Carian
Belanjawan 2025: Kerajaan Memperkenalkan Program PERANTIS Dan Returnship Bagi Menggalakkan Wanita Kembali Bekerja
October 18, 2024 Lina Rosli

Bagi peruntukan untuk wanita di dalam Belanjawan 2025, Kerajaan Malaysia kini menggalakkan wanita untuk kembali bekerja dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang disasarkan bagi memperkasa wanita dalam bidang pekerjaan dan kepimpinan.

Salah satu langkah utama ialah memperhebatkan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang dikelolakan oleh Kementerian Wanita. Program ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita dan memastikan mereka mempunyai peluang untuk mengasah kemahiran kepimpinan serta membina kerjaya dalam sektor korporat.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Program Returnship, sebuah inisiatif baharu yang dijangka akan menggalakkan wanita kembali bekerja, khususnya dalam sektor kewangan. Program ini merupakan hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Melalui program ini, peserta akan diberikan kemudahan latihan untuk mengasah kemahiran terkini yang diperlukan dalam industri kewangan. Selepas itu, mereka akan dihubungkan dengan bakal majikan yang sesuai, bagi membantu mereka kembali menyertai pasaran kerja dengan lebih lancar.

Langkah-langkah ini mencerminkan usaha Kerajaan untuk memastikan lebih ramai wanita mendapat peluang kembali bekerja, mengembangkan potensi diri dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Komen