Volvo Cars baru-baru ini melancarkan model kereta elektrik baharu mereka, Volvo EX30, yang direka khusus sebagai SUV kompak ideal untuk pemanduan di kawasan bandar. Dengan pelbagai ciri inovatif dan rekaan moden, EX30 menawarkan penyelesaian pintar bagi pemandu yang mengutamakan kecekapan dan kelestarian.
Volvo EX30 tampil dengan rekaan aerodinamik dan bergaya, dilengkapi lampu depan LED yang ikonik dengan ciri Thor’s Hammer, memberikan penampilan yang berani dan menonjol di jalan raya. Saiz kompaknya menjadikan kereta ini mudah dikendalikan dan sesuai untuk penggunaan di bandar selain turut memudahkan proses meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang terhad.

Dari segi teknologi, Volvo EX30 dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini yang menjadikan pemanduan lebih mudah dan selamat. Ciri-ciri seperti automatic parking, Driver Alert System, Run-off Road Mitigation dan Updated Pilot Assist menjadikan kereta ini pintar dan responsif.
Ia juga dilengkapi dengan sistem kamera 360° yang memudahkan pemandu menikmati pengalaman pemanduan yang lebih selamat, sambil menikmati kemudahan inforia Google Built-in dan Apple CarPlay untuk sambungan peranti mudah alih.

Berkaitan dengan prestasi, Volvo EX30 menawarkan penyelesaian pengecasan yang efisien. Ia menyokong pengecasan pantas DC, membolehkan pengecasan dari 20% hingga 80% dalam masa hanya 28 minit. Untuk pengecasan di rumah, EX30 juga menyokong pengecasan AC bagi memastikan pemandu sentiasa bersedia untuk perjalanan.
Untuk yang berminat untuk mendapatkannya, Volvo EX30 hadir dengan 5 pilihan warna menarik memberi kebebasan kepada pengguna untuk memilih gaya yang sesuai dengan personaliti mereka.
Model ini ditawarkan dalam tiga kategori: EX30 Plus pada harga RM 188,888, EX30 Ultra pada harga RM 208,888, dan EX30 Ultra Twin Performance pada harga RM 228,888. Setiap kategori menawarkan pelbagai ciri dan prestasi yang berbeza, memastikan ada pilihan untuk setiap pemandu.

Dengan kombinasi inovasi, rekaan yang menarik, dan prestasi yang mengagumkan, Volvo EX30 adalah pilihan terbaik bagi mereka yang mencari kenderaan elektrik kompak untuk pemanduan di bandar.
Pelancaran ini mencerminkan komitmen Volvo untuk menyediakan kenderaan yang bukan sahaja mesra alam tetapi juga memenuhi keperluan pemandu moden.