Apa Beza Gedung IKEA Biasa, Kedai Pop-Up IKEA Dan Pusat Pengambilan IKEA?
Lina Rosli
Nampaknya, IKEA Malaysia kini aktif dalam memperluaskan penawaran mereka ke seluruh negara menerusi pengenalan IKEA Pop-Up Shop – yang mana ia tidak lagi terhad kepada pembukaan gedung biasa dan pusat pengambilan barang IKEA.
Selepas kejayaan pengenalan kedai pop-up IKEA pertama di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang – jenama kelengkapan rumah ini telah memperluaskan lagi penawaran ke beberapa lagi kawasan termasuk Lotus’s Tanjung Pinang, Lotus’s Sungai Petani dan yang terbaru di Batu Pahat Mall yang terletak di Johor.
Dengan kehadiran kedai pop-up IKEA ini, ia menawarkan kemudahan untuk penduduk sekitar menikmati pengalaman IKEA tanpa perlu ke cawangan utama yang mungkin terletak jauh.

Tetapi, apa sebenarnya kedai pop-up IKEA (IKEA pop-up store) ini dan bagaimana ia berbeza dengan konsep Pusat Pengambilan Barang IKEAIKEA Collection Points () serta gedung IKEA biasa? Mari kita lihat perbezaan dan kelebihan setiap satu.
IKEA Pop-Up Store – Sentuhan IKEA Lebih Dekat
Untuk pengetahuan anda, kedai pop-up IKEA ini direka untuk membawa jenama ini lebih dekat kepada pelanggan di kawasan yang jauh dari cawangan penuh. Walaupun dalam saiz yang lebih kecil, kedai pop-up ini tetap mengekalkan elemen penting IKEA seperti ruang pameran yang mempamerkan perabot dan kelengkapan rumah yang ikonik.
Apa yang membezakan kedai pop-up daripada gedung IKEA biasa ialah ia tidak menyediakan semua produk dalam stok secara langsung. Sebaliknya, pelanggan boleh melihat produk di ruang pameran, mencubanya, dan membuat pesanan secara dalam talian. Penghantaran akan dilakukan terus ke rumah atau ke pusat pengambilan IKEA terdekat.

IKEA Collection Point – Fokus Pada Pengambilan Pesanan
IKEA Collection Point atau Pusat Pengambilan Barangan IKEA pula menawarkan satu lagi jenis kemudahan. Ini adalah lokasi khas di mana pelanggan boleh mengambil barang yang mereka pesan secara atas-talian.
Tidak seperti kedai pop-up, pusat pengambilan ini tidak mempunyai ruang pameran atau stok produk yang boleh dibeli terus. Sebaliknya, ia direka semata-mata untuk mengurangkan kos penghantaran dan memudahkan proses pengambilan barang di kawasan yang jauh dari cawangan IKEA yang besar.

Ia menjadi pilihan ideal bagi mereka yang sudah tahu apa yang mereka mahu beli dan hanya memerlukan tempat untuk mengambil pesanan mereka.
Gedung Utama IKEA – Pengalaman Membeli-Belah Penuh
Jika anda mahukan pengalaman membeli-belah IKEA yang lengkap, gedung IKEA tetap menjadi pilihan utama. Di sini, anda boleh menemui keseluruhan rangkaian produk IKEA dari perabot, peralatan rumah, hiasan dalaman hingga makanan di restoran IKEA.
Cawangan utama ini juga menawarkan pengalaman membeli-belah dalam skala besar, di mana pelanggan boleh terus membeli barang yang dipamerkan dan membawa pulang pada hari yang sama. Ruang pameran yang luas membolehkan pelanggan meninjau dan merancang dekorasi rumah dengan lebih mendalam.

Jadinya, kehadiran kedai pop-up IKEA di Batu Pahat sememangnya memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar, membolehkan mereka menikmati sentuhan IKEA lebih dekat dengan rumah mereka.
Namun, bagi mereka yang inginkan pelbagai pilihan produk secara langsung, gedung IKEA tetap menjadi pilihan utama.