Carian
Eco-Shop Kini Mempunyai 300 Cawangan Di Seluruh Malaysia – Lebih 10,000 Produk Ditawarkan Di Eco-Plus NU Sentral
October 10, 2024 Lina Rosli

Eco-Shop, jenama popular yang terkenal dengan konsep barangan mampu milik, baru-baru ini mencapai pencapaian besar dengan pembukaan cawangan ke-300 di NU Sentral, yang terletak di tengah-tengah bandar metropolitan Kuala Lumpur.

Ini menjadikan Eco-Shop sebagai salah satu rangkaian kedai yang berkembang pesat di negara ini, memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat yang mencari barangan keperluan harian dengan harga berpatutan.

Pembukaan cawangan ke-300 ini menandakan komitmen Eco-Shop untuk mendekatkan diri kepada pengguna di setiap kawasan tidak kira di bandar mahupun di luar bandar. Namun, dengan kehadiran mereka di kebanyakan lokasi strategik ini memudahkan pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka dengan lebih mudah dan pantas.

Dan apa yang menarik di Eco-Plus NU Sentral ini menampilkan reka susun yang diperhalusi oleh pereka tempatan. Di dalam cawangan ini, ia hadir dengan lebih 10,000 produk yang berbeza merangkumi barang dapur, kelengkapan rumah, alat tulis sehinggalah barangan penjagaan diri yang ditawarkan pada harga RM2.40.

Membezakannya dengan cawangan lain, Eco-Plus NU Sentral ini menawarkan juga barisan produk yang lebih menarik pada harga RM6.00 dan juga RM10.00 – yang mana produk ini lebih berbaloi untuk dimiliki.

Jika anda berkunjung ke cawangan ini, anda akan melihat pelbagai seksyen barangan – dari seksyen untuk kanak-kanak hingga ke seksyen untuk para penggemar aktiviti berkebun.

Ia juga dilengkapi dengan ruang khas untuk makan dan minum kerana ia hadir dengan sudut penyediaan dan pemanasan makanan – yang menampilkan ketuhar gelombang mikro yang disediakan untuk umum.

Malah, anda juga pasti akan teruja dengan penawaran kaunter pembayaran sendiri (self-checkout counter) yang memudahkan lagi aktiviti pembayaran dilakukan.

Sejak ditubuhkan pada 2003, Eco-Shop nampaknya terus menjadi pilihan utama ramai. Kini tidak hanya berdiri sebagai pusat membeli-belah barangan keperluan rumah, tetapi Eco-shop juga hadir dengan portfolio lain seperti Eco-mall dan Eco-bakery.

Pembukaan cawangan ke-300 ini menandakan pencapaian besar dalam perjalanan Eco-Shop, menjadikan jenama tempatan ini lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia di kawasan bandar dan luar bandar.

Bagi mereka yang sentiasa mencari produk berkualiti pada harga mampu milik, Eco-Shop pasti akan terus menjadi destinasi utama.

Komen