Carian
Pengalaman Memandu EV Dari KL Ke Kota Bharu Dan Kuala Terengganu – Itenari Yang Boleh Diterokai Khusus Untuk Pemandu Wanita
November 5, 2024 Lina Rosli

Sejak kebelakangan ini, pemanduan kenderaan elektrik (EV) semakin popular di Malaysia, terutamanya apabila kebanyakan syarikat penyedia stesen pengecasan mula memperluaskan akses penawaran stesen pengecasan di seluruh negara.

Jika anda perasan, rata-rata penawaran stesen pengecasan banyak tersedia di sekitar bandar utama seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan juga Johor. Manakala pada bahagian timur Semenanjung Malaysia pula, jumlah stesen pengecasan masih lagi terhad – ini sekaligus membuatkan orang ramai khususnya pemilik kenderaan elektrik masih tidak berani untuk melakukan perjalanan ke kawasan sekitar sana.

Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai satu konvoi khas yang diadakan khusus untuk pemandu wanita – yang mana konvoi ini dianjurkan oleh MyZEVA iaitu Persatuan Kenderaan Bermisi Sifar bersama-sama dengan beberapa rakan industri termasuk TNB Electron, Gentari dan ChargeSini.

Konvoi ini membawa kami menerokai pengalaman merentasi Pantai Timur menggunakan kenderaan elektrik. Ia merupakan satu pengalaman unik yang bukan sahaja mencabar, tetapi juga menyeronokkan.

Jadi, jika anda ingin tahu, pengalaman pengembaraan memandu kenderaan elektrik – bermula dari Kuala Lumpur dan kemudiannya ke Kota Bharu dan turun semula ke Kuala Terengganu, berikut adalah pengalaman saya memandu tiga model EV yang berbeza sepanjang tiga hari perjalanan ini.

Hari Pertama: Dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan – Memandu Xpeng G6

Pada hari pertama, saya memulakan perjalanan dari TNB Bangsar yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu dengan memandu Xpeng G6.

Saya telah lama teruja untuk memandu sendiri kenderaan ini, dan ternyata ia tidak mengecewakan. Pemanduan lancar, sistem bantuan pemanduan yang canggih serta kabin yang luas membuatkan perjalanan sejauh lebih 600km (ke Kota Bharu) terasa selesa.

Salah satu ciri paling menarik tentang Xpeng G6 adalah sistem bantuan pemanduannya yang inovatif. Dengan teknologi pemanduan autonomi, kenderaan ini dilengkapi dengan pelbagai ciri yang membuatkan pemanduan lebih selamat dan lebih mudah.

Contohnya, ciri Lane Change Assist membolehkan kenderaan bertukar lorong dengan lancar. Anda hanya perlu mengaktifkan isyarat kiri atau kanan – dan Xpeng G6 akan menguruskan selebihnya, memastikan perubahan lorong dilakukan dengan selamat.

Seterusnya, sewaktu pemanduan panjang di Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) dari Temerloh ke Paka, saya mengaktifkan ciri Adaptive Cruise Control – juga merupakan satu kelebihan yang saya nikmati semasa perjalanan kerana sewaktu di LPT2, situasi jalan raya adalah sangat kosong dan membosankan. Oleh itu, sistem ini mampu menyesuaikan kelajuan kenderaan secara automatik berdasarkan trafik di hadapan.

Dengan ini, saya dapat berehat lebih dan tidak perlu risau tentang mengawal kelajuan secara manual, terutamanya ketika berada dalam keadaan lalu lintas yang tidak banyak kereta. Ini memberikan pengalaman memandu yang lebih santai dan kurang stres.

Ruang kaki yang cukup dan tempat duduk yang ergonomik memastikan saya tidak berasa penat walaupun memandu jauh. Ditambah pula dengan skrin sentuh yang responsif dan sistem inforia yang mesra pengguna, saya dapat menikmati muzik kegemaran saya sambil memandu tanpa sebarang gangguan.

Dalam perjalanan menuju ke Pantai Timur, kami singgah di beberapa lokasi untuk pertukaran pemandu dan pengecasan EV.

Salah satu hentian pertama kami adalah di RnR Temerloh, diikuti dengan Pahang Technology Park (PTP) di Gambang untuk mengecas EV dari 50% ke 86% dalam masa 20 minit – di sini stesen pengecasan yang tersedia adalah dari Gentari. Untuk pengetahuan anda, sistem pengecasan Xpeng G6 membolehkan kapasiti pengecasan sehingga 215 kW.

Jadinya, sewaktu di Gentari, walaupun jumlah kenderaan konvoi kami pada ketika itu mencapai bilangan 10 kereta, namun, kami tidak perlu menunggu untuk mengecas untuk tempoh yang lama.

Bercakap mengenai Pahang Technology Park, jika anda merancang untuk melakukan perjalanan ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu ataupun Kuala Terengganu, Gentari menawarkan sebuah pengecas DC 60kW serta dua pengecas AC 22kW, yang direka untuk memberi kemudahan pengecasan yang cekap dan pantas.

Pengecas DC 60kW ini menyediakan dua nozel CCS2, menjadikannya sesuai untuk mengecas dua kenderaan serentak dengan kelajuan pengecasan yang optimum. Bagi pengguna yang ingin mengecas dengan lebih pantas, pengecas DC ini dikenakan caj sebanyak RM1.40 seminit, bersamaan RM42 untuk 30 minit.

Dengan kapasiti 60kW, pengecas ini menawarkan pengalaman pengecasan yang lebih pantas. Pemandu boleh kembali ke jalan raya dengan lebih cepat, terutama sekali semasa waktu puncak atau hujung minggu ketika permintaan untuk infrastruktur pengecasan sering meningkat.

Disebabkan konvoi ini memang merancang untuk melakukan hentian seterusnya di RnR Paka, maka kami tidaklah mengecas Xpeng G6 ini sehingga penuh. Untuk pengetahuan anda, tidak seperti petrol, yang mana untuk kebanyakan pengisian minyak, pemandu cenderung untuk memastikan setiap isian dilakukan secara maksimum.

Tetapi untuk kenderaan elektrik, adalah disarankan untuk anda mengecas kenderaan anda berdasarkan kilometer yang anda akan bergerak.

Jarak antara Pahang Technology Park ke RnR Paka adalah sekitar 160km. Dan di sana, sekali lagi kami mengecas kereta kami di tapak TNB Electron. Di sini, stesen pengecasan EV ini dilengkapi dengan dua pengecas DC 90kW, membolehkan dua kenderaan dicas serentak.

Dengan kapasiti pengecasan tinggi, pemandu boleh mengurangkan masa berhenti rehat, menjadikannya sesuai untuk mereka yang ingin kembali ke perjalanan dengan cepat.

Jika anda tidak ingin berhenti di RnR, anda juga boleh merancang untuk singgah ke Petron Kampung Gemuruh. Jaraknya kira-kira 124km dari RnR Paka. Di sini, Petron dengan kolaborasi bersama TNB Electron telah menyediakan stesen pengecas EV – menawarkan output sebanyak 34kW yang boleh diakses menggunakan aplikasi Go To-U.

Harga pengecasan yang ditawarkan adalah RM1.40 per kWh – menjadikannya pilihan yang berpatutan untuk pengecasan sebelum sambung perjalanan ke Kota Bharu.

Untuk mengekalkan penggunaan tenaga yang optimum dengan baki jarak dari Petron Kg. Gemuruh ke Hotel Perdana sekitar 147km, mod perjalanan yang digunakan adalah mod ECO. Ini bagi memastikan penjimatan tenaga yang baik sebelum tiba ke lokasi pengecasan yang seterusnya.

Kami tiba di Hotel Perdana, Kota Bharu sekitar jam 8.00 malam. Selepas seharian di jalan raya, hotel ini memberikan kelegaan dengan kemudahan yang selesa dan makan malam yang lazat.

Dan di Hotel Perdana ini, mereka menawarkan empat pengecas EV yang disediakan oleh Gentari, dengan pelbagai pilihan sesuai untuk keperluan pengecasan yang berbeza. Untuk pelanggan yang menetap di hotel, anda disarankan untuk menggunakan pengecas AC dengan kuasa output 11kW dan 22kW. Ini bagi menjimatkan kos pengecasan – yang mana ia ditawarkan pada harga RM0.90 per kWH.

Selain dua pengecas AC, Hotel Perdana Kota Bharu juga turut menampilkan satu pengecas DC 60kW dengan dua nozel CCS2 yang boleh digunakan untuk pilihan pengecasan pantas pada harga RM1.50 per kWh.

Hari Kedua: Dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu – Memandu BMW iX2

Hari kedua, saya berpeluang memandu BMW iX2 – sebuah kenderaan elektrik yang menawarkan gabungan antara kuasa dan keselesaan.

Sebelum bergerak ke Kuala Terengganu, kami sempat singgah di Dataran Rehal, Kota Bharu bagi sesi mengambil gambar kereta.

Dari Kota Bharu, kami bertolak sekitar jam 10.30 pagi – dan melakukan perjalanan ke destinasi pertama kami iaitu Petron Selising. Di sini, kami berhenti untuk makan tengahari sambil menerokai stesen pengecas terbaru oleh TNB Electron di cawangan Petron ini.

Petron Selising ini merupakan stesen minyak yang pertama hadir dengan stesen pengecasan untuk kenderaan elektrik di Kelantan. Penambahan lokasi pengecas EV di Petron Selising akan menjadi lokasi strategik terbaru bagi TNB Electron untuk memudahkan akses pengguna EV di kawasan ini.

Menurut TNB Electron, penawaran ini adalah selari dengan misi mereka – di mana kira-kira 100km perjalanan, anda akan menemui stesen pengecas EV yang seterusnya (jarak antara Petron Kg Gemuruh ke Petron Selising adalah sekitar 117km).

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan jaringan stesen pengecasan di sepanjang laluan Pantai Timur tetapi juga membantu mempromosikan penggunaan EV dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

Dengan adanya pengecas DC berkapasiti tinggi iaitu 100kW di Petron Selising, pemandu EV kini mempunyai pilihan untuk mengecas dengan pantas ketika melalui laluan ini. Kemudahan pengecasan ini diharap dapat memudahkan perjalanan jarak jauh, khususnya bagi mereka yang melakukan perjalanan dari Lembah Klang ke Pantai Timur dan sebaliknya.

Selepas selesai makan tengahari, saya meneruskan perjalanan ke Pantai Penarik sebelum tiba ke destinasi akhir konvoi.

Saya teruja dengan prestasi BMW iX2 yang menawarkan pemanduan yang begitu mantap, terutamanya semasa melalui jalan pantai yang berliku. Secara umumnya, BMW iX2 hadir dengan sistem bantuan pemanduan yang canggih dan intuitif, direka untuk meningkatkan keselamatan dan memberikan pengalaman pemanduan yang memuaskan.

Untuk perjalanan di jalan kampung, saya menggunakan ciri Active Cruise Control yang dilengkapi dengan fungsi Stop & Go – yang mana kenderaan ini akan mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan secara automatik.

Ciri ini membolehkan kenderaan memperlahankan kelajuan atau berhenti sepenuhnya ketika kesesakan lalu lintas, dan kemudian memecut semula apabila laluan kembali lancar. Fungsi ini memastikan perjalanan yang lebih selesa, terutama untuk pemanduan jarak jauh atau dalam kesesakan jalan raya.

Selain itu, saya juga sempat menggunakan bantuan pemanduan berasaskan AI (Kecerdasan Buatan) seperti mod Efficient, mod Expressive, mod Sport dan juga mod Relaxing yang dapat mempelajari corak pemanduan anda dan memberikan cadangan yang relevan untuk meningkatkan pengalaman pemanduan.

AI ini dapat membantu pemandu menyesuaikan suhu kabin, menetapkan laluan navigasi yang lebih lancar dan mengoptimumkan penggunaan tenaga untuk perjalanan yang lebih efisien.

Selain ciri bantuan pemanduan, BMW iX2 menonjol dengan rekabentuk aerodinamik yang elegan, ruang dalaman yang agak luas – untuk keluarga kecil dan kemasan premium. SUV elektrik ini menjanjikan perjalanan yang lebih mesra alam dan penuh gaya.

Namun, untuk ruang meletakkan barang di belakang, saiznya agak kecil dan tidak sesuai untuk perjalanan jauh dan lama – yang mana memerlukan anda untuk membawa lebih banyak barang danjuga bagasi.

Kami tiba di Raia Hotel & Convention Centre pada petang hari, dan destinasi kedua terakhir sebelum ke hotel adalah berhenti di Mydin Gong Badak untuk menerokai stesen pengecasan EV yang disediakan oleh ChargeSini.

Dengan kehadiran ChargeSini di pusat membeli-belah kegemaran rakyat Terengganu, nampaknya, pengguna EV di kawasan Terengganu mungkin akan lebih tersenyum lebar. Ini kerana langkah ini memberi peluang kepada pengguna untuk mengecas kenderaan mereka sambil membeli-belah atau menguruskan urusan harian di pusat beli-belah tersebut.

Stesen pengecasan yang disediakan oleh ChargeSini ini menawarkan satu pengecas DC 60kW dengan dua nozel CCS2. Dan untuk pengecasan di pengecas ini, harga yang ditawarkan adalah RM1.39 per kWh.

Hari Ketiga: Dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur – Memandu Kia EV6

Hari terakhir, saya memandu Kia EV6, sebuah EV dengan reka bentuk yang futuristik dan prestasi yang mengagumkan. Perjalanan saya bermula selepas bersarapan di Raia Hotel dan kami singgah sebentar di Jambatan Angkat yang ikonik di Kuala Terengganu untuk mengambil beberapa gambar Kia EV6.

Memandu Kia EV6 dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur adalah pengalaman yang mengujakan dan selesa. Kenderaan elektrik ini bukan sahaja tampil dengan prestasi yang bertenaga tetapi juga menawarkan pelbagai ciri bantuan pemanduan yang menjadikannya stabil dan mudah dikendalikan walaupun dalam perjalanan jarak jauh.

Berbeza dengan dua EV yang saya pandu sebelum ini, Kia EV6 menggunakan dwi-motor yang memberikan pemanduan yang lebih berkuasa – seperti ciri yang membolehkan pengagihan tork yang lebih baik antara roda belakang dan depan, memastikan pengendalian yang optimum di pelbagai jenis permukaan jalan.

Ini kerana sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, cuaca di sekitar Chukai, Terengganu agak merisaukan. Walaupun menggunakan laluan LPT2, tapi disebabkan hujan yang agak lebat, semestinya membuatkan pengalaman pemanduan agak mendebarkan.

Selain itu, Kia EV6 juga dilengkapi dengan sistem suspensi adaptif yang membolehkan penyesuaian automatik berdasarkan keadaan jalan dan gaya pemanduan. Dengan ini, saya boleh menikmati pengalaman pemanduan yang lebih sporty atau lebih selesa, bergantung kepada keperluan semasa.

Ciri pemanduan lain yang sempat saya gunakan juga adalah Smart Cruise Control yang sangat membantu kerana ia membolehkan EV6 mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan secara automatik.

Di dalam situasi perjalanan yang panjang di lebuhraya, ciri ini mampu memperlahankan atau menghentikan kenderaan, dan kemudian memulakannya semula apabila laluan kembali lancar, meminimumkan keperluan untuk mengawal pedal secara berterusan.

Mengenai pengecasan pula, untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu, kami berhenti hanya berhenti sekali untuk pengecasan iaitu di Pahang Technology Park di Gambang. Ini kerana ia merupakan destinasi yang paling ideal untuk berhenti sebelum meneruskan perjalanan semula ke TNB Bangsar, Kuala Lumpur.

Disebabkan konvoi ini menampilkan bilangan kereta EV yang banyak, maka ia beri kesan kepada tempoh menunggu kami di Pahang Technology Park. Ini kerana jarak perjalanan dari Kuala Terengganu ke Pahang Technology Park agak jauh, sekitar 328km. Jadi, apabila tiba di stesen pengecasan Gentari ini, masing-masing mempunyai peratus bateri yang rendah iaitu kira-kira 5% hingga 10%.

Jadinya, untuk beberapa EV seperti Smart #1 (66kWh), Neta X (62–63.56 kWh), Aion Y (63.2kWh), dan BMW iX2 (64.8 kWh) memerlukan masa yang agak lama untuk mengecas iaitu sekitar 45 minit jika mengecas menggunakan pengecas DC 60kW dan 3 hingga 4 jam jika menggunakan pengecas AC 22kW.

Refleksi Keseluruhan

Pengalaman memandu tiga model EV yang berbeza selama tiga hari ini benar-benar membuka mata saya tentang potensi kenderaan elektrik.

Walaupun bilangan stesen pengecasan di sepanjang laluan Pantai Timur maish lagi terhad, namun disebabkan perancangan yang teliti tentang jarak dari satu stesen ke stesen yang lain yang masih lagi dalam jumlah kilometer yang tidak jauh, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kebimbangan kehabisan kuasa bateri.

Untuk pengetahuan anda, menjelang tahun yang mendatang, TNB Electron turut menyasarkan untuk membuka lebih banyak lagi stesen pengecasan bateri – dengan jarak dari satu stesen ke stesen yang lain sekitar 120km menjadikan pemanduan lebih tenang dan selamat.

Akhir sekali, jika anda seorang pemandu wanita yang ingin mencuba pengalaman memandu EV sambil menikmati keindahan Pantai Timur, itinerari ini mungkin menjadi panduan terbaik untuk anda. Perjalanan ini bukan sahaja mendekatkan saya dengan keindahan alam, tetapi juga menunjukkan kepada saya bahawa masa depan pemanduan benar-benar berada dalam tangan teknologi elektrik.

Komen