Affira Affendi, 33 tahun, telah melalui perjalanan kerjaya yang sangat unik dan menarik. Beliau yang dahulunya bertugas sebagai seorang jurubank kini melakar kejayaan sebagai usahawan edagang.
Sebagai pemilik kepada dua jenama fesyen tempatan, D’Songket dan NSA Glamorous, Affira memulakan langkah dalam dunia edagang dengan satu visi yang jelas iaitu untuk memudahkan akses kepada fesyen tradisional Malaysia.
Pada hari ini, beliau bukan sahaja berjaya membina jenama yang dikenali ramai, malah beliau turut diiktiraf sebagai seorang Lazada Certified Trainer dan komited membantu penjual tempatan lain dalam memulakan serta memajukan perniagaan mereka dalam bidang Edagang.
Bangkit Daripada Cabaran, Melangkah Ke Arah Kejayaan
Terinspirasi daripada ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal dan usahawan berjaya, Affira mula menceburi bidang perniagaan pada tahun 2019. Pada mulanya, beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual produk di Facebook. Namun, perjalanannya berubah dengan ketara apabila seorang rakan memperkenalkannya kepada platform Lazada.
Tanpa berlengah, Affira menubuhkan NSA Glamorous dan mula menjalankan perniagaan secara sambilan, menjual pakaian Muslimah seperti tudung bercetak elegan, telekung yang diperbuat daripada fabrik lembut dan lut udara, serta pakaian batik yang menggabungkan gaya dan keselesaan.
Kejayaan NSA Glamorous menjadi pemangkin kepada pengalamannya dan memberi keyakinan serta modal untuk mengembangkan lagi perniagaannya. Setelah mencapai jualan lima angka, Affira mengambil keputusan besar untuk meninggalkan kerjayanya dalam sektor perbankan dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan edagang. Ini membuka jalan kepada penubuhan jenama D’Songket di platform Lazada.
Sebagai bekas ibu tunggal, Affira tidak terkecuali daripada menghadapi pelbagai cabaran ketika memulakan perniagaan, terutamanya dari segi mengimbangi kehidupan peribadi dan perniagaan. Walau bagaimanapun, beliau beruntung kerana mempunyai sokongan daripada ibunya yang membantunya dalam pengurusan pesanan yang semakin meningkat dan memastikan penghantaran dilakukan tepat pada waktunya.
Usaha gigih Affira akhirnya membuahkan hasil apabila beliau dinamakan sebagai Top eCommerce Merchant oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) bagi tahun 2023-2024, yang beliau anggap sebagai titik perubahan penting untuk jenama D’Songket dan NSA Glamorous. Pengiktirafan ini jelas menunjukkan betapa dedikasi dan komitmen Affira dalam membangunkan perniagaannya.
Menjadi seorang mumpreneur, ada masa di mana beliau perlu berjaga sehingga lewat malam untuk menyiapkan pesanan dan terpaksa mengorbankan masa bersama anak-anak pada hujung minggu kerana sibuk memperbaiki operasi perniagaan demi kekal kompetitif di tengah-tengah persaingan yang sengit.
Beliau juga berkongsi bahawa pengurusan masa, kekurangan sumber serta tekanan untuk mengembangkan perniagaan merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapinya. Namun begitu, beliau tetap tabah demi keluarga dan cita-citanya.
Meraikan Fesyen Tradisional Melalui Edagang
Dengan pengkhususan dalam songket buatan tangan oleh tukang tenun dari Terengganu, D’Songket menghargai dan memelihara kekayaan warisan budaya Malaysia. Setiap helaian dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan terbaik untuk memastikan standard kualiti yang tertinggi terpelihara.
Produk ini bukan sahaja sangat istimewa kerana setiap helaian adalah buatan tangan dan rekaan terhad kepada satu sahaja, tetapi juga menawarkan elemen-elemen tradisional yang semakin ditelan zaman. Ini menjadikan setiap rekaan unik dan eksklusif, dan inilah yang menjadi teras kepada jenama D’Songket.
Menginspirasi Generasi Baru Penjual Edagang di Malaysia
Selain daripada fokus kepada perniagaan sendiri, pada tahun 2021, beliau melangkah ke dunia pendidikan edagang apabila menjadi seorang Lazada Certified Trainer. Affira berjaya membimbing penjual-penjual tempatan untuk memanfaatkan platform Lazada bagi memperkasakan perniagaan mereka.
Affira kini mengendalikan kelas mingguan di Lazada University, di mana beliau berkongsi kepakaran tentang cara menggunakan alatan canggih yang disediakan oleh platform Lazada. Alatan seperti papan pemuka data dan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) seperti Fee Forecast dan AI Smart Listing menjadi sebahagian daripada kandungan pembelajarannya.
Dengan adanya kelas bimbingan ini dari Lazada, ia sedikit sebanyak menyediakan pelbagai alatan yang sangat berguna untuk membantu penjual lebih memahami prestasi perniagaan dan juga pelanggan mereka.
Sebagai contoh, papan pemuka data membolehkan penjual membuat keputusan lebih bijak berdasarkan prestasi jualan, manakala alatan AI seperti Fee Forecast membantu meramalkan harga yang berpatutan serta mengenal pasti produk yang berdaya saing.
Membina Masa Depan Edagang Malaysia
Bagi Affira, Hari Malaysia merupakan peluang untuk merenung kembali cabaran dan kejayaan sepanjang perjalanan perniagaannya. Dari permulaan yang sederhana kepada membina jenama yang kukuh seperti D’Songket dan NSA Glamorous, Affira memperlihatkan dedikasi yang tinggi terhadap usahanya serta bangga dengan keupayaannya membawa fesyen tradisional Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi melalui platform digital.
Lebih daripada sekadar menunjukkan bagaimana perniagaan tempatan boleh berkembang dengan memanfaatkan teknologi, perjalanan Affira juga membuktikan komitmennya untuk memperkasakan komuniti setempat. Melalui pengalamannya, beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai peniaga untuk berani mengambil langkah pertama dalam perniagaan Edagang.
Affira percaya bahawa perkara paling penting yang perlu diingati oleh setiap bakal usahawan adalah percaya kepada proses tersebut. Tidak dinafikan bahawa Lazada menyediakan alatan yang diperlukan untuk berjaya, tetapi usaha dan tekad untuk mencapai impian perlu datang daripada diri sendiri.