Apakah yang anda lakukan sekiranya anda mempunyai lambakan pakaian lama yang tidak lagi sesuai untuk dipakai? Adakah anda akan membiarkannya kekal di dalam almari untuk tempoh yang lama, ataupun anda bungkus dan buang pakaian itu di dalam tong sampah?
Tahukah anda pakaian-pakaian lama ini sebenarnya boleh didermakan ke beberapa jenama untuk dikitar semula?
Untuk pengetahuan anda, antara jenama fesyen yang aktif dalam mengumpulkan dan mengitar semula pakaian lama ini termasuklah H&M, UNIQLO dan baru-baru ini ZALORA yang mana mereka hadir dengan program inisiatif yang tersendiri untuk menguruskan semula pakaian lama ini.
Sekiranya anda berminat untuk mengetahui cara-cara derma dan di manakah lokasi yang sesuai untuk anda hantarkan pakaian anda, di bawah Tajria akan berkongsikan kepada anda beberapa panduan penting yang perlu anda ikuti.
#1 H&M – Dapatkan Kupon Diskaun Apabila Anda Menderma Pakaian Lama
H&M adalah salah satu jenama yang mula memperkenalkan inisiatif pengumpulan pakaian pada tahun 2013 sebagai sebahagian daripada usaha global mereka untuk mengurangkan sisa fabrik dan tekstil.
Oleh itu, jenama ini menggalakkan para pelanggan mereka untuk mengumpul dan membawa pakaian lama, tidak kira jenama, ke mana-mana cawangan H&M untuk dikitar semula.
Sebagai ganjaran, H&M menawarkan kupon diskaun mencecah 15% yang boleh digunakan untuk pembelian seterusnya. Ini bukan sahaja membantu mengosongkan almari tetapi juga memberi peluang untuk berbelanja dengan lebih bijak.
Bagaimana Cara Menderma Pakaian Lama Di H&M:
- Pertama, anda boleh sama ada serahkan pakaian di kaunter ataupun masukkan pakaian lama ke dalam kotak pakaian.
- Setelah selesai, dapatkan bantuan daripada pekerja mereka untuk memberikan kupon diskaun secara digital sebagai ganjaran.
Untuk mula menderma, anda boleh membawa pakaian anda ke mana-mana cawangan H&M terdekat.
#2 Re.UNIQLO – Terhad Kepada Pakaian UNIQLO Sahaja
UNIQLO mula memperkenalkan program kitar semula “All-Product Recycling Initiative” pada tahun 2006 di Jepun, dan kini meliputi seluruh dunia termasuk Malaysia. Inisiatif ini menerima pakaian UNIQLO terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan melalui pelbagai NGO.
Program ini memastikan pakaian anda tidak terbuang begitu sahaja dan memberikan kehidupan kedua kepada mereka yang memerlukan.
Bagaimana Cara Menderma Pakaian Lama Anda Di UNIQLO:
Untuk pengetahuan anda, kotak RE.UNIQLO boleh didapati di kedai UNIQLO di seluruh negara. Untuk mula menderma:
- Hanya barangan UNIQLO sahaja yang diterima untuk dikitar semula.
- Pastikan anda membasuh terlebih dahulu pakaian anda sebelum menderma – ini bagi memastikan item berada dalam keadaan terbaik.
- Periksa setiap poket atau bahagian pakaian agar tiada barang peribadi yang termasuk bersama sumbangan.
Selain itu, sekiranya terdapat pakaian yang ingin anda gunakan semula, anda boleh hantarkannya ke Re.UNIQLO Studio yang terdapat di DA Square , Fahrenheit 88 dan juga The Exchange TRX yang mana mereka menyediakan servis membaiki koyak atau lubang pada pakaian anda.
#3 ZALORA Snap and Drop – Nikmati Pulangan Tunai Sehingga RM20
Selain dua jenama global di atas, ZALORA Malaysia turut memperkenalkan inisiatif “Snap and Drop” pada tahun ini – selepas pengenalannya di Singapura pada tahun 2023.
Program ini memudahkan pelanggan mendermakan pakaian terpakai dengan hanya mengambil gambar pakaian yang ingin didermakan dan menghantarnya ke kotak-kotak pakaian yang tersedia di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan juga Melaka.
Unruk pengetahuan anda, di Malaysia, ZALORA telah bekerjasama dengan Life Line Clothing, pengumpul tekstil tempatan untuk menjayakan program ini.
Cara Menderma Pakaian Atau Item Fesyen Di ZALORA:
- Masukkan mana-mana pakaian, kasut, beg atau fabrik lain (dalam apa jua keadaan) ke dalam kotak atau beg.
- Ambil gambar beg yang mengandungi barang yang tidak diingini di hadapan kotak pengumpulan di salah satu lokasi drop-off.
- Masukkan barang-barang anda ke dalam kotak pengumpulan dan catat nombor kotak pengumpulan (WBXXXX).
- Isi borang Snap & Drop dan dapatkan pulangan tunai RM20 sebagai tanda penghargaan.
Harus diingatkan bahawa pulangan tunai yang diterima hanya boleh ditebus sekali setiap bulan, dan pulangan tersebut akan tamat tempoh dalam masa 1 bulan dari tarikh ia dimasukkan di dalam akaun anda.