Carian
Bukan ‘Sekadar Denggi’ Jika Kesannya Berlarutan Berbulan-Bulan – Ketahui Apa Itu Sindrom Pasca Denggi?
September 19, 2024 Lina Rosli

Denggi yang teruk boleh menjejaskan kesihatan anda, bahkan kesannya lebih buruk jika mengalami sindrom pasca denggi – yang mana kesannya boleh berlarutan selama beberapa bulan atau lebih. Untuk mengetahui lebih lanjut, seorang pesakit dan Dr Shanthi Ratnam, Pakar Perunding Perubatan dan Intensivis telah berkongsi serba sedikit mengenai fenomena yang kurang diketahui ini.

Ramai orang menganggap denggi sebagai satu penyakit yang ringan. Pada mereka denggi yang teruk jarang berlaku, apatah lagi dengan anggaran satu dalam 20 kes. Walau bagaimanapun, setakat 20 Julai 2024, kes denggi terkumpul di seluruh negara mencecah 83,131 kes.

Berdasarkan jumlah kes denggi yang tinggi ini, nampaknya kita tidak boleh mengatakan bahawa 1 dalam 20 ini sebagai ‘jarang berlaku’, apatah lagi dengan kesannya yang mengerikan kerana pesakit denggi yang teruk biasanya memerlukan kemasukan ke hospital dan berkemungkinan tinggi mengalami simptom seperti:

  • pendarahan dalaman
  • kebocoran plasma
  • kerosakan organ
  • masalah pernafasan
  • kematian

Bahkan, jangkitan kedua berkemungkinan tinggi akan lebih teruk. Fenomena ini dikenali sebagai sindrom pasca denggi.

Pengalaman Pesakit Denggi Dan Kesan Selepas Denggi

Bagi Bahwanee Muthusamy, bekas pesakit denggi menceritakan yang mana perjalanan masalah kesihatannya yang panjang dan sukar bermula apabila beliau menghidap demam denggi. Kini selepas lebih 6 bulan, belum ada tanda yang kesengsaraannya akan berakhir.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua beliau mendapat demam denggi – kali pertama kira-kira 5 tahun lalu. Pada mulanya beliau merasakan bahawa ini cuma demam ringan dan ujian yang dijalankan di klinik tidak mengesan denggi.

Dan Bahwanee diberitahu yang beliau hanyalah mengalami demam akibat jangkitan virus. Akan tetapi, pada keesokan harinya, Bahwanee mengalami sakit kepala yang teruk, disertai muntah dan cirit-birit, dan kiraan plateletnya menurun ke paras 40.

Selepas dibawa ke Jabatan A&E, keadaan Bahwanee sudah agak kritikal; kerana pada waktu itu, hatinya sudah pun terjejas dan beliau menjadi sangat lemah sehingga tidak boleh berjalan dan tidak boleh makan selama lima hari.

Jangkitan denggi memaksa Bahwanee bercuti panjang – dua minggu dirawat di hospital dan disusuli dengan dua bulan cuti sakit. Dalam tempoh berkenaan, dia bukan sahaja tidak boleh memandu malah tidak mampu untuk duduk lama kerana saraf dipinggangnya termampat.

Pengalaman Bahwanee ini dikenali sebagai sindrom pasca denggi, iaitu manifestasi klinikal demam denggi yang berlarutan melebihi enam minggu selepas fasa akut tamat. Setakat ini, para pakar masih tidak mengetahui berapa lazim keadaan ini berlaku, tetapi oleh kerana kini ia semakin dikenali, sesetengah kajian menganggarkan kelazimannya adalah antara 18-50%.

Apa Itu Sindrom Pasca Denggi?

Bagi individu yang mengalami sindrom pasca denggi (post-dengue syndrome – PDS) cenderung untuk dilanda simptom seperti:

  • keletihan dari tahap ringan hingga sangat melesukan
  • simptom rangka otot seperti sakit otot dan sendi bengkak yang dikenali sebagai artritis reaktif
  • simptom berkaitan saraf (neurologi) seperti daya tumpuan yang lemah atau pening.

Namun, tiada ujian khusus untuk mengenalpasti secara muktamad simptom yang dialami oleh seseorang pesakit itu sebagai PDS. Dan ini menimbulkan cabaran kepada pesakit dan pengamal penjagaan kesihatan.

Pada masa ini, klinisian di hospital lebih berkemungkinan untuk mengenalpasti kes PDS – jika dibandingkan dengan pengamal perubatan am biasa. Ini kerana denggi sering didiagnosis oleh pengamal perubatan am manakala klinisian biasanya memberikan penjagaan susulan dan mempunyai kebolehan yang lebih baik untuk memerhatikan simptom-simptom yang berlarutan.

Sebelum pengesahan PDS, doktor perlu mengambil kira banyak faktor, termasuk sejarah perubatan pesakit dan menyiasat punca-punca lain yang boleh menimbulkan simptom berkenaan. Contohnya, jangkitan sekunder sering terjadi apabila sistem imun pesakit terjejas, manakala sendi yang bengkak pula boleh disebabkan oleh gout.

Untuk membantu mengenepikan kemungkinan punca-punca lain, pesakit mungkin disyorkan menjalani ujian darah atau pengimejan. Hanya selepas semua penyebab lain dikeluarkan dari senarai, barulah doktor boleh membuat kesimpulan bahawa pesakit mengalami sindrom pasca denggi.

Perjalanan Pemulihan Pasca Denggi Yang Panjang Dan Sukar

Bagi Bahwanee, PDS yang dialaminya sudah berlarutan melebihi enam bulan dan belum ada tanda ia akan berakhir.

Kesan denggi yang dialami telah menjejaskan setiap perkara yang dilakukan. Bahkan perkara yang mudah seperti naik tangga kini menuntut banyak tenaga, dan individu tidak boleh bekerja seperti dulu kerana akan berasa cepat penat.

Bahwanee juga dilanda masalah hormon dan tidak datang haid sejak jatuh sakit. Dan apa yang lebih menyedihkan adalah kesan keguguran rambut, seolah-olah beliau menjalani kemoterapi. Sistem imun juga terjejas teruk menyebabkan Bahwanee mudah jatuh sakit. Tidak cukup dengan itu, asma yang dihidapi semakin kerap menyerang.

Selain itu, PDS juga boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang kerana ia memberikan kesan buruk kepada kualiti kehidupan seseorang, dan pengalaman itu boleh menyebabkan kemurungan, terutama bagi orang yang menjangkakan mereka menghidap denggi yang ringan.

Contohnya, orang muda dan aktif mungkin mendapati ia melemahkan kerana sentiasa penat, pening atau berasa sakit, kurang selera makan dan tidak boleh meneruskan aktiviti normal mereka selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Pada masa itu mereka akan kehilangan jisim otot dan mengalami kesan lain akibat penyakit yang berlarutan ini.

Bahkan sesetengah pesakit mungkin tidak dapat menerima hakikat yang mereka mengalami simptom-simptom ini kerana tidak pernah mendengar tentang sindrom pasca denggi.

Untuk memudahkan pemahaman, Dr Shanthi mengumpamakan PDS seperti tsunami – walaupun serangan berlalu pergi, kemusnahan telah berlaku, meninggalkan keradangan kronik dan menyebabkan sistem imun menjadi sangat aktif.

Tambahan pula, kesannya akan lebih teruk jika pesakit pernah menghidap demam denggi; dengan empat strain virus denggi yang berbeza, seseorang itu boleh dijangkiti sehingga empat kali, dan jangkitan kedua mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk menjadi denggi yang teruk.

Komen