Belanjawan 2025: Tabung Penyakit Jarang Jumpa Ditubuhkan Bagi Meringankan Beban Kos Rawatan Yang Tinggi
Lina Rosli
Di dalam Belanjawan 2025 ini juga, Kerajaan Malaysia turut mengambil langkah proaktif untuk menyokong pesakit yang menghidapi penyakit jarang jumpa dengan menubuhkan Tabung Penyakit Jarang Jumpa.
Menurut Perdana Menteri Malaysia, langkah ini bertujuan membantu meringankan beban kos rawatan yang seringkali tinggi dan membebankan bagi pesakit serta keluarga mereka. Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan RM25 juta bagi membantu menampung kos perubatan penyakit jarang jumpa.

Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan peluasan Skim MySalam bagi meliputi bukan sahaja penyakit jarang jumpa tetapi juga Rheumatoid Arthritis. Dengan peluasan ini, lebih ramai pesakit kini layak menerima manfaat perlindungan kewangan daripada skim tersebut, termasuk bantuan dalam bentuk bayaran tunai atau bantuan perubatan.
Sebagai tambahan, bagi individu yang menyalurkan sumbangan ke dalam Tabung Penyakit Jarang Jumpa, mereka akan layak mendapat potongan cukai bersamaan dengan jumlah sumbangan sebenar.
Langkah ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pihak termasuk individu dan syarikat untuk menyumbang kepada tabung ini, sekaligus membantu meningkatkan dana yang tersedia bagi pesakit yang memerlukan.