Kebaikan Mengunyah Makanan Lebih Lama

October 10, 2024
Gaya Hidup

Lina Rosli

Secara umumnya, berapa lama seseorang individu mengunyah makanan mungkin nampak seperti satu perkara yang remeh, tetapi tahukah anda bahawa cara anda mengunyah boleh memberi kesan besar kepada kesihatan?

Ramai di antara kita yang mungkin mengejar masa dan hal tertentu, yang membuatkan mereka makan cepat tanpa sedar telah memberi kesan kepada proses penghadaman secara keseluruhan.

Untuk pengetahuan anda,mengunyah makanan dengan lebih lama bukan sahaja perut menghadam makanan dengan lebih baik, tetapi juga membawa pelbagai manfaat lain yang menyokong kesihatan fizikal dan mental.

Di dalam artikel ini, kita akan menerokai kebaikan mengunyah makanan dengan perlahan dan bagaimana ia boleh memperbaiki kualiti hidup kita.

#1 Penghadaman yang Lebih Baik

Tahukah anda bahawa proses penghadaman bermula di dalam mulut, bukan di perut? Ya, oleh sebab itu, apabila kita mengunyah lebih lama, makanan yang diambil akan dipecahkan menjadi cebisan yang lebih kecil dan kemudiannya dicampurkan dengan enzim air liur yang membantu mencerna karbohidrat.

Apabila anda memperoleh cebisan makanan yang lebih halus, perut lebih mudah untuk memproses dan ini sekaligus membuatkan perut dan usus bekerja dengan lebih efisien dan mampu mengurangkan risiko masalah perut seperti kembung dan gangguan penghadaman.

Selain itu, penghadaman yang efisien juga membantu tubuh mendapatkan lebih banyak nutrien daripada makanan yang kita ambil. Apabila makanan dikunyah dengan baik, tubuh dapat menyerap vitamin dan mineral yang diperlukan untuk pelbagai fungsi badan. Sebaliknya, makanan yang tidak dikunyah dengan betul mungkin menyebabkan tubuh mengalami kekurangan nutrisi walaupun anda makan dengan jumlah yang cukup.

#2 Menjaga Berat Badan

Mengunyah lebih lama membantu anda lebih sedar dengan apa yang anda makan dan memberi masa kepada otak untuk menerima isyarat kenyang.

Kajian menunjukkan bahawa individu yang mengunyah lebih perlahan cenderung untuk makan dengan lebih sedikit, kerana otak memerlukan sekitar 20 minit untuk menerima isyarat kenyang dari perut. Ini dapat membantu mengawal pengambilan kalori dan menjaga berat badan yang sihat. Dengan mengunyah perlahan, anda dapat mengurangkan risiko makan berlebihan.

Selain itu, dengan menghabiskan lebih banyak masa untuk makan, anda juga lebih cenderung untuk menikmati setiap suapan. Ini menjadikan pengalaman makan lebih memuaskan dan mengurangkan keinginan untuk mencari makanan tambahan selepas makan.

#3 Mengurangkan Risiko Tersedak

Mengunyah makanan dengan lebih baik juga membantu mencegah risiko tersedak. Apabila makanan tidak dikunyah dengan betul, ia boleh tersangkut di tekak atau membuat anda merasa tidak selesa ketika menelannya.

Ini berpotensi menyebabkan situasi berbahaya, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah menelan. Dengan mengunyah lebih lama, anda memastikan makanan dikunyah halus sebelum ditelan, menjadikan proses makan lebih selamat.

#4 Membantu Penyerapan Nutrisi

Selain itu, mengunyah lebih lama boleh memberikan kelebihan dari segi penyerapan nutrisi. Sebagai contoh, vitamin, mineral, dan enzim penting dalam makanan dipecahkan dengan lebih efektif ketika makanan dihadamkan dengan betul.

Dengan itu, tubuh dapat mengambil manfaat maksimum daripada makanan yang kita makan. Ini penting untuk memastikan tubuh berfungsi pada tahap terbaik.

#5 Mengurangkan Tekanan Dan Meningkatkan Kepuasan Makan

Apabila kita memberi perhatian kepada tekstur, rasa dan aroma makanan, kita lebih menghargai setiap gigitan – dan ini dapat membantu meningkatkan kesihatan mental dan emosi.

Lebih daripada itu, pengalaman menikmati makanan yang lebih baik juga boleh membawa kepada hubungan sosial yang lebih positif. Apabila kita meluangkan masa untuk makan dengan perlahan dan menghargai makanan, kita sering berkumpul dengan orang tersayang, menjadikan waktu makan sebagai satu cara untuk berhubung dan mempereratkan ikatan.

Oleh itu, mengunyah lebih lama bukan hanya membantu proses penghadaman tetapi juga memberi pelbagai manfaat kesihatan lain seperti membantu menjaga berat badan, mengurangkan risiko tersedak, serta meningkatkan penyerapan nutrisi.

Jadi, cubalah untuk meluangkan lebih masa ketika makan dan nikmati setiap suapan dengan lebih perlahan – tubuh anda pasti akan merasai perbezaannya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd