Dalam dunia kerja moden yang pantas dan penuh dengan cabaran, mungkin ramai di antara anda yang mencari cara untuk meningkatkan produktiviti dan pada masa yang sama menjaga kesihatan mental.
Salah satu cara yang paling mudah dan berkesan ialah dengan menambah sukulen di ruang kerja anda. Tapi, mengapa sukulen?
Untuk mengetahui lebih lanjut, berikut adalah beberapa sebab utama mengapa anda boleh mempertimbangkan untuk meletakkan sukulen di meja kerja anda.

#1 Memberikan Sentuhan Estetika Yang Menyegarkan
Sukulen bukan sahaja mudah dijaga tetapi juga cantik dan unik dalam rupa bentuknya. Mereka hadir dalam pelbagai bentuk, warna, dan saiz yang menambah sentuhan estetika pada ruang kerja anda.
Kehadiran tumbuhan kecil ini dapat menjadikan ruang kerja anda lebih menarik dan selesa sekaligus memberikan suasana hati (mood) yang lebih ceria. Apabila ruang kerja kelihatan lebih teratur dan estetik, ia boleh memberikan rasa kepuasan visual dan semangat untuk memulakan hari untuk bekerja dengan lebih positif.
#2 Mengurangkan Tekanan Dan Meningkatkan Fokus
Bukan itu sahaja, sukulen juga dapat membantu mengurangkan tekanan. Warna hijau lembut dan tekstur yang unik dari sukulen mampu memberikan rasa tenang dan mewujudkan suasana yang lebih santai.
Ia adalah refleksi kepada perasaan kita apabila berada di tengah-tengah alam semula jadi – damai dan bebas dari tekanan. Dalam suasana kerja yang kadang-kadang boleh menyebabkan peningkatan tekanan, melihat kehijauan kecil ini boleh membantu kita berasa lebih relaks dan fokus.
Tambahan pula, sukulen memberikan stimulasi visual yang tidak mengganggu, yang secara tidak langsung membantu otak kita untuk kekal tenang dan fokus dalam menyelesaikan tugas-tugas harian.
#3 Meningkatkan Produktiviti Dan Kreativiti
Produktiviti dan kreativiti adalah dua elemen penting dalam pekerjaan kita. Kehadiran sukulen di ruang kerja dapat membantu meningkatkan produktiviti. Menjadikan meja kerja lebih menarik dengan sukulen bukan sahaja mencipta suasana yang lebih selesa, tetapi ia juga mencipta persekitaran yang kondusif untuk idea-idea baru berkembang.

Sukulen adalah pilihan yang sangat popular kerana ia memberikan sentuhan alam pada ruang kerja dengan kos yang rendah dan penjagaan yang minimum. Ini memberikan semangat tambahan pada ruang kerja, menjadikan kita lebih bersemangat dan kreatif.
Selain itu, salah satu kelebihan sukulen ialah ia sangat mudah dijaga. Sukulen seperti lidah buaya dan pokok echeveria hanya memerlukan sedikit air dan dapat hidup dalam pelbagai keadaan cahaya. Ini menjadikannya tumbuhan yang ideal untuk mereka yang baru hendak mula menambah kehijauan di ruang kerja atau yang mungkin tidak mempunyai banyak masa untuk menjaga tumbuhan.
Lain-lain sukulen yang boleh anda pertimbangkan termasuklah:
- Lidah Buaya (Aloe Vera) – Lidah buaya adalah sukulen yang tahan lasak dan mudah dijaga. Ia hanya memerlukan sedikit air dan dapat tumbuh dalam keadaan cahaya tidak langsung, menjadikannya sesuai untuk meja kerja.
- Echeveria – Echeveria sangat popular kerana bentuknya yang cantik menyerupai bunga ros. Ia tidak memerlukan banyak air dan hanya perlu disiram apabila tanahnya kering.

- Jade Plant (Crassula ovata) – Jade plant mempunyai daun tebal dan berkilat yang menarik. Ia memerlukan cahaya tidak langsung dan boleh bertahan dengan hanya sedikit air, menjadikannya sangat mudah dijaga.
- Burro’s Tail (Sedum morganianum) – Burro’s Tail mempunyai daun yang lembut dan menjuntai, sesuai untuk diletakkan dalam pasu gantung di ruang kerja. Ia memerlukan air sekali-sekala dan tumbuh dengan baik di bawah cahaya yang sederhana.
- String of Pearls (Senecio rowleyanus) – Sukulen ini kelihatan seperti manik-manik kecil yang tergantung, memberikan suasana unik pada ruang kerja. Ia mudah dijaga dan hanya memerlukan cahaya sederhana serta sedikit air.
- Chocolate Soldier (Kalanchoe tomentosa) – Chocolate soldier atau panda plant mempunyai daun yang lembut seperti baldu dan berwarna hijau kebiruan dengan hujung coklat. Ia sangat mudah dijaga dan boleh bertahan lama tanpa air.
- Kalanchoe thyrsiflora – Juga dikenali sebagai paddle plant atau flapjack adalah jenis sukulen yang menarik dan mudah dijaga.

Sukulen juga tahan lasak dan hanya perlu disiram sekali-sekala, biasanya sekali seminggu atau kurang, menjadikannya sangat sesuai untuk ruang kerja yang sibuk. Jadinya, menambah sukulen di ruang kerja bukan sekadar hiasan, tetapi ia adalah pelaburan untuk kesihatan mental, kesejahteraan fizikal dan produktiviti anda.
Oleh itu, jika meja kerja anda kelihatan sedikit bosan, mungkin sudah tiba masanya untuk membawa masuk sukulen yang kecil tetapi berkuasa besar ini.