Carian
Tisu Solekan Tidak Boleh Menggantikan Pencuci Muka – Untuk Membersihkan Solekan
September 10, 2024 Lina Rosli

Adakah mencuci muka dengan tisu pembersih solekan sudah mencukupi untuk menghilang kesan solekan seperti bedak asas dan juga pembayang mata di wajah?

Jawapannya, adalah tidak.

Untuk pengetahuan anda, membersihkan wajah dua kali sehari adalah perkara asas yang tidak boleh diabaikan. Makeup wipes ataupun turut dikenali sebagai tisu solekan sememangnya adalah pilihan paling mudah dan paling efisien untuk digunakan oleh individu yang memakai solekan.

Namun hakikatnya, walaupun ia berjaya membersihkan solekan secara nyata, tetapi tahap pembersihannya adalah tidak setanding dengan pembersihan wajah sebenar menggunakan air dan pencuci muka yang berkualiti.

Menurut pakar, tisu solekan ini hanya membersihkan permukaan kulit dan tidak mampu membersihkan kotoran dalam pori-pori secara menyeluruh. Ini boleh menyebabkan masalah kulit seperti jerawat, kulit kusam dan iritasi.

Mengapa Tisu Solekan Tidak Cukup Untuk Membersihkan Wajah?

Disebabkan tisu solekan ini hanya membersihkan permukaan kulit, maka ia cenderung meninggalkan sisa-sisa yang tidak dibersihkan, yang boleh menyumbang kepada pelbagai masalah kulit. Bukan itu sahaja, tisu solekan ini juga mengandungi bahan kimia yang boleh merengsakan kulit dan menghilangkan faktor pelembap semula jadi.

Jadinya, bagi mereka yang ingin menggunakan tisu solekan, cara terbaik adalah dengan menggabungkannya dalam rutin double cleansing. Gunakan tisu terlebih dahulu untuk menghilangkan solekan dan kemudian diikuti dengan pencuci muka kegemaran anda untuk memastikan kulit benar-benar bersih.

Harus diingatkan juga bahawa sekiranya anda menggunakan tisu solekan sebagai pencuci tanpa menggunakan pencuci muka, terdapat beberapa tindak balas yang akan dialami individu termasuklah; jerawat, kulit kering atau iritasi.

Ini kerana, kebanyakan tisu solekan di pasaran mengandungi bahan kimia seperti phthalates, parabens dan pewangi yang boleh membahayakan kulit.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna anda tidak boleh menggunakan tisu solekan di dalam rutin, akan tetapi, sekiranya anda menggunakannya, anda masih perlu mencuci muka dengan pembersih muka seperti biasa.

Komen