Carian
Koppiku Kini Berusia Setahun – Dari Satu Trak Kopi Kepada 18 Cawangan Di Sekitar KL Dan Selangor
September 5, 2024 Lina Rosli

Koppiku, sebuah nama yang semakin dikenali dalam dunia kopi di Malaysia, memulakan perjalanannya dengan membuka kedai kopi berkonsepkan trak kepada kiosk kopi yang menawarkan variasi pilihan minuman berkualiti tinggi pada harga yang mampu milik.

Ditubuhkan pada tahun lepas iaitu pada 1 September 2023, Koppiku memilih Plaza Mont Kiara sebagai lokasi pertama untuk memperkenalkan jenama mereka.

Sejak itu, jenama Koppiku telah berkembang pesat menjadi salah satu jenama tempatan untuk kopi yang mula mendapat perhatian ramai di sekitar bandar metropolitan Kuala Lumpur.

Antara tarikan utama jenama ini ialah harga menu yang berpatutan – Koppiku menawarkan harga di bawah RM10 untuk semua minuman mereka. Dan ini sekaligus menjadi satu kelebihan besar untuk mereka yang ingin menikmati kopi berkualiti tanpa perlu berbelanja lebih.

Melengkapkan pilihan menu adalah hidangan nasi lemak pada harga RM3 sahaja – menjadikan pilihan sarapan pagi anda lengkap dengan hanya RM15.

Selain itu, Koppiku juga tampil unik dengan menggabungkan citarasa tempatan dalam menu kopi mereka. Antara pilihan yang menarik termasuk:

  • Kopi Bandung: Menggabungkan rasa kopi yang klasik dengan sentuhan manis sirap ros.
  • Kopi Gula Melaka: Menawarkan keunikan rasa gula Melaka yang kaya dan manis bersama kopi yang pahit.
  • Kopi Nestum: Rasa unik dari Nestum yang memberikan pengalaman kopi yang berbeza dan memikat hati.

Seiring dengan pertumbuhan dan permintaan yang semakin tinggi, Koppiku telah mengembangkan menu mereka untuk termasuk pelbagai jenis kopi berasaskan susu sama ada Espresso-Based atau Klassics, minuman sejuk, dan pilihan bukan kopi – yang mana kini mereka mempunyai lebih 20 pilihan minuman yang boleh dipilih.

Menu terbaru mereka kini menawarkan inovasi seperti Iced Coconut Latte dan juga Cham yang boleh anda cuba, khusus untuk penggemar kopi dengan citarasa tempatan.

Dalam tempoh setahun mereka beroperasi juga, Koppiku nampaknya turut tidak ketinggalan dalam melakukan kolaborasi bersama Volkswagen – bersempena sambutan ulang tahun ke-50 model kenderaan, Golf. Menerusinya, mereka memperkenalkan menu minuman edisi terhad iaitu Iced Turbo Splash dan juga coaster istimewa dengan ilustrasi Volkswagen Golf.

Dengan kejayaan cawangan pertama mereka, Koppiku telah memperluas operasi mereka dengan membuka beberapa cawangan tambahan di sekitar Lembah Klang, termasuk di Selangor yang mana secara keseluruhan Koppiku kini sudah mempunyai sekitar 18 cawangan.

Setiap cawangan mengekalkan identiti dan standard kualiti yang sama, memastikan pelanggan di setiap lokasi dapat menikmati kopi yang sama hebatnya.

Jika dilihat secara umum, pemilihan lokasi yang dilakukan oleh jenama ini adalah dikawasan yang mudah diakses oleh semua lapisan individu, seperti di stesen minyak, pusat membeli belah, stesen lrt dan juga universiti.

Maka, tidak hairanlah mengapa jenama ini boleh berkembang luas dengan pantas. Dengan penawaran harganya yang berbaloi dan lokasinya yang strategik, tidak salah bukan jika anda berhenti sebentar untuk mendapatkan secangkir kopi Koppiku sebelum tiba di pejabat atau kuliah?

Komen