Setelah satu tahun lebih beroperasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, Koppiku, sebuah nama yang semakin dikenali dalam dunia kopi di Malaysia nampaknya bakal melancarkan sebuah aplikasi mudah alih kepada umum.
Ditubuhkan pada tahun lepas iaitu pada 1 September 2023, Koppiku telah membuka cawangan pertama mereka di Plaza Mont Kiara. Dan kini, jenama ini telah mempunyai lebih 40 cawangan yang tersedia di kebanyakan pusat perniagaan, kawasan perumahan, universiti dan juga berdekatan dengan kawasan pengangkutan awam seperti di LRT, MRT dan monorel.
Mengenai aplikasi Koppiku, jenama ini dilihat komited dalam menawarkan pengalaman pembelian yang lebih lancar dan memuaskan kepada para penggemarnya, sama ada untuk pesanan di kedai atau pembelian secara bawa pulang.
Antara ciri utama yang bakal ditawarkan termasuklah sistem pengumpulan mata ganjaran, di mana pelanggan boleh mengumpul mata setiap kali mereka membuat pesanan. Dengan ini, Koppiku ingin memberikan lebih banyak manfaat kepada pelanggan setia mereka sambil menggalakkan lebih ramai untuk menikmati pelbagai pilihan minuman yang disediakan.
Buat masa ini, tarikh pelancaran aplikasi masih lagi tidak diumumkan. Namun, anda boleh menjangkakan pengenalannya dalam masa terdekat.