Fesyen adalah cerminan budaya, identiti dan aspirasi masyarakat – tidak kira sama ada di Malaysia mahupun di negara Asia yang lain. Kesemuanya mempunyai sejarah yang tersendiri, selain turut hadir dengan unsur dan mesej yang ingin diketengahkan.
Untuk pengetahuan anda, setiap era fesyen bergerak selari dengan perubahan dalam gaya berpakaian yang dipengaruhi oleh perkembangan politik, sosial dan ekonomi – baik dari dalam mahupun luar negara.
Oleh itu, di dalam artikel ini, anda boleh menerokai beberapa era penting dalam fesyen di Malaysia dan Asia serta impaknya kepada gaya global hari ini.
Era Kemerdekaan: 1940-an Hingga 1960-an
Di Malaysia, era sebelum dan selepas kemerdekaan pada tahun 1957 menyaksikan pengaruh fesyen yang lebih berorientasikan budaya tradisional seperti baju kurung, kebaya, cheongsam dan sari yang menjadi pakaian harian wanita.
Era 1950-an merupakan satu tempoh yang menarik dalam sejarah fesyen Malaysia, di mana trend kecantikan dan gaya pakaian mula dipengaruhi oleh budaya tempatan dan pengaruh luar. Dalam dekad ini, kemunculan ikon kecantikan tempatan seperti Kasma Booty dan Maria Menado menjadi faktor utama yang mempopularkan gaya fesyen yang unik dan memikat hati ramai.
Kasma Booty dan Maria Menado adalah dua pelakon yang mencipta nama besar melalui filem-filem klasik Melayu seperti Juwita (1951) dan Sumpah Pontianak (1958). Mereka bukan sahaja menjadi bintang layar perak tetapi juga simbol kecantikan dan gaya bagi wanita pada zaman itu. Gaya rambut yang mereka tampilkan dalam filem diatur dengan kemas dan berani, menggambarkan kecantikan feminin yang diidamkan ramai wanita.
Filem-filem arahan P. Ramlee dan karya seni dari era ini juga mencerminkan trend fesyen yang popular pada waktu itu. Dari baju kurung dengan potongan yang anggun hingga ke gaun malam yang glamor, fesyen pada era 1950-an menunjukkan peralihan dari gaya tradisional ke arah yang lebih moden.
Manakala di negara Asia di bahagian timur pula seperti di Jepun, tahun 1950-an menyaksikan kebangkitan kimono moden dan western fashion yang diadaptasi dalam gaya tempatan. Untuk pengetahuan anda, hingga pertengahan abad ke-20, Jepun memperlihatkan gaya yang agak “pasif” di dalam industri fesyen.
Namun, menjelang era transformasi, Jepun dilihat mula menghadapi revolusi fesyen dalaman. Angin perubahan mula bertiup semasa Pendudukan Tentera Amerika Syarikat.
Selepas perang, pakaian Barat mula digunapakai – dimulakan oleh para pelacur terlebih dahulu. Dan kemudian, secara beransur-ansur fesyen Barat mula diadopsi oleh wanita Jepun, membantu mentakrifkan semula imejnya dan mengintegrasikannya ke dalam corak fesyen Jepun yang lebih luas.
Era Modenisasi: 1970-an Hingga 1980-an
Pada dekad ini, negara-negara Asia mula melihat pengaruh fesyen Barat yang semakin menonjol. Di Malaysia, generasi muda mula bereksperimen dengan pakaian Barat seperti skirt mini, pakaian pop-art, dan potongan yang lebih moden – hasil pengaruh media dan muzik dari Barat.
Di Thailand, fesyen ala Barat mulai mempengaruhi golongan muda di negara itu – namun, menerima tentangan yang kuat dari Jeneral Thanom Kittikachorn pada tahun 1967. Ini kerana, beliau menyatakan bahawa pemakaian skirt mini sedikit sebanyak boleh menyebabkan serangan seksual. Beliau juga mengarahkan saluran TV untuk menghentikan tayangan pertunjukan fesyen yang menampilkan pakaian skirt mini, serta menggesa pelajar dan pegawai wanita kerajaan agar tidak memakainya.
Dalam dekad yang sama, Malaysia mula dipengaruhi fesyen yang lebih moden dan berstruktur. Individu mula mengenakan denim atau jeans – merangkumi denim jenis highrise, midrise, lowrise atau superlow rise. Dipadankan dengan pakaian yang lebih praktikal, kebiasaannya denim ini dipakai bersama t-shirt putih dan ballet flats. Pada majlis tertentu yang memerlukan pakaian formal, individu akan menggayakan jumpsuit dan juga gaun.
