Augmented Reality merupakan teknologi Realiti Terimbuh, dimana terdapatnya satu paparan interaktif dan beranimasi, diimbuhkan pada lokasi atau objek sebenar di alam realiti. Teknologi yang popular ini dapat dilihat seperti Ikea yang membolehkan model perabut diletakkan di ruang tamu anda apabila menerusi aplikasi mereka, atau aplikasi Adidas yang membolehkan anda melihat sendiri bagaimana model kasut yang dibeli, dipakai pada kaki anda.

Kini anda boleh mencuba pengalaman yang memperkaya lawatan anda ke beberapa lokasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur menerusi Festival Realiti Terimbuh AR Fest KL yang diadakan dari 30 Ogos sehingga 30 November 2024. Terdapat empat jenis aktiviti yang mengambil manfaat teknologi ini iaitu StreetARt, ARca, ARtworks dan CheritAR yang masing-masing memberikan pengalaman berlainan.

StreetARt dan ARca merupakan pengalaman realiti terimbuh yang memberikan sisi interaktif kepada mural dan lukisan menarik di sekitar Kuala Lumpur. Lukisan Mural yang sedia ada di Jalan Petaling, GMBB, Jalan Sultan, Kwai Chai Hong, diberikan nafas baharu menerusi paparan interaktif yang diaktifkan apabila anda mengimbas QR kod pada dinding tersebut, dan melancarkan aplikasi Instagram bagi memaparkan animasi terhadap mural sedia ada. ARca pula memaparkan karya-karya seni realiti terimbuh dalam bentuk model 3D di pusat membeli-belah The Starhill.

ARtworks pula akan memaparkan seni tradisi di Balai Seni Lukis Negara manakala CheritAR pula membolehkan anda melihat watak maya bercerita mengenai sejarah Kuala Lumpur di tiga mercu tanda bersejarah iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Tekstil Negara dan juga Air Pancut Victoria.

Acara AR Fest KL ini dijayakan oleh EDT, Studio Behind 90 dan Evertreasure, serta mendapat sokongan rakan strategik lain antaranya Think City, DBKL, Filamen, GMBB, MDEC, Festival Kreatif KL, Rubix Communications dan lain-lain. Layari laman rasmi ARFESTKL untuk maklumat lanjut berkenaan acara ini.