Jika anda melakukan carian perkataan chitosan di Google, hasil carian yang akan keluar adalah mengenai kegunaan kimia dan peranannya dalam pelbagai industri, termasuk dalam perubatan dan pemprosesan makanan. Biasanya, chitosan sering disebut sebagai bahan yang mempunyai sifat antimikrob, digunakan untuk mengawal bau atau membantu dalam produk penjagaan kulit.
Untuk pengetahuan anda, baru-baru ini, Dyson, yang sebelum ini dikenali sebagai jenama perkakas rumah yang memfokuskan kepada alat pembersihan seperti penyedut hampagas dan lain-lain, telah hadir dengan sebuah rangkaian jenama baharu yang khusus untuk penataan rambut iaitu Chitosan.
Sebagai bahan utama dalam produk penataan rambut ini , ia membantu memberikan gaya tahan lama tanpa menjadikan rambut terasa kaku atau keras seperti sesetengah produk lain. Fokusnya bukanlah semata-mata pada aspek kimianya, tetapi lebih kepada keupayaannya untuk mencipta pengalaman penjagaan rambut yang lebih semula jadi dan mudah digunakan.
Dyson mengambil pendekatan ini untuk menunjukkan bagaimana teknologi dan bahan semula jadi boleh digabungkan untuk menghasilkan produk yang lebih baik dan sesuai dengan keperluan harian pengguna.
Menerusi perkongsian di laman web rasmi mereka, Chitosan ini merupakan jenama untuk produk penataan rambut mereka – iaitu krim pra-perapi, serum pra-perapi, serum pasca-perapi dan juga krim pasca-perapi rambut.
Setakat ini, penawaran Chitosan oleh Dyson ini masih lagi terhad – dan ianya dijangka akan diperluaskan lagi ke lebih banyak pasaran pada masa akan datang.