Pada awal September 2024 yang lepas, IKEA Malaysia telah mengadakan sebuah acara IKEA Blueprint 2025 yang menyaksikan beberapa perancangan menarik yang bakal diberikan fokus oleh syarikat berkenaan bagi tahun 2025.

Dan ini termasuklah perancangan yang melibatkan kelestarian dan juga penawaran yang mampan. Dalam langkah penting untuk mengurangkan jejak alam sekitar, IKEA dijangka akan menambah 9 kenderaan elektrik (EV) untuk ‘penghantaran jarak terakhir’ menjelang akhir tahun 2024 – menjadikan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 12 EV yang akan beroperasi untuk proses ini.
Dan syarikat itu juga merancang untuk menambah lagi 10 lagi EV pada tahun 2025, bagi mempercepat usahanya ke arah mencapai penghantaran rumah yang lestari 100% menjelang tahun 2030.

Dengan peningkatan pembelian melalui platform edagang – yang kini menyumbang kira-kira 16.5% daripada jumlah pendapatan pada tahun kewangan 2024, pengembangan kenderaan EV dijangka akan menjadi kunci kepada strategi pertumbuhan omni-saluran IKEA.
Sebelum ini, sebanyak 8,567 penghantaran telah dibuat melalui EV pada tahun lalu, dan mereka menjangkakan akan terdapat peningkatan yang tinggi selari dengan penambahan jumlah kenderaan ini.