Jika anda seorang penggemar makanan pedas, pasti nama Ghost Pepper atau Bhut Jolokia sudah tidak asing lagi. Terkenal sebagai salah satu cili paling pedas di dunia, Ghost Pepper bukan sahaja mencabar dari segi kepedasan tetapi juga mempunyai sejarah yang menarik dan keistimewaan rasa yang jarang dijumpai dalam cili lain.
Asal Usul Ghost Pepper – Dari Mana Ia Datang?
Untuk pengetahuan anda, cili Ghost Pepper berasal dari timur laut India, yang mana ia banyak didapati di kawasan Assam, Nagaland dan Manipur. Di sana, cili ini telah digunakan dalam pelbagai masakan tradisional dan juga sebagai bahan semulajadi untuk menghalau gajah liar.
Dengan kepedasan yang boleh mencapai 1 juta unit Scoville, Ghost Pepper berada jauh di atas kebanyakan cili yang biasa digunakan dalam masakan harian kita.
Sebagai perbandingan, cili yang biasa kita gunakan di Malaysia, seperti cili padi hanya mencatatkan antara 50,000 hingga 100,000 unit Scoville. Ini bermaksud, satu gigitan kecil Ghost Pepper boleh membuatkan sesiapa sahaja berpeluh serta merta.
Dari segi tekstur, Ghost Pepper mempunyai kulit yang nipis tetapi keras – ini memberikan rasa rangup pada awalnya, tetapi mudah hancur ketika digigit. Di dalamnya, terdapat sedikit kelembapan yang memberikan kesan segar. Ia juga mempunyai biji kecil dan keras – ini menambah kepedasan jika termakan.
Apa yang Membuat Ghost Pepper Unik?
Selain kepedasannya yang ekstrem, Ghost Pepper sebenarnya memiliki rasa yang unik. Ia bukan sekadar pedas, tetapi turut menampilkan rasa smoky dan sedikit rasa buah-buahan. Perpaduan rasa ini menjadikannya istimewa dan menarik minat kebanyakan chef serta penggemar makanan pedas yang gemar bereksperimen dengan rasa-rasa yang berbeza.
Ghost Pepper mula mendapat perhatian global selepas ia dimasukkan ke dalam Rekod Dunia Guinness pada tahun 2007 sebagai cili paling pedas di dunia. Walaupun telah dikalahkan oleh cili lain seperti Carolina Reaper, kepedasan Ghost Pepper masih tidak boleh dipandang ringan.
Di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain, Ghost Pepper sering digunakan dalam cabaran makanan pedas, seperti sos cili, jeruk dan juga makanan segera. Popularitinya meningkat bukan hanya kerana cabaran kepedasan, tetapi juga disebabkan oleh rasa unik yang dibawanya.