Sejak dari tahun 2006, peningkatan kadar individu yang mengalami obesiti semakin tinggi dari hari ke hari – dan Malaysia tergolong dalam kalangan negara yang paling obes di rantau Asia Tenggara.
Untuk pengetahuan anda, obesiti merupakan punca utama kepada pelbagai jenis penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan juga penyakit jantung.
Oleh itu, untuk mengawal dan mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit ini, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan mengawal pengambilan gula yang berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Di dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah mengumumkan yang mana mereka bakal melaksanakan kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa bermula 1 Januari 2025.
Kadar kenaikan yang akan dilakukan adalah sebanyak 40 sen seliter – ini rentetan daripada permintaan dan penggunaan minuman manis yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dengan perlaksanaan cukai ini, ia dijangka akan mendorong syarikat minuman untuk menawarkan produk dengan kandungan gula yang lebih rendah dan lebih sihat.
Gerakan War on Sugar ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya pengambilan gula berlebihan terhadap kesihatan.
Selain daripada usaha ini, individu juga perlu mula mengamalkan gaya hidup sihat melalui senaman yang konsisten dan pemakanan seimbang. Dengan usaha yang berterusan dan sokongan daripada semua pihak, ia sedikit sebanyak memberi kesan yang positif dalam memerangi masalah obesiti dan penyakit berkaitan gula.