Jokopi, Sebuah Lagi Jenama Kopi Indonesia Buka Cawangan Di Malaysia – Hadir Dengan Kopi Unik Seperti Kopi Susu Arang, Kopi Susu Kaya Dan Kawista

October 2, 2024
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Selepas pengenalan Kenangan Coffee kepada penggemar kopi di Malaysia, kini sebuah lagi jenama kopi Indonesia telah memperluaskan penawaran mereka untuk pasaran tempatan – iaitu Jokopi dengan lokasi pertama dibuka di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur.

Bagi anda yang tidak mengetahui tentang jenama ini, Jokopi membawa citarasa kopi asli Indonesia yang unik. Dikenali dengan penggunaan biji kopi yang berkualiti, Jokopi menawarkan pelbagai jenis minuman kopi yang sesuai dengan selera generasi muda.

Antara hidangan yang istimewa dari Jokopi ialah Kopi Susu Arang, yang mana minuman ini memperlihatkan visual kopi dengan warna hitam yang pekat – dihasilkan daripada arang dan kemudian digandingkan dengan gula aren yang memberikan keseimbangan rasa manis yang sempurna.

Jokopi juga turut menampilkan menu yang lain dari yang lain iaitu, Kopi Susu Kaya yang menggabungkan keunikan susu kelapa dan kaya – memberikan rasa lemak yang seimbang.

Tidak ketinggalan juga adalah Kawista, minuman yang berasaskan sirap buah kawista dan dicampur dengan soda lemon yang segar. Kawista memberikan rasa buah-buahan tropika yang manis dan beraroma, sesuai untuk dinikmati pada hari-hari yang panas.

Nampaknya, dengan pembukaan cawangan pertamanya di Kuala Lumpur, ini akan menjadi titik tolak Jokopi dalam membawa pengalaman kopi Indonesia kepada rakyat Malaysia, dan pada masa yang sama mempromosikan budaya kopi yang semakin popular di rantau Asia Tenggara ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd