Honda Media Getaway Ke Tiarasa Escapes Resort – Pengalaman Memandu CR-V Dan HR-V Dari Putrajaya Ke Janda Baik

October 21, 2024
Automotif

Lina Rosli

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk memandu uji dua model SUV yang popular dari Honda iaitu CR-V dan HR-V – menerusi perjalanan kira-kira 130km pergi dan balik.

Pengalaman ini bermula dari Moxy Putrajaya – yang merupakan tempat para media lain mula berkumpul dan kemudian berakhir di Tiarasa Escapes Resort di Janda Baik. Setiap detik perjalanan ini bukan sahaja memberikan keselesaan tetapi juga pelbagai teknologi canggih yang ditawarkan oleh kedua-dua kereta ini.

Jika anda ingin tahu, pengalaman dan aktiviti menarik yang saya lakukan sepanjang dua hari ini, di artikel ini saya akan ceritakan serba sedikit perkara yang perlu anda ketahui.

Hari Pertama: Pengalaman Memandu CR-V dari Putrajaya ke Tiarasa Escapes Resort

Perjalanan kami bermula di Moxy Putrajaya, di mana kami berangkat ke MAEPS untuk sesi pandu uji. Di sana, Honda telah menyediakan pelbagai latihan untuk kami menguji kemampuan kenderaan – meliputi ujian slalom yang mencabar hingga ujian brek, pengalaman ini menguji kemahiran memandu kami.

Jika anda tanya, mana satu latihan yang paling saya rasa teruja, pastilah ujian brek. Sewaktu sesi ini, kami berpeluang untuk merasai perbezaan antara sistem brek dengan ABS dan tanpa ABS.

Dengan ABS, saya dapat merasakan kelebihan yang ketara. Ketika sesi ujian, kami diminta untuk melakukan pemanduan tegak pada kelajuan sekitar 40km/j hingga 60km/j dan kenderaan perlu diberhentikan serta merta setelah kereta melepasi kon yang telah disusun rapi. Hasilnya, Honda CR-V yang dipandu ketika itu berhenti dengan stabil tanpa berputang.

Di bawah ini adalah contoh kereta berhenti dengan sokongan sistem ABS.

Sedangkan pemanduan kereta tanpa ABS pula, masih lagi pada kelajuan yang sama iaitu sekitar 50km/j juuga, sewaktu menekan pedal brek untuk memberhentikan kenderaan, stereng akan dikunci (berada di dalam keadaan tegak) dan menyebabkan kereta tergelincir.

Dan ini menunjukkan bahawa dengan adanya sistem keselamatan yang canggih lebih-lebih lagi ABS, adalah satu keperluan di dalam pemanduan harian tidak kira sewaktu jalan kering mahupun di atas jalan basah dan licin.

Kami juga mencuba ujian reaksi di mana kami perlu melakukan penukaran lauan (lane) dengan jarak 4.5 meter dari objek di hadapan. Keupayaan kenderaan SUV dari Honda untuk kekal stabil di sepanjang pemanduan yang tidak dijangka adalah cukup baik.

Tujuan ujian ini dilaksanakan adalah untuk menguji kestabilan kereta ketika pemandu bertindak balas di dalam pelbagai situasi. Dan jika anda lihat pada video di bawah, kereta HR-V yang dipandu berfungsi dengan baik walaupun perlu membuat penukaran laluan secara tiba-tiba.

Begitu juga, pemanduan di selekoh pada kelajuan 50km/j hingga 60km/j tanpa menekan brek memberikan pengalaman cornering yang lancar dan tepat, membuktikan pengalaman pemanduan yang selesa ditawarkan oleh kedua-dua SUV dari Honda.

Selepas selesai melakukan kesemua ujian jalan raya ini, kami meneruskan perjalanan ke Plan B untuk makan tengahari. Laluan yang diambil melalui lebuh raya MEX memberikan kami peluang untuk mencuba teknologi yang hadir di dalam pakej Honda SENSING seperti Lane Keep Assist System (LKAS) dan Adaptive Cruise Control (ACC).

Menerusi fungsi LKAS ini, ia membantu memastikan kereta kekal di lorong yang betul, menjadikan perjalanan di lebuh raya lebih tenang dan santai.

Seterusnya, kami menuju ke BHPetrol di Karak. Di sinilah kami mencuba Collision Mitigation Braking System (CMBS). Ciri ini sangat berguna ketika kami berhadapan dengan trafik bandar yang padat, memberikan amaran dan secara automatik memperlahankan kereta apabila terdapat risiko perlanggaran.

Jika anda tanya, adakah ciri ini penting? Pada saya, ya kerana ia memberi saya ketenangan fikiran, terutama ketika memandu di jalan yang sibuk.

Bercerita tentang kelebihan pemanduan SUV dari Honda ini juga, adalah penggunaan sistem hibrid yang mana untuk kedua-dua model CR-V dan HR-V, ia dilengkapi dengan sistem e-HEV. Ketika melalui jalan yang lebih jauh, sistem hibrid ini berfungsi dengan baik, memanfaatkan tenaga elektrik dan petrol secara bijak untuk meningkatkan efisiensi bahan api.

Apabila memulakan perjalanan atau semasa pemanduan pada kelajuan rendah, kereta ini menggunakan mod elektrik sepenuhnya. Ini menjadikan pemanduan lebih senyap dan memberikan respons yang lebih segera.

Manakala apabila berada di dalam situasi pemanduan lebih pantas dan memerlukan lebih kuasa, sistem akan beralih kepada enjin petrol. Kombinasi ini tidak hanya memberikan pemanduan yang lancar tetapi juga membantu dalam menjimatkan penggunaan bahan api, menjadikan perjalanan lebih mesra alam.

