Bagi yang tidak asing lagi jenama kafe tempatan, Richiamo Coffee, tahukah anda kini mereka telah mengembangkan sayap penawaran mereka melalui pengenalan perniagaan baharu iaitu Richiamo Mart?
Telah bermula sejak Mei 2024 yang lepas, Richiamo Mart kini sudahpun mempunyai sekitar 4 cawangan di beberapa lokasi iaitu di Bangi, Seremban, Bertam Ulu dan yang terbaru adalah di Johor Bharu.


Langkah ini menandakan perkembangan signifikan bagi Richiamo Coffee, yang pada asalnya dikenali dengan konsep kafe yang menawarkan suasana nyaman dan pelbagai pilihan minuman kopi premium serta makanan panas. Dengan pelancaran Richiamo Mart, mereka kini memperluaskan penawaran produk mereka kepada barangan keperluan harian yang memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih menyeluruh.
Richiamo Mart menyasarkan untuk membawa pengalaman runcit yang selesa dan berkualiti, selain turut menggalakkan pembelian produk atau barangan tempatan. Oleh itu, pelanggan boleh menjangkakan rangkaian produk yang pelbagai di kedai mereka – sama seperti kedai serbaneka lain yang sedia ada di dalam pasaran yang menawarkan makanan, minuman, dan barangan keperluan harian yang lain.

Bukan itu sahaja, bagi anda yang ingin mendapatkan minuman panas dan sejuk seperti kopi dan jus buah, ataupun makanan panas seperti oden dan juga pastri, Richiamo Mart turut hadir dengan penawaran yang pelbagai untuk anda pilih.
Bergerak ke hadapan, Richiamo Mart turut bercadang untuk menambah lagi 3 cawangan di sekitar Malaysia – iaitu satu cawangan di Langkawi dan dua lagi di sekitar Lembah Klang.