“Big in Tech, Big in Safety.”
Sewaktu saya menghadiri sebuah acara pelancaran kereta elektrik terbaru daripada Volvo, ini antara slogan yang sering bermain di poster dan juga bahan promosi mereka.
Tidak dinafikan, Volvo Cars merupakan antara pemain industri yang cukup komited di dalam mengeteng
Sebagai seorang pemandu wanita yang sebelumnya memandu kenderaan SUV berasaskan petrol, pengalaman pertama saya memandu Volvo EX30, kereta elektrik kompak adalah satu perjalanan yang sangat baharu dan janggal pada awalnya – tetapi mengujakan selepas beberapa kali mengujinya.
Secara umumnya, Volvo EX30 hadir dengan reka bentuk yang kompak dan moden – cukup sesuai untuk individu lebih-lebih lagi wanita yang mementingkan keanggunan dan kemudahan sepanjang penggunaannya. Ia juga hadir dengan 5 pilihan warna yang versatil iaitu Onyx Black, Crystal White, Vapor Grey, Cloud Blue dan Moss Yellow – dan jika anda tanya saya, pastinya warna Vapor Grey dan Moss Yellow adalah warna pilihan peribadi yang ingin saya dapatkan.


Reka Bentuk Dan Saiz Volvo EX30
Volvo EX30 tampil dengan reka bentuk yang sleek dan minimalis. Di bahagian hadapan, saya perhatikan bahawa Volvo EX30 tidak dilengkapi dengan jeriji besi ikonik yang sering dilihat pada kereta lain. Sebaliknya, logo Volvo yang terletak di tengah memberikan penampilan yang bersih dan kontemporari. Lampu LED yang disusun kemas menambahkan sentuhan moden, menjadikan kereta ini kelihatan berani dan futuristik.


Dari segi saiz, EX30 adalah kereta kompak bandar yang mudah dibawa ke mana-mana. Saiznya yang sesuai membolehkan anda untuk mengemudikannya dengan lancar di jalan-jalan yang sesak dan menjadikannya lebih mudah untuk mencari ruang parkir yang terhad.
Untuk pengetahuan anda, kereta ini menawarkan ruang dalaman yang kompak namun praktikal. Dengan kapasiti penumpang maksimum untuk lima orang, ruang kargo di belakang menampilkan kapasiti 718 liter jika kerusi belakang dilipat sepenuhnya dan 318 liter jika hanya mengira ruang asal – saiz ini cukup untuk menyimpan barangan seperti stroller untuk kegunaan keluarga ataupun bagasi untuk perjalanan jauh.


Reka Bentuk Dalaman Yang Minimalis
Bila saya membuka pintu, kemasan dalaman Volvo EX30 menyambut saya dengan suasana yang selesa dan mewah. Kabin yang luas dilengkapi dengan skrin sentuh berukuran 12.3 inci yang intuitif, membolehkan saya mengakses semua fungsi dengan mudah.
Menariknya, Volvo EX30 dilengkapi dengan sistem inforia Android Automotive Operating System (AAOS). Ini membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan Google seperti Google Assistant dan Google Maps untuk navigasi, serta aplikasi pihak ketiga. Selain itu, kereta ini menyokong sambungan tanpa wayar untuk Android Auto dan Apple CarPlay, memberikan kemudahan untuk menghubungkan peranti pintar dengan sistem inforia kenderaan.


Volvo EX30 dilengkapi dengan sistem audio Harmon Kardon yang menjanjikan pengalaman bunyi premium, menjadikan setiap perjalanan lebih menyeronokkan dan menghiburkan. Dengan keupayaan untuk menghasilkan bunyi yang jelas dan berkualiti tinggi, penumpang dapat menikmati muzik, podsiar dan navigasi dengan kualiti audio yang optimum.
Sistem audio ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman mendengar, tetapi juga memberikan suasana yang lebih menarik dalam kabin. Pelbagai pilihan penyesuaian audio juga membolehkan pengguna mengubah tetapan mengikut citarasa masing-masing, memastikan setiap perjalanan adalah pengalaman yang unik dan menyenangkan.


Pengalaman Pemanduan yang Mengujakan
Pengalaman memandu Volvo EX30 benar-benar mengujakan. Dengan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 3.6 saat, ia membuatkan hormon adrenalin melambung tinggi – lebih-lebih lagi untuk saya yang pertama kali memandu kereta elektrik ini. Pengendaliannya juga cukup mantap, memberikan rasa stabil terutama ketika melakukan pusingan U atau ketika menempuh jalan yang mencabar.
Sistem suspensi yang direka dengan baik memastikan bahawa setiap perjalanan adalah selesa, walaupun di atas permukaan jalan yang tidak rata. Kombinasi antara prestasi dan keselesaan menjadikan Volvo EX30 bukan sahaja sebuah kenderaan elektrik, tetapi juga sebuah pengalaman memandu yang menyeronokkan.

Dari segi pengecasan, EX30 menyokong pengecasan DC pantas hingga 153 kW, membolehkan saya mengecas bateri dari 10% hingga 80% dalam hanya 28 minit. Untuk pengecasan AC, saya juga dapat mengecas semalaman tanpa masalah.
Untuk pengetahuan anda, Volvo EX30 dilengkapi dengan bateri sebesar 69-kWh yang memberikan jarak perjalanan sehingga 476 km untuk varian EX30 Plus dan EX30 Ultra, manakala hanya 450 km untuk varian Ultra Twin Performance.

Bagi yang tidak mengetahui, Volvo EX30 ini didatangkan dengan tiga varian berbeza iaitu varian Plus, Ultra dan Ultra Twin Performance. Setiap varian menawarkan ciri dan kelengkapan yang berbeza, sesuai dengan keperluan dan kehendak pengguna.
Varian Ultra dilengkapi dengan sistem kuasa yang sama seperti Plus, tetapi menawarkan lebih banyak ciri premium dan teknologi terkini. Ini menjadikannya pilihan menarik bagi mereka yang mencari pengalaman memandu yang lebih lengkap dan berkualiti.
Sementara itu, varian Ultra Twin Performance menyediakan kuasa yang lebih hebat dengan prestasi yang mengujakan, menjadikannya ideal untuk peminat kelajuan.
Teknologi Keselamatan Dan Pemanduan Yang Maju
Keistimewaan lain yang membuatkan Volvo EX30 menonjol adalah ciri keselamatan dan teknologi pemanduan yang canggih. Sistem New Gen Park Pilot Assist membolehkan kereta memandu sendiri ke dalam ruang parkir yang sesuai, menjadikannya mudah untuk memasuki ruang yang terhad.
Dengan adanya sistem kamera 360° yang menawarkan pandangan menyeluruh, pemandu dapat melihat persekitaran kereta dengan jelas, sementara sensor-sensor memberikan amaran tentang kedudukan objek di sekeliling.

Driver Alert System memberi amaran jika pemandu dikenalpasti tidak bergerak atau tidak fokus, memastikan keselamatan sepanjang perjalanan. Selain itu, New Gen Park Pilot Assist membantu dalam proses parkir yang mana sensor akan mengenalpasti ruang kosong
Ciri Automatic Collision Avoidance juga membantu mengelakkan perlanggaran secara automatik jika sistem mengesan risiko, sementara Door Opening Alert memberi amaran jika ada kenderaan menghampiri ketika membuka pintu. Sistem Lane Keeping Aid dan Blind Spot Information System juga menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan selesa.

Dengan ini, ini adalah pandang pertama saya untuk kereta elektrik Volvo EX30. Nampaknya, kereta ini bukan sahaja menawarkan reka bentuk yang menarik dan pengalaman memandu yang mengujakan, tetapi juga ciri keselamatan dan teknologi yang canggih.
Bagi yang ingin membeli, Volvo EX30 ini hadir dengan tiga varian dengan harga yang berbeza. Berikut adalah harga bagi setiap varian:
- Varian Plus: RM188,888
- Varian Ultra: RM208,888
- Varian Ultra Twin Performance: RM228,888

Volvo juga memberikan jaminan pembelian sehingga lima tahun tanpa had jarak untuk kenderaan. Sementara untuk bateri pula, ia dilindungi selama lapan tahun atau sehingga 160,000 km, memberikan jaminan tambahan mengenai prestasi dan keselamatan bateri.
Selain itu, anda juga akan menerima pelan servis Volvo percuma selama lima tahun – dan ia boleh dipindahkan kepada pemilik baru jika anda memutuskan untuk menjual kenderaan tersebut sebelum tempoh waranti tamat.
Menarik bukan? Jika anda berminat untuk mengalami sendiri kelebihan Volvo EX30, jangan lepaskan peluang untuk membuat tempahan atas talian hari ini.