Masalah berdengkur sering kali dianggap sebagai satu gangguan biasa, malah kadangkala menjadi bahan jenaka dalam kalangan individu ataupun pasangan. Namun, tahukah anda bahawa berdengkur sebenarnya boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih serius?
Bagi sesetengah orang, dengkur bukan sahaja menjejaskan kualiti tidur tetapi juga boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang berkait dengan sistem kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung dan strok.
Walaupun terdapat banyak produk dan rawatan di pasaran untuk mengurangkan atau menghentikan masalah dengkur, kebanyakan daripadanya kurang berkesan.
Pernahkah anda terfikir, mengapa begitu sukar untuk merawat masalah dengkur?
Kekurangan Kesedaran Mengenai Bahaya Dengkuran
Secara umumnya, ramai individu tidak menyedari bahawa mereka berdengkur ketika tidur, terutamanya jika mereka tidur sendirian.
Sementara bagi mereka yang menyedari akan masalah ini, mereka mungkin memandang ringan atau menganggap ia sekadar gangguan kecil yang tidak berbahaya.

Hakikatnya, dengkur boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti apnea tidur obstruktif (OSA), di mana saluran pernafasan terhalang sewaktu tidur, menyebabkan individu berhenti bernafas seketika.
Punca Dengkur Yang Kompleks
Berdengkur atau berkeruh ini tidak berlaku dengan satu sebab sahaja. Ia boleh berpunca daripada beberapa faktor seperti:
- berat badan berlebihan
- struktur saluran pernafasan
- posisi tidur
- gaya hidup
Setiap individu mempunyai punca dengkur yang berbeza, menyebabkan rawatan menjadi rumit dan memerlukan pendekatan yang lebih peribadi.

Kekurangan Rawatan Yang Berkesan
Walaupun terdapat pelbagai produk seperti pelekat hidung, ubat titis dan bantal khas, tidak semua rawatan ini memberikan hasil yang memuaskan.
Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan rawatan ini hanya membantu sedikit atau sementara. Rawatan yang lebih berkesan seperti penggunaan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) sering kali dianggap tidak selesa atau mahal, menyebabkan ramai orang mengabaikan rawatan yang sepatutnya.
Oleh itu, pastikan anda tidak memandang remeh akan isu ini. Ia mungkin dianggap gangguan biasa, tetapi ia sebenarnya adalah petanda kepada masalah yang lebih besar.
Diharapkan dengan lebih banyak kajian dan kesedaran mengenai kesan buruknya, mungkin satu hari nanti kita akan mempunyai rawatan yang lebih berkesan dan mudah diakses oleh semua orang.