Selepas kemeriahan sambutan pembukaan cawangan pertama Fuiyoh It’s Uncle Roger di Pavilion Kuala Lumpur pada September yang lepas, nampaknya restoran ini dilihat bakal memperluaskan penawaran mereka di dua buah lokasi baharu – di sekitar Lembah Klang.
Berdasarkan perkongsian di media sosial Fuiyoh It’s Uncle Roger, dua cawangan baharu ini bakal dibuka di dua pusat membeli-belah pilihan ramai iaitu IPC Shopping Centre dan MyTown Shopping Centre – yang mana ia turut menjangkakan sambutan yang meriah dari penduduk setempat.
Setakat ini, tiada lagi tarikh spesifik yang telah dikongsikan. Namun, kedua-dua cawangan ini dirancang akan dibuka pada November dan Disember 2024.


Bagi yang tidak mengetahui tentang Restoran Fuiyoh It’s Uncle Roger, ia merupakan restoran diuruskan oleh Nigel Ng, lebih dikenali sebagai Uncle Roger – seorang selebriti komedi yang terkenal dengan ulasannya mengenai masakan Asia, khususnya nasi goreng.
Restoran ini membawa sentuhan humor Uncle Roger ke dunia nyata. Di sini, anda boleh menikmati hidangan ikonik nasi goreng Uncle Roger yang disediakan dengan cara yang tersendiri.