Kelebihan Pilates – Adakah Pilates Sesuai Untuk Golongan Individu Yang Sudah Berusia?
Lina Rosli
Pilates merupakan salah satu senaman yang kini semakin popular dalam kalangan individu. Peningkatan populariti ini mungkin disebabkan oleh perkara seperti kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan individu dan perlaksanaan aktiviti yang boleh disesuaikan mengikut keperluan tubuh.
Untuk pengetahuan anda, pilates merupakan senama yang menjaga kesihatan fizikal tanpa membebankan tubuh dengan senaman yang berimpak tinggi. Pilates menawarkan kaedah yang lembut tetapi berkesan untuk membina kekuatan otos, meningkatkan fleksibiliti dan memperbaiki postur tanpa menyebabkann risiko kecederaan yang tinggi.

Selain itu, pilates juga terkenal kerana boleh dilakukan oleh semua peringkat umur dengan variasi tahap kecergasan. Dan ini sekaligus membuatkannya antara senaman yang boleh dipertimbangkan oleh golongan yang berusia.
Namun, bagi warga emas yang mempunyai masalah kesihatan seperti osteoporosis, ini adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan rutin pilates dan mengelakkan gerakan yang boleh memberi risiko kepada tulang.
Dengan pelbagai modifikasi dan latihan berimpak rendah, sebenarnya pilates boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan individu pada setiap peringkat umur dan tahap kesihatan.

Kelebihan Pilates Untuk Individu
Antara manfaat utama Pilates termasuklah:
- Meningkatkan ketumpatan tulang – ini sesuai untuk para wanita atau individu yang mendekati fasa menopaus.
- Memperbaiki postur – senaman ini membantu menyeimbangkan badan, memperbaiki postur dan mengurangkan slouching atau bongkok ke hadapan yang boleh menyebabkan kesakitan.
- Memberi keseimbangan badan – disebabkan ia berkaitan dengan otot, pilates juga dapat meningkatkan keseimbangan, mengurangkan risiko jatuh dan patah tulan.
- Meningkatkan mobiliti – gabungan kekuatan dan kelenturan badan membolehkan gerakan yang lebih mudah dan terkawal.
- Meningkatkan daya ingatan dan mood – kajian menunjukkan senaman seperti pilates meningkatkan aliran darah ke otak, membantu meningkatkan ingatan dan merangsang mood.
Mengapa Warga Emas Boleh Mempertimbangkan Perlaksanaan Pilates?
Secara umumnya, pilates adalah senaman berintensiti rendah yang disyorkan untuk mereka yang lebih berusia atau mempunyai masalah kesihatan untuk bermula dengan latihan yang tidak ekstrim.
Untuk pilates, terdapat beberapa kelas atau sesi latihan yang boleh diterokai oleh individu. Bagi mereka yang sudah berusia dan ingin mencuba pilates, berikut adalah lima jenis kelas atau sesi latihan yang sesuai dan boleh memberikan manfaat tertentu.

- Pilates Mat: Sesi ini menggunakan tikar dan hanya memerlukan peralatan asas. Ia melibatkan gerakan yang menggunakan berat badan sendiri untuk meningkatkan kekuatan teras dan fleksibiliti. Bagi warga emas, kelas ini sangat sesuai kerana ia boleh dilakukan di rumah atau di studio dengan sokongan pengajar.
- Pilates Reformer: Menggunakan mesin yang dikenali sebagai “reformer“. Kelas ini menawarkan sokongan tambahan seperti tali yang membantu mengurangkan tekanan pada sendi. Mesin ini sesuai untuk mereka yang mengalami masalah sendi atau yang mempunyai had pergerakan, kerana ia membolehkan latihan yang lebih terkawal dan selamat.
- Chair Pilates: Dalam sesi ini, kerusi khas digunakan untuk membantu melakukan senaman yang fokus kepada pergerakan otot teras dan keseimbangan. Kelas ini sangat sesuai bagi warga emas yang mungkin sukar untuk duduk atau berbaring di lantai. Dengan sokongan kerusi, mereka boleh melakukan latihan yang membantu memperbaiki postur dan kestabilan.
- Pilates Terapeutik: Kelas ini direka khusus untuk mereka yang mungkin mengalami masalah kesihatan seperti sakit belakang atau artritis. Fokusnya adalah kepada pemulihan dan pergerakan yang lembut untuk melegakan ketegangan otot. Ini sangat sesuai untuk warga emas yang memerlukan perhatian khas atau penyesuaian senaman kepada keperluan fizikal mereka.
- Pilates Fleksibiliti Dan Mobiliti: Kelas ini bertujuan untuk meningkatkan fleksibiliti dan mobiliti, dua elemen penting bagi mereka yang lebih berusia. Ia memberi tumpuan kepada regangan lembut dan pergerakan untuk meningkatkan julat pergerakan sendi, yang penting untuk mengelakkan kekakuan dan meningkatkan kualiti hidup.
Dengan pilihan yang pelbagai ini, pilates dapat disesuaikan dengan keperluan dan kemampuan individu, terutama bagi mereka yang sudah berusia dan ingin mengekalkan kesihatan serta gaya hidup aktif dengan selamat.