Mengapa Jenama Fesyen Perlu Beralih Ke Arah Lestari? Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS Menyokong Perubahan Positif Ini
Lina Rosli
Fesyen lestari atau mungkin turut menggunapakai istilah mampan, bukan lagi satu istilah yang baharu dalam kalangan individu di dalam industri – dan kini pendekatannya semakin mendapat perhatian dalam kalangan penggemar.
Bagi yang tidak mengetahui, fesyen lestari ini merujuk kepada cara pengeluaran pakaian dan aksesori yang mengambil kira kebaikan kepada alam sekitar, memastikan prosesnya mesra alam dan beretika.
Ia merangkumi proses dari pengeluar hingga ke pengguna, semua orang terlibat dalam memastikan fesyen tidak memberi kesan negatif kepada planet kita.
Apa Itu Fesyen Lestari?
Seperti yang dinyatakan tadi, fesyen lestari bermula dengan idea untuk mengurangkan kesan buruk fesyen terhadap alam sekitar dan masyarakat. Dan kini, sudah banyak jenama yang mula menampilkan komitmen mereka dalam menggunakan bahan kitar semula, mengurangkan sisa sekaligus memastikan proses pengeluaran yang baik untuk semua.

Misalnya, banyak jenama global yang sudah mula menitikberatkan hal ini di dalam perancangan mereka, seperti UNIQLO, Zalora dan banyak lagi.
Tidak kurang juga, jenama di Malaysia seperti Hatta Dolmat, The dUCk Group dan beberapa jenama kecil yang lain telah mengadaptasi kaedah pengeluaran yang lebih mesra alam dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi dan memberi sokongan kepada pengrajin tempatan.
Sebagai contoh, sebelum ini, jenama tudung TudungRuffle dengan kerjasama Spritzer telah menggunakan fabrik daripada botol plastik yang dikitar semula untuk menghasilkan tudung eksklusif mereka – dan ini diterima baik oleh orang ramai.

Selain itu, beberapa jenama lain juga mula mengutamakan penggunaan bahan semula jadi seperti kain kapas organik, linen dan bambu. Fabrik-fabrik ini bukan sahaja lebih mesra alam tetapi juga mengurangkan impak pencemaran air dan tanah yang sering dikaitkan dengan proses pewarnaan kimia dalam industri tekstil.
Mengapa Fesyen Lestari Penting?
- Mengurangkan Pencemaran: Industri fesyen adalah penyumbang besar kepada pencemaran air dan udara. Dengan memilih fesyen lestari, kita membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihasilkan serta bahan kimia berbahaya yang memasuki alam sekitar.
- Mengurangkan Jejak Karbon: Bukan itu sahaja, fesyen juga adalah antara penyumbang terbesar kepada pencemaran alam sekitar. Proses pengeluaran pakaian seperti pencelupan kain dan penggunaan bahan kimia memerlukan banyak tenaga dan air. Dengan memilih bahan yang mesra alam dan kaedah pengeluaran yang lebih efisien, fesyen lestari dapat membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
- Kesedaran Pengguna: Dengan lebih banyak orang yang sedar tentang isu-isu alam sekitar, mereka lebih cenderung untuk membuat pilihan yang baik. Ini membantu mengubah cara kita berfikir tentang fesyen dan memberi tekanan kepada jenama untuk menjadi lebih bertanggungjawab.

Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+
Dalam perkembangan terbaru, Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ di Moscow menjadi platform penting untuk membincangkan kelestarian dalam fesyen. Lebih 50 negara menyetujui penubuhan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS yang bertujuan untuk mencipta perubahan positif dalam industri.
Sebuah memorandum untuk menubuhkan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS ditandatangani oleh barisan tokoh berpengaruh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif minggu fesyen, peneraju persatuan fesyen dan tekstil, serta pemimpin akademik dari negara seperti Malaysia, Indonesia, India, Singapura, Vietnam, Afrika Selatan, Russia, Ethiopia, Mesir, Sepanyol, Amerika Syarikat, Ghana, Tanzania, Jordan, Ecuador, Paraguay dan Kenya.

Menurut Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia, Jay Ishak, beliau menekankan bahawa penubuhan persekutuan ini akan membantu merevolusikan industri fesyen dengan meningkatkan inovasi dan kerjasama antara negara. Dengan sokongan dan kerjasama ini, negara-negara yang terlibat dapat bertukar idea, berkongsi pengetahuan, dan mendorong pertukaran budaya.

Di tambah lagi dengan inisiatif seperti ini, nampaknya kita boleh mengharapkan lebih banyak jenama untuk menyedari kepentingan kelestarian dalam fesyen. Masyarakat juga diharapkan lebih peka dan bijak dalam memilih produk fesyen, dengan memberi sokongan kepada jenama yang komited terhadap kelestarian.
Kesimpulannya, fesyen lestari bukan sahaja tentang memilih pakaian yang cantik, tetapi juga tentang membuat pilihan yang baik untuk diri kita dan untuk bumi. Dengan sokongan kita kepada jenama-jenama yang beretika, kita dapat membantu mengubah cara industri fesyen beroperasi, demi masa depan yang lebih baik dan lestari.