Carian
Adakah Selamat Minum Air Yang Dibiarkan Terdedah Semalaman?
September 4, 2024 Lina Rosli

Pernahkah anda tertanya-tanya sama ada selamat atau tidak untuk minum air yang telah dibiarkan di atas meja semalaman? Situasi ini mungkin biasa berlaku apabila anda meninggalkan botol air di meja kerja ataupun di meja pantri, atau membiarkan gelas air di sisi katil selama beberapa hari.

Untuk pengetahuan anda, walaupun tabiat ini kelihatan tidak berbahaya, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum anda mengambil keputusan untuk meminumnya semula.

Apa Yang Berlaku Pada Air Yang Dibiarkan Terdedah Semalaman?

Apabila air dibiarkan terdedah dalam tempoh yang lama, terutama jika tidak ditutup, beberapa perubahan mungkin berlaku. Salah satunya ialah interaksi antara air dan karbon dioksida (CO2) dalam udara, yang boleh menghasilkan asid lemah dan menurunkan pH air. Walaupun air tersebut masih selamat untuk diminum, perubahan pH ini mungkin menyebabkan rasa air menjadi sedikit berbeza.

Selain itu, tahukah anda bahawa setiap kali kita minum daripada gelas atau botol air, sebenarnya terdapat bakteria dari mulut atau tangan kita pindahkan pada air tersebut.

Dan apa yang lebih membimbangkan, bakteria ini boleh berkembang biak, terutamanya jika air terdedah kepada suhu panas seperti di dalam kereta. Oleh itu, air yang terdedah kepada suhu yang tinggi mungkin tidak sesuai diminum selepas beberapa ketika.

Adakah Keselamatan Minum Air Yang Dibiarkan Ini Bergantung Kepada Jenis Bekas?

Secara umumnya, jenis bekas yang menyimpan air berkenaan juga memainkan peranan penting di dalam memastikan keselamatan anda untuk meminum air itu semula.

Sebagai contoh, bekas air plastik, terutama yang bukan BPA-free boleh menyebabkan bahan kimia tertentu meresap ke dalam air terutamanya apabila terdedah kepada haba atau cahaya matahari.

Selain itu, penggunaan botol plastik jenis sekali guna juga tidak digalakkan untuk diisi semula kerana boleh meningkatkan risiko pencemaran mikroplastik.

Sebaliknya, botol kaca atau logam lebih selamat digunakan kerana tidak akan meresap bahan kimia ke dalam air. Walau bagaimanapun, botol logam boleh cepat panas jika terdedah kepada cahaya matahari atau haba yang boleh mempercepatkan pertumbuhan bakteria dalam air.

Pastikan Anda Simpan Air Sebaiknya Jika Ingin Minum Air Itu Semula

Untuk memastikan air yang diminum sentiasa selamat dan segar, berikut adalah beberapa tips yang boleh anda ikuti:

  • Sentiasa tutup bekas air dan simpan dalam bekas kaca atau logam yang lebih selamat.
  • Elakkan berkongsi air dengan orang lain untuk mengurangkan risiko jangkitan bakteria.
  • Jika air dibiarkan dalam kereta atau di tempat yang panas, lebih baik buang dan dapatkan air yang baru.
  • Untuk air yang disimpan dalam botol plastik sekali guna, pastikan ianya disimpan di tempat sejuk dan gelap serta perhatikan tarikh luput pada botol tersebut.
  • Jika anda imunokompromi, pastikan untuk mendapatkan air segar setiap hari.

Secara keseluruhannya, air yang dibiarkan semalaman atau beberapa hari masih selamat diminum tetapi mungkin tidak begitu sedap.

Namun, adalah disarankan untuk anda kerap membasuh bekas dan menukar air jika anda ingin mengelakkan risiko yang tidak diingin – selain turut memastikan air yang anda minum menawarkan rasa yang sama seperti baharu dituang.

Komen