Koppiku Memperkenalkan Siri Matcha Dreams – Ginger Calamansi Matcha, Mango Coconut Matcha Latte Dan Dirty Matcha Latte

October 28, 2024
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Koppiku memperkenalkan siri terbaru mereka, Matcha Dreams, yang menggabungkan keunikan rasa matcha dengan pelbagai bahan menarik – disesuaikan dengan citarasa tempatan.

Siri ini menawarkan tiga minuman eksklusif yang ditawarkan untuk tempoh terhad iaitu sehingga 24 November ini. Antara minuman yang pasti menggembirakan para penggemar matcha termasuklah Ginger Calamansi Matcha, Mango Coconut Matcha Latte dan Dirty Matcha Latte.

Setiap minuman dalam siri Matcha Dreams ini menampilkan rasa yang unik. Ginger Calamansi Matcha menggabungkan kehangatan halia dengan keasidan calamansi, memberikan rasa segar yang sesuai dinikmati pada bila-bila masa.

Sementara itu, Mango Coconut Matcha Latte menyajikan keseimbangan rasa tropika mangga dan kelapa yang menyegarkan – menciptakan minuman yang manis dan memuaskan.

Bagi mereka yang ingin sesuatu yang lebih berani, Dirty Matcha Latte menggabungkan matcha dengan suntikan espresso untuk menambahkan lapisan rasa yang kaya dan beraroma.

Menurut Arif, barista di Koppiku, setiap minuman yang dihidangkan ini telah melalui pelbagai sesi percubaan sebelum disertakan di dalam menu – ini bagi memastikan kualiti rasa bagi minuman siri Matcha Dreams ini menepati citarasa penggemar matcha.

Untuk pengetahuan anda, selain daripada 3 minuman istimewa ini, Koppiku telahpun sedia menawarkan pilihan Matcha Latte biasa – yang mana mereka menggunakan serbuk matcha berkualiti dan ditambah dengan ratio susu dan gula yang seimbang.

Sekiranya anda tidak begitu mengenali tentang Koppiku, mereka merupakan jenama kopi tempatan yang menyajikan barisan pilihan air yang pelbagai – bermula dari kopi berasaskan espresso sehingga ke minuman coklat dan coolers. Dan apa yang menarik, jenama ini menawarkan pilihan minuman pada harga yang berpatutan iaitu pada harga sekitar RM5.90 sehingga ke RM9.90.

Menarik, bukan? Sehingga ke hari ini, sebanyak 40 cawangan Koppiku telah dibuka di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur – dan dijangka akan diperluaskan ke dua buah negeri lain di Malaysia iaitu Pahang dan juga Kelantan.

Tambah Koppiku lagi, menjelang akhir tahun 2024 ini, jenama mereka bakal mempunyai sebanyak 53 cawangan dan cawangan pertama untuk Pahang akan dibuka di Kuantan pada bulan November ini.

Untuk pengetahuan anda, siri Matcha Dreams ini direka untuk mereka yang ingin menikmati kelainan rasa matcha sambil menikmati minuman yang menyegarkan. Tersedia di semua cawangan Koppiku, pastikan anda mencuba siri Matcha Dreams ini untuk merasai pengalaman minuman yang tidak terlupakan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd