Carian
Asal Usul Croissant – Ini 8 Jenis Croissant Yang Mungkin Anda Boleh Cuba
October 15, 2024 Lina Rosli

Jika pergi ke kafe ataupun kedai pastri kegemaran anda, satu hidangan yang mungkin anda tidak ingin terlepas untuk mencuba pastilah croissant, bukan?

Apa Itu Croissant?

Croissant, yang disebut sebagai khru-ah-son, adalah sejenis pastri puff yang ringan, bermentega dan berlapis yang menjadikan ruang di dalamnya kelihatan berongga dan berlubang – sekaligus memberikan rasa yang lembut di dalam setiap gigitan.

Untuk pengetahuan anda, nama croissant ini diambil daripada bentuknya yang menyerupai bulan sabit, kerana croissant bermaksud ‘bulan sabit’ dalam bahasa Perancis. Walaupun sering dikaitkan dengan Perancis dan menjadi menu wajib di kebanyakan boulangeries (bakeri) di sana, sejarah croissant sebenarnya bermula di Austria pada abad ke-17 dan dipercayai dibawa ke Perancis pada abad ke-19 oleh dua pembuat roti Austria.

Bagaimana Croissant Dibuat?

Croissant biasanya dibuat menggunakan adunan yang dinaikkan dengan yis. Adunan tersebut dilapisi dengan mentega dan kemudian digulung dan dilipat berulang kali dalam proses yang dikenali sebagai lamination.

Kemudian, adunan dipotong menjadi bentuk segi tiga dan seterusnya digulung menjadi bentuk bulan sabit, dan dibakar. Proses lamination inilah yang memberikan croissant tekstur berlapis-lapis yang rangup di luar tetapi lembut di dalam, menghasilkan pengalaman rasa yang tak terlupakan.

Jenis-Jenis Croissant Yang Boleh Anda Cuba

Apabila bercakap tentang croissant, antara jenis-jenisnya yang menjadi pilihan ramai adalah croissant klasik yang dilengkapi dengan pelbagai perisa dan toppings.

Namun, tahukah anda terdapat beberapa lagi pastri lain yang juga sebenarnya tergolong dalam kategori croissant? Berikut adalah beberapa variasi croissant yang popular:

#1 Croissant au Beurre

Croissant ini terkenal dengan rasa bermenteganya yang kaya, dibuat menggunakan banyak mentega. Ia biasanya mengandungi lebih daripada 70 lapisan pastri dan sangat sesuai dinikmati bersama teh atau kopi, menjadikannya pilihan sempurna untuk sarapan atau minum petang.

#2 Pain au Chocolat

Gabungan dua bahan utama iaitu mentega dan coklat, Pain au chocolat dihasilkan dengan cara menggulung batang coklat ke dalam puff sebelum dibakar. Rasa manis dan berlapisnya sangat sesuai untuk anda yang gemarkan sesuatu yang lebih kaya dengan rasa.

#3 Croissant aux Amandes

Juga dikenali sebagai almond croissant, ia diisi dengan krim badam dan dihiasi dengan hirisan badam di bahagian atasnya. Selepas itu, ia dibakar semula sehingga mencapai tekstur yang lebih rangup. Pastri berasaskan badam ini juga memberikan keseimbangan antara tekstur garing dan rasa berkrim yang memanjakan.

#4 Pain aux Raisins

Sejenis croissant yang mengandungi kismis atau krim kastard sebagai isiannya. Ia adalah pastri manis yang enak dimakan bersama minuman panas seperti teh atau kopi. Dengan pelbagai jenis inti, ia menjadi pilihan snek yang mengenyangkan.

#5 Croissant Ordinaires

Sementara Croissant Ordinaires adalah versi biasa yang boleh dibuat menggunakan marjerin sebagai pengganti mentega. Bentuknya masih sama dengan croissant klasik, namun rasanya kurang bermentega berbanding croissant au beurre. Walaupun begitu, ia tetap enak untuk dijadikan sarapan atau dijadikan sandwic dengan pelbagai isian kegemaran.

Trend Moden: Cronut, Croffle Dan Cromboloni

Selain daripada variasi klasik ini, croissant juga telah mengalami evolusi menjadi hidangan-hidangan moden seperti cronut, croffle dan cromboloni:

  • Cronut: Gabungan Croissant dan Donut
    Cronut adalah pastri inovatif yang menggabungkan ciri-ciri croissant dan donat, dicipta oleh pastry chef Dominique Ansel pada tahun 2013. Dengan tekstur rangup di luar dan lembut di dalam, cronut berbentuk bulat seperti donat tetapi dihasilkan melalui proses lamination yang sama seperti croissant, menjadikannya berlapis-lapis dan berkrim. Ia sering diisi dengan pelbagai inti manis, seperti krim atau jem, dan disalut dengan gula atau glaze, menjadikannya pilihan yang menarik dan menggoda bagi peminat pastri di seluruh dunia.
  • Croffle: Gabungan Croissant dan Waffle
    Croffle merupakan hasil inovasi di Korea Selatan sekitar tahun 2020, di mana adunan croissant dimasak menggunakan mesin waffle. Hasilnya adalah tekstur luar yang rangup seperti waffle, namun masih lembut dan berlapis di dalam seperti croissant. Popularitinya berkembang ke seluruh dunia termasuk di Malaysia, dan sering dihidangkan dengan pelbagai topping seperti sirap maple dan buah-buahan segar. Croffle menjadi kegemaran ramai kerana ia bukan sahaja sedap, tetapi juga Instagram-worthy.
  • Cromboloni: Gabungan Croissant dan Bomboloni
    Cromboloni adalah gabungan antara croissant dan bomboloni, donat Itali yang diisi dengan krim atau jem. Dalam cromboloni, adunan croissant digabungkan dengan inti manis seperti krim vanila atau Nutella, menghasilkan pengalaman rasa yang kaya dan mewah. Setiap gigitan memberikan kombinasi tekstur rangup di luar dan kelembutan isi di dalam, menjadikannya pilihan yang sempurna untuk mereka yang ingin mencuba pastri yang lebih mewah dan unik.

Nampaknya, selari dengan peredaran masa, croissant kekal relevan dan digemari bukan sahaja kerana rasa yang lazat, tetapi juga kerana fleksibilitinya untuk diolah mengikut citarasa moden.

Sama ada anda peminat croissant klasik atau ingin mencuba inovasi seperti cronut, croffle dan cromboloni, pastri ini terus menawan hati ramai dan menjadi pilihan utama di kafe-kafe dan bakeri di seluruh dunia.

Komen