Sejak kebelakangan ini, kebanyakan pasaraya dilihat mula menjual dan menawarkan promosi untuk buah anggur muscat – atau turut dikenali sebagai Shine Muscat Grapes.
Untuk pengetahuan anda, Shine Muscat Grapes bukan sekadar buah anggur biasa. Buah ini adalah simbol kemewahan dan keistimewaan dalam dunia buah-buahan Jepun. Dengan saiznya yang besar dan rasa manis yang menggoda, Shine Muscat telah menetapkan piawaian tinggi dalam kategori buah premium.
Di Sebalik Buah Shine Muscat
Secara umumnya, sejarah pertanian anggur di Jepun telah berlangsung selama lebih dari 1,300 tahun. Dan terdapat satu kawasan yang terkenal dengan tanahnya yang subur dan iklim yang ideal, iaitu di lembah Kofu, telah menjadi kawasan untuk menanam buah-buahan berkualiti tinggi. Keistimewaan ini telah menghasilkan varieti anggur Shine Muscat yang terkenal dengan kulitnya yang boleh dimakan dan rasa manisnya yang luar biasa.
Anggur Shine Muscat, yang kini mendapat pengiktirafan di seluruh dunia, adalah contoh terbaik hasil pertanian di Yamanashi. Keisuke Maruyama, seorang ahli vitikultur muda dan pengusaha generasi ketiga, memainkan peranan penting dalam memperkenalkan anggur ini ke pasaran antarabangsa.
Untuk pengetahuan anda, Shine Muscat adalah varieti anggur yang dihasilkan secara buatan melalui penggabungan dua jenis anggur di Jepun. Menurut Organisasi Penyelidikan Pertanian dan Makanan Kebangsaan, anggur ini diperkenalkan kepada orang ramai pada tahun 2003 selepas percubaan yang dimulakan pada tahun 1997.
Anggur yang berwarna kuning-hijau cerah ini bukan sahaja mewah tetapi juga bersaiz besar, tanpa biji, dan sangat mudah dimakan. Harganya yang tinggi menjadikannya sukar untuk dijadikan snek harian. Beberapa ikatan anggur ini boleh mencecah ¥10,400 (atau RM318) di Jepun.
Di Korea Selatan, harga anggur ini boleh mencecah antara 20,000 hingga 24,000 won per 2 kilogram (atau RM66). Manakala di China, mereka juga menawarkan varieti yang lebih murah yang dijual sekitar 55 yuan (atau RM33).
Malah, kini negara-negara seperti Brazil dan Peru telah mula menghasilkan versi serantau Shine Muscat, membuktikan bahawa permintaan untuk buah mewah ini masih hidup dan berkembang.
Apakah Perbezaan Shine Muscat dengan Anggur Biasa?
Bagi yang tidak begitu mengetahui tentang Shine Muscat, buah ini dikenali kerana saiznya yang besar, berbentuk bulat, dan rasa manis yang luar biasa. Ia juga mempunyai kulit yang nipis dan mudah dikunyah – isinya sangat juicy dan berair.
Shine Muscat berbeza daripada anggur biasa dalam beberapa aspek penting – rasa, bentuk dan warna serta proses penanaman. Dari segi rasa, Shine Muscat terkenal dengan kemanisan yang kaya dan tekstur rangup, sementara anggur biasa mungkin mempunyai rasa yang lebih sederhana dan tekstur yang tidak begitu unik. Kulit Shine Muscat juga boleh dimakan dan mempunyai kehalusan yang membezakannya daripada anggur biasa, yang sering kali mempunyai kulit lebih tebal atau kasar.
Dari segi bentuk dan warna, Shine Muscat mempunyai kulit berwarna kuning-hijau yang cerah dan bentuknya juga lebih besar, menjadikannya kelihatan lebih eksklusif.
Seterusnya, teknik penanaman Shine Muscat juga lebih rumit yang mana ia melibatkan proses penipisan buah dan penggunaan beg kertas kalis air untuk melindungi buah dari kerosakan dan memastikan kualiti. Sebaliknya, anggur biasa mungkin ditanam menggunakan teknik yang lebih standard tanpa perlindungan khusus.
Setiap gugus Shine Musca boleh mencapai sehingga 100 biji, tetapi jumlah ini akan dikurangkan kepada 30 biji sekitar dua bulan sebelum penuaian. Penuaian Shine Muscat biasanya dilakukan dari pertengahan Ogos hingga September.
Mengapa Harga Shine Muscat Mahal?
Terdapat dua faktor utama yang menjelaskan perkara ini, iaitu geografi dan budaya. Dari segi geografi, Jepun mempunyai ruang pertumbuhan yang terhad disebabkan oleh topografi yang bergunung-ganang. Ia sekaligus mengakibatkan kesukaran dalam menanam anggur dalam kuantiti besar. Selain itu, bilangan pengeluar yang terhad juga menyumbang kepada harga yang tinggi.
Namun, dari sudut budaya, buah-buahan di Jepun sering dianggap sebagai hadiah istimewa dan bukan sekadar makanan harian. Shine Muscat bukan hanya sebuah makanan, tetapi simbol kemewahan dan penghargaan.
Buah ini sering dihadiahkan dalam pembungkusan yang elegan, memastikan setiap biji tiba dalam keadaan sempurna dan sesuai untuk diberikan sebagai hadiah. Penekanan pada pembungkusan dan kualiti menunjukkan betapa pentingnya buah ini dalam budaya Jepun.
Mengapa Kini Banyak Pasaraya Tempatan Menjual Shine Muscat Pada Harga Yang Rendah?
Sejak awal tahun lalu, pasaran global telah dibanjiri dengan anggur Shine Muscat dari Yunnan, menandakan permulaan musim anggur. Untuk pengetahuan anda, Yunnan merupakan kawasan pengeluaran utama untuk Shine Muscat di China – dan kini telah mengalami penurunan harga yang ketara, kira-kira 50% berbanding tahun lepas.
Jika sebelum ini, Shine Muscat dikenali sebagai “Hermès anggur” kerana dijual pada harga tinggi kini ia mengalami penurunan yang ketara. Harga borong tahun ini menunjukkan jurang yang besar bergantung pada standard kualiti.
Penurunan harga ini dikaitkan dengan lonjakan bekalan dan penurunan kualiti yang ketara. Terdapat juga laporan yang menyatakan terdapat perbezaan dari segi kemanisan jika dibandingkan dengan pengeluaran terdahulu – dan masalah ini dikaitkan dengan amalan penanaman yang pelbagai dan penuaian awal oleh beberapa petani.