Tahukah Anda Kucing Hanya Mengiau Apabila Berkomunikasi Dengan Manusia?

October 1, 2024
Haiwan

Lina Rosli

Jika anda perasan, sekiranya anda duduk bermain bersama kucing-kucing anda, sebenarnya, mereka jarang mengeluarkan suara apabila berkomunikasi sesama mereka. Sebaliknya, mengiau adalah cara khas kucing untuk berhubung dengan kita – atau manusia.

Kucing Mengiau Hanya Untuk Manusia

Secara semula jadi, anak kucing akan mengiau kepada ibu mereka untuk meminta perhatian atau makanan, tetapi apabila mereka membesar, kucing jarang mengiau sesama kucing yang lain. Mereka lebih mengutamakan bahasa tubuh seperti menggerakkan ekor, menggosok muka atau mendesis untuk berkomunikasi dengan kucing lain.

Namun, apabila ia melibatkan manusia, perkara ini berbeza. Mengiau adalah salah satu cara kucing untuk memastikan mereka difahami oleh manusia.

Kucing akan mengiau untuk menunjukkan mereka lapar atau mungkin menginginkan perhatian dan sekadar menyapa. Setiap kucing juga mempunyai nada ‘meow’ yang berbeza-beza bergantung kepada maksud yang ingin disampaikan. Kadang-kadang nada lembut digunakan untuk meminta makanan. Sementara nada panjang dan kuat apabila mereka memerlukan perhatian segera.

Kucing Tahu Manusia Memahami Suara

Kucing bijak dalam menyesuaikan cara komunikasi mereka mengikut manusia. Mereka tahu kita lebih peka kepada bunyi berbanding isyarat badan mereka. Oleh itu, dengan menggunakan suara, mereka cuba menarik perhatian kita dengan cara yang paling efektif.

Malah, beberapa kajian menunjukkan bahawa kucing mungkin mengubah nada suara mereka untuk meniru nada yang menyerupai bayi menangis agar kita lebih cepat memberi perhatian.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa kucing boleh membezakan suara pemilik mereka dengan suara orang lain. Kucing mungkin memilih untuk mengabaikan suara yang memanggil mereka apabila tidak berminat – ataupun apabila mereka tidak mengenali suara berkenaan.

Mengiau Sebagai Bahasa Emosi

Mengiau juga adalah cara kucing menyatakan perasaan mereka. Sama ada mereka gembira, marah atau berasa tidak selesa, mereka mungkin menggunakan pelbagai jenis ‘meow’ untuk menyampaikan emosi tersebut.

Dengan meluangkan masa memerhatikan kucing anda, anda boleh belajar memahami pelbagai maksud di sebalik setiap bunyi yang mereka keluarkan – bermula daripada mengiau lembut yang penuh manja, kepada ‘meow’ panjang yang mungkin menunjukkan rasa bosan atau tertekan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd