Baru-baru ini, CU Malaysia telah mengumumkan pembukaan cawangan mesra alam sekitar pertama mereka di R&R Seremban.
Menerusi, pembukaan cawangan hijau ini, CU Malaysia menandakan langkah penting dalam komitmen mereka untuk beralih ke arah kelestarian sekaligus mencipta masa depan yang lebih mesra alam sekitar untuk semua.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan amalan kelestarian, CU Malaysia telah mengambil beberapa langkah proaktif di cawangan baru ini, termasuk:
- Penggunaan bahan mudah dikitar semula dan mesra alam: CU Mart menggunakan cawan kertas dan kutleri kayu untuk mengurangkan penggunaan plastik. Selain itu, diskaun RM1 ditawarkan bagi pelanggan yang membawa tumbler sendiri, sebagai usaha untuk mengurangkan sisa plastik.
- Pengurangan sisa plastik dengan inisiatif BYOB: CU Mart menggalakkan penggunaan beg sendiri atau beg bukan tenunan yang boleh digunakan semula untuk mengurangkan sisa plastik.
- Diskaun untuk makanan hampir tamat tempoh: Menawarkan diskaun untuk makanan yang hampir tamat tempoh sebagai satu usaha untuk mengurangkan pembaziran makanan.
Selain itu, CU Malaysia juga telah menambah baik reka bentuk dan operasi di cawangan hijau ini untuk menjadikannya lebih mesra alam yang mana cawangan CU di R&R Seremban ini akan menggunakan penghawa dingin Samsung 360° yang cekap tenaga untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
Seterusnya, mereka turut melaksanakan aktiviti penanaman hijau dan pengurusan sisa yang mana cawangan ini akan dihiasi dengan tumbuhan hijau yang indah, serta tong kitar semula yang memudahkan pengasingan sisa.
Minyak masak terpakai juga dikitar semula, manakala sisa cecair diasingkan daripada sisa pepejal untuk pengurusan sisa yang lebih baik.
Untuk inisiatif ini, CU Malaysia telah bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi seperti PLUS Berhad, Samsung Malaysia Electronics dan aT Centre Kuala Lumpur bagi menjayakan komitmen mereka ke arah masa depan yang lebih mampan.