Di Jepun, fesyen wanita turut mengalami transformasi yang besar. Pada awal tahun 1970-an, terdapat pergeseran dari gaya pakaian tradisional seperti kimono ke arah gaya barat. Wanita mula berani memakai skirt mini dan seluar jeans, walaupun terdapat tentangan dari golongan konservatif.
Ketika ini, media memainkan peranan penting dalam membentuk dan mempromosikan fesyen. Majalah fesyen seperti “FRUiTS” dan “Tokyo Vogue” muncul untuk menampilkan rekaan-rekaan yang avant-garde dan pelbagai gaya.
Pereka fesyen seperti Kenzo membantu menjadikan fesyen Jepun lebih dikenali di peringkat antarabangsa, di samping generasi muda mengubah pandangan tentang apa yang boleh dipakai dan bagaimana mereka ingin diekspresikan.
Era Warna, Eksperimen Dan Ekspresi Diri: 1990-an Hingga 2000-an
Menjelang tahun 1990-an, fesyen di Malaysia semakin dipengaruhi oleh warna-warna terang, potongan besar dan gaya rambut yang lebih berani. Dekad ini juga menyaksikan kebangkitan gaya power dressing yang menonjolkan bahu lebar dan blazer bagi wanita, melambangkan semangat bekerja dan keyakinan diri yang tinggi.
Pada era ini juga, fesyen di Malaysia dan negara-negara Asia semakin mendapat pengaruh antarabangsa. Jenama-jenama fesyen dari Malaysia seperti Jimmy Choo telah berjaya mencipta nama di pentas global dengan gabungan rekaan tradisional dan kontemporari.
Kasut tumit tinggi pumps Jimmy Choo pada ketika itu telah mendominasi pasaran. Ia hadir dengan rekaan elegan dan menjadi pilihan utama di kalangan selebriti dan penggemar fesyen.
Di Korea Selatan, fesyen mula memasuki era yang lebih eksperimental dengan sentuhan gaya K-pop yang menampilkan corak dan warna yang unik. Fenomena Hallyu atau gelombang Korea mula memperkenalkan gaya fesyen K-pop dan K-fashion yang kemudiannya diterima oleh peminat di seluruh dunia.
Manakala di Jepun pula, subkultur seperti harajuku menjadi popular dan menarik perhatian dunia dengan gaya eklektik mereka. Pada masa ini, Asia bukan lagi sekadar mengadaptasi fesyen dari Barat, tetapi telah menjadi salah satu pusat inspirasi fesyen dunia. Gabungan antara elemen tradisional dan moden ini membentuk gaya fusion yang unik dan menjadi bukti bahawa fesyen sentiasa berkembang.
Era Inovasi Dan Kepelbagaian: 2010-an Hingga Sekarang
Fesyen di Malaysia pada tahun 2020-an mencerminkan kekayaan budaya dan kepelbagaian etnik yang ada di negara ini. Kemunculan platform edagang seperti Zalora, Shopee, TikTok dan Shein telah berjaya menggabungkan elemen fesyen daripada pelbagai negara – menghasilkan gaya yang versatil dan pelbagai.
Jika anda lihat pada era pandemik COVID-19, keselesaan menjadi kunci dalam pemilihan pakaian. Gaya hidup yang lebih santai menjadikan seluar jogger, baju oversized dan kasut kasual semakin popular berbanding pakaian formal.
Kebanyakan jenama fesyen seperti H&M dan Uniqlo turut memperkenalkan koleksi yang lebih praktikal, sesuai untuk memenuhi keperluan masyarakat yang banyak menghabiskan masa di rumah.
Bukan itu sahaja, media sosial berperanan besar dalam mempromosikan fesyen Malaysia, dibantu dengan kebangkitan pempengaruh tempatan yang memberi inspirasi kepada generasi muda. Gaya hijab moden juga mengalami transformasi dengan pelbagai pilihan yang stylish, membolehkan wanita Muslim mengekspresikan diri dengan lebih kreatif.
Perjalanan sejarah fesyen di Malaysia dan beberapa negara Asia menunjukkan kepelbagaian dan keunikan yang tercipta dari gabungan budaya, perubahan sosial serta pengaruh global.
Setiap dekad memperlihatkan tentang bagaimana fesyen bukan sekadar pilihan pakaian tetapi cara untuk mengekspresi identiti. Dengan melihat evolusi fesyen dari zaman tradisional hingga ke era globalisasi ini, kita dapat melihat perubahan dalam setiap gaya yang ada, sambil terus memberi inspirasi untuk gaya fesyen masa kini yang lebih inklusif dan bervariasi.