneman dalam setiap waktu makan mereka.

Apa yang menarik juga, selain daripada bilangan penggemar teh yang tinggi, Türkiye juga merupakan antara pengeluar teh terbesar global yang mana mereka menghasilkan kira-kira 1.5 juta tan teh setiap tahun.

Pada tahun 2022 yang lalu, teh Turki turut mula disenaraikan di dalam Senarai Perwakilan UNESCO Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara menerusi permohonan Türkiye bersama Azerbaijian. 

Apa Yang Membezakan Teh Turki Dengan Teh Yang Lain?

Secara umumnya, teh Turki memiliki keunikan tersendiri yang menjadikannya istimewa, bukan hanya dari segi penyediaannya tetapi juga dalam aspek rasa dan budaya yang menyelubunginya.

Salah satu ciri paling ketara ialah penggunaan teko dua tingkat yang dikenali sebagai çaydanlık untuk menyeduh teh. Çaydanlık terdiri daripada dua teko: teko bawah digunakan untuk memanaskan air, manakala teko atas diisi dengan teh pekat.

Cara penyediaan ini memberi fleksibiliti kepada penggemar teh untuk menentukan kepekatan teh mengikut cita rasa mereka. Apabila disajikan, air teh pekat dari teko atas dicampurkan dengan air panas dari teko bawah, menghasilkan teh yang boleh diubah tahap kepekatannya dari ringan hingga pekat.

Berbanding teh di negara-negara lain seperti India yang sering disajikan dengan susu (chai), atau teh British yang dihidangkan bersama gula dan susu, akan tetapi teh Turki biasanya disajikan tanpa susu.

Namun, untuk individu yang menggemari rasa yang lebih manis, mereka boleh menambah gula batu ke dalam cawan teh tersebut. – walaupun secara tradisinya, masyarakat di Türkiye menikmatinya secara kosong untuk mendapatkany rasa asli yang pekat.

Daun Teh Turki Ditanam Dan Diperoleh Dari Rize, Wilayah Yang Terletak Di Laut Hitam

Seperti yang dinyatakan pada awal pengenalan teh Turki, negara Türkiye merupakan pengeluar teh terbesar global yang mana daun teh yang mereka gunakan adalah daun teh hitam yang ditanam di kawasan Rize – 30% lagi penanaman teh dilakukan di kawasan lain.

Rize merupakan sebuah wilayah yang terletak di tebing Laut Hitam. Tanah yang subur di kawasan ini memberi ciri khas kepada teh yang ditanam, menjadikannya lebih beraroma dan mempunyai rasa yang lebih kaya berbanding teh dari kawasan lain.

Teh hitam ini tidak dicampurkan dengan bahan tambahan seperti susu atau madu, melainkan dihidangkan secara asli, mengekalkan rasa semula jadi daun teh.

Untuk pengetahuan anda juga, untuk mendapatkan daun teh ini, petani akan menuai teh sebanyak 3 kali setahun iaitu mulai Mei hingga Jun, Julai hingga Ogos dan September hingga Oktober.

Selain di Rize, terdapat beberapa lagi kawasan yang turut menanam daun teh hitam iaitu di Artvin, Trabzon dan Ordu – serta satu lagi kawasan khusus di Giresun.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd