Rolls-Royce telah mencuri perhatian dunia dengan memperkenalkan sebuah kereta yang hanya ada satu sahaja di dunia iaitu Phantom Goldfinger – bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 filem ikonik James Bond, Goldfinger.
Kereta unik ini menggunakan reka bentuk Rolls-Royce Phantom III Sedanca de Ville yang dikeluarkan pada tahun 1937 – dan kereta ini pernah muncul di dalam filem Goldfinger pada tahun 1964 yang dibintangi oleh Sean Connery.


Menurut Rolls-Roys, Phantom Goldfinger bukan sekadar sebuah kereta tetapi merupakan sebuah karya seni yang direka dengan penuh ketelitian. Mengambil masa kita-kira tiga tahun untuk menghasilkannya, Rolls-Royce menggabungkan pelbagai keunikan menerusi kereta ini – selain turut menggunakan elemen di dalam filem Goldfinger sebagai rujukan untuk hiasan dalam kenderaan.
Kereta ini menampilkan pelbagai butiran bertemakan emas yang mengagumkan. Salah satu butiran menarik adalah tongkat golf yang disalut emas yang diletakkan di dalam bonet – ia merujuk kepada perlawanan golf penting antara Bond dan penjahat Auric Goldfinger.


Bukan itu sahaja, Rolls-Royce Phantom Goldfinger mempunyai ciri yang luar biasa dalam bahagian dalamannya iaitu karya seni Bespoke dalam Galeri Phantom. Ia memaparkan peta kontur Swiss Alps yang dilukis dengan tangan selain turut direka dengan teliti menggunakan keluli tahan karat dan juga salutan emas 22-karat.

Sebagai tambahan, bingkai jam Bespoke turut menambah sentuhan elegan menjadikan karya seni ini satu bukti kepada kemahiran dan kreativiti yang menjadi ciri khas Rolls-Royce.
Terdapat juga figurin Spirit of Ecstasy yang bersalut emas dan sebuah batang emas 18-karat berbentuk Phantom, yang diletakkan dengan bijak dalam peti yang direka khas di konsol tengah kereta.



Setakat ini, identiti pemilik Rolls-Royce Phantom Goldfinger masih lagi misteri. Bukan itu sahaja, Rolls-Royce juga tidak mengumumkan kos projek mewah ini.
Namun, seperti yang anda tahu, harga kereta khas dari Rolls-Royce ini sudah tentu datang dengan harga yang tinggi. Ini selari dengan imej yang mencerminkan kemewahan dan keterampilan yang menjadi tanda dagang jenama ini.