Ketika kami menghampiri Genting Sempah, kawasan ini terkenal dengan keadaan jalan raya yang berbukit. Dan ini memberikan peluang untuk kami menguji fungsi gear B pada CR-V. Fungsi ini meningkatkan kesan nyahpecutan selain mengurangkan keperluan menggunakan brek.

Lebih-lebih lagi di kawasan yang curam, kereta ini secara automatik akan mengawal kelajuan kenderaan menurun dan menaiki bukit – sekaligus menjadikan perjalanan menjadi lebih lancar dan selamat.

Hari Kedua: Pengalaman Memandu HR-V dari Tiarasa Escapes Resort ke Moxy Putrajaya

Hari kedua membawa kami kembali ke Moxy Putrajaya dengan HR-V. Berbanding dengan CR-V, HR-V menawarkan saiz yang lebih kompak. Namun, ruang di bahagian belakang masih lagi selesa, menjadikannya pilihan baik untuk pemandu dan penumpang.

Sistem hibrid dalam HR-V juga berfungsi dengan baik, memudahkan peralihan antara mod elektrik dan petrol semasa perjalanan. Ketika memulakan perjalanan dari resort, sistem ini menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya, memberikan pemanduan yang lebih senyap dan responsif. Pada kelajuan tinggi, ia secara automatik beralih kepada enjin petrol untuk memberikan lebih kuasa ketika memerlukan.

Paparan odometer HR-V yang minimalis, menggabungkan elemen analog dan digital, memberikan suasana yang moden dan bersih. Semasa menuruni bukit, kami sekali lagi disarankan untuk menggunakan gear B. Fungsi ini membantu mengekalkan kestabilan kereta, sama seperti pengalaman dengan CR-V.

Perbandingan Ciri-Ciri Utama: CR-V vs HR-V

Ketika membandingkan kedua-dua SUV ini, terdapat beberapa ciri menarik yang membezakan mereka:

  • Sistem Inforia: CR-V dilengkapi dengan sistem infotainment yang lebih canggih, termasuk built-in Apple CarPlay, memudahkan akses kepada aplikasi dan muzik. HR-V menawarkan sistem yang lebih ringkas tetapi tetap berfungsi dengan baik untuk keperluan asas.
Panel skrin untuk CR-V
Panel skrin untuk HR-V
  • Sistem Bunyi: CR-V mempunyai sistem audio premium dengan pembesar suara Bose, memberikan kualiti bunyi yang hebat. HR-V, walaupun tidak mempunyai pembesar suara premium, masih menawarkan audio yang memuaskan untuk perjalanan santai. Dan apa yang menarik, di kedua-dua SUV ini, Honda memperlihatkan pembesar audio mereka di bahagian atas pintu penumpang (berdekatan dengan pembuka pintu kenderaan) – yang membezakannya adalah bentuk pembesar audio yang mana bentuk bulat untuk HR-V dan bentuk empat segi untuk CR-V.
Pembesar audio di pintu penumpang HR-V
  • Kelengkapan Pengecasan: Selain daripada aksesori lain, antara perkara penting yang saya akan cari di setiap kenderaan adalah port pengecasan di dalam kereta. Untuk CR-V, ia menawarkan port pengecasan USB-C pada bahagian penumpang hadapan dan belakang, manakala HR-V masih menggunakan port USB-A untuk mengecas peranti. Selain daripada port ini, apa yang menarik adalah kedua-dua kenderaan ini menawarkan sistem pengecasan secara nirwayar yang boleh diakses di bahagian ruang hadapan berdekatan dengan sistem inforia.
Port pengecasan CR-V
  • Saiz Boot: Sudah semestinya, CR-V mempunyai ruang boot yang lebih luas, sesuai untuk mereka yang sering membawa banyak barang. HR-V, meskipun lebih kompak, tetap memberikan ruang yang mencukupi untuk keperluan harian.

Kelebihan Honda Connect

Pada hari pertama juga, sebelum kami menikmati minum petang di Tiarasa Escapes Resort, kami juga diberi taklimat mengenai Honda Connect.

Sistem ini menawarkan pelbagai ciri berguna, termasuk pemantauan jarak jauh untuk kereta anda, kemudahan navigasi dan pengesanan lokasi serta status penyelenggaraan enjin dan keadaan kereta.

Dengan Honda Connect, pemandu dapat mengakses maklumat penting dan mengawal beberapa fungsi kereta mereka melalui aplikasi di telefon pintar, menjadikan pengalaman memandu lebih mudah dan selamat.

Mana Satu? CR-V Atau HR-V – Pilihan Bergantung Kepada Keperluan

Secara keseluruhannya, pengalaman memandu dua SUV ini adalah sangat memuaskan. CR-V menawarkan keselesaan dan teknologi yang lebih canggih, sementara HR-V menjadi pilihan ideal bagi mereka yang mencari SUV yang lebih kompak tetapi tetap selesa.

Dengan pelbagai ciri keselamatan dan teknologi yang ditawarkan, Honda memastikan setiap perjalanan tidak hanya selamat tetapi juga menyeronokkan. Pilihan antara CR-V dan HR-V bergantung kepada gaya hidup dan keperluan pemandu.

Dan tidak lupa, Honda kini juga mempunyai WR-V, menambah lagi pilihan kepada pengguna yang mencari SUV yang lebih kompak dan berbaloi. Untuk model WR-V, Honda telah hadir dengan penampilan 4 varian yang berbeza iaitu RS, V, E dan S. Kesemuanya (kecuali varian S) dilengkapi dengan penawaran sistem Honda SENSING generasi baharu.

Oleh itu, tidak kira model mana yang anda pilih, setiap model Honda menjanjikan pengalaman pemanduan yang luar biasa.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd