Baru-baru ini, direkodkan dalam Guinness World Records, sebuah mesin pencuci pakaian terkecil di dunia telah diperkenalkan.
Sebin Saji, seorang jurutera dari Kanjirapally dari India telah mencipta mesin basuh terkecil di dunia yang begitu kecil – sehingga tidak boleh memuatkan satu stokin pun di dalamnya.

Dengan ukuran yang sekecil 32.5 x 33.6 x 38.7 mm (1.28 x 1.32 x 1.52 inci), mesin basuh ini dikatakan lebih kecil daripada saiz Tamagotchi. Untuk berat pula, ia menampilkan berat hanya 25g yang mana jika dibandingkan, ia seberat dua biskut OREO.
Menurut Sebin, mesin masuh ini bukan sekadar prototaip yang tidak boleh digunakan. Akan tetapi ia merupakan mesin yang sedia berfungsi – mampu melakukan satu kitaran penuh iaitu membasuh, membilas dan memusing.
Walaupun mesin basuh terkecil ini mungkin tidak praktikal untuk digunakan dalam kehidupan seharian, ia jelas memberi kegembiraan kepada orang ramai dan menunjukkan bahawa kreativiti dan inovasi boleh datang dalam pelbagai bentuk.
Selain mesin basuh mini ini, baru-baru ini juga dicipta penyedut habuk terkecil di dunia di India, yang hanya berukuran 0.65 cm.