Carian
Malaysia Coffee Week 2024 Kini Berlangsung Di 1 Utama Shopping Centre – Sehingga 6 Oktober Ini
October 4, 2024 Lina Rosli

Khusus buat penggemar kopi di seluruh Malaysia, nampaknya anda boleh memeriahkan waktu hujung minggu anda dengan berkunjung ke Malaysia Coffee Week – sebuah acara tahunan yang menghimpunkan pelbagai jenama kopi terkemuka di Malaysia.

Berlangsung dari 3 hingga 6 Oktober 2024 di 1 Utama Shopping Centre, acara ini menawarkan peluang kepada pengunjung untuk mencuba pelbagai jenis kopi, menyertai bengkel interaktif dan belajar tentang kopi dengan pakar kopi tempatan.

Acara ini sangat sesuai untuk pencinta kopi, barista serta mereka yang ingin mempelajari lebih lanjut mengenai budaya kopi dan inovasi dalam industri ini.

Pengunjung akan dapat merasai pelbagai jenis kopi, mengetahui teknik pembuatan kopi terkini, serta berpeluang untuk mendapatkan produk kopi pada harga yang berbaloi. Bertemakan “Make Coffee More Fun”, acara ini disusun untuk mengangkat dunia kopi ke satu tahap yang lebih menyeronokkan dan interaktif.

Pelbagai Jenama Kopi Terkenal Hadir Di Acara Malaysia Coffee Week 2024

Acara yang dianjurkan bersama oleh Malaysia Specialty Coffee Association (MSCA) dan TAC Malaysia ini, dan juga 1 Utama sebagai rakan lokasi, akan menghimpunkan pelbagai jenama kopi terkemuka dari seluruh negara. Antaranya termasuk Discover Coffee Roasting Co., DRiPP, Hisbrew Coffee Co., JWC Roastery, Soon Specialty Coffee, Lighthouse Coffee Roaster Co. dan banyak lagi.

Jenama-jenama ini bukan sahaja akan mempamerkan biji kopi berkualiti tinggi tetapi juga menyediakan peluang untuk mencuba pelbagai jenis kopi – dari espresso yang mantap sehinggalah kopi susu dengan citarasa unik.

Selain itu, jenama-jenama ini juga akan berkongsi pengetahuan tentang proses pembuatan kopi yang pastinya memberi pengetahuan yang baharu kepada para pengunjung. Bukan itu sahaja, selain daripada pengalaman mencuba kopi, Malaysia Coffee Week 2024 juga menawarkan pelbagai promosi dan cenderamata eksklusif kepada para pengunjung.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk membawa pulang biji kopi istimewa atau aksesori kopi yang unik di acara yang menarik ini.

Komen