1 Daripada 2 Individu Di Malaysia Alami Obesiti – Ketahui Kesan Tersembunyi Di Sebalik Risiko Obesiti
Lina Rosli
Tahukah anda, obesiti kini menjadi isu kesihatan serius di Malaysia? Statistik menunjukkan bahawa 1 daripada 2 individu dewasa di negara ini – bersamaan kira-kira 11 juta individu di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Secara umumnya, lebihan lemak dalam tubuh bukan sahaja mengubah penampilan, malah membawa risiko besar kepada kesihatan seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser.

Obesiti Dan Diabetes
Untuk pengetahuan anda, obesiti adalah salah satu penyumbang utama kepada diabetes, khususnya diabetes jenis 2. Ini kerana lemak berlebihan boleh mengganggu fungsi insulin – yang merupakan hormon yang mengawal gula dalam darah.
Berikut adalah antara kesan obesiti terhadap tubuh:
- Kerintangan Insulin – Lemak berlebihan, terutama di bahagian perut boleh menyebabkan sel tubuh menjadi kurang sensitif kepada insulin. Akibatnya, paras gula dalam darah kekal tinggi dan lama-kelamaan boleh membawa kepada diabetes.
- Radang Kronik – Lemak berlebihan juga berisiko menimbulkan radang di seluruh tubuh – yang mana ia tidak kelihatan pada awalnya, namun boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk. Radang ini menghalang insulin daripada berfungsi dengan baik.
- Kekurangan Insulin – Apabila pankreas terpaksa bekerja lebih keras untuk menghasilkan insulin, ia boleh menyebabkan gangguan kepada sistem yang mana ia perlu menggunakan tenaga lebih dari yang sepatutnya dan akhirnya gagal menghasilkan insulin yang mencukupi untuk mengawal paras gula.

Bagaimana Lemak Berlebihan Membebankan Jantung?
Selain itu, obesiti juga akan memberi tekanan tambahan kepada jantung. Ini kerana lemak berlebihan boleh menyebabkan penyumbatan pada arteri serta meningkatkan tekanan darah. Antara kesan obesiti terhadap kesihatan jantung termasuk:
- Arteri Tersumbat – Arteri boleh diibaratkan sebagai paip yang tersumbat dengan kolesterol akibat obesiti. Penyumbatan ini menyebabkan aliran darah tidak lancar, meningkatkan risiko serangan jantung.
- Jantung Membesar – Beban tambahan memaksa jantung untuk mengepam lebih banyak darah, menyebabkan otot jantung menebal. Keadaan ini boleh membawa kepada kegagalan jantung yang serius.
- Paras Kolesterol Tidak Sihat – Obesiti sering disertai dengan paras kolesterol jahat yang tinggi dan kolesterol baik yang rendah, mencipta resipi bahaya untuk penyakit jantung.
Bolehkah Obesiti Meningkatkan Risiko Kanser?
Jawapannya, ya. Obesiti memang boleh meningkatkan risiko beberapa jenis kanser. Ini disebabkan oleh beberapa faktor biologi yang berlaku dalam tubuh apabila seseorang mempunyai lebihan lemak, termasuk peningkatan hormon, radang berpanjangan dan perubahan dalam metabolisme tubuh.
Berikut adalah sebab-sebab utama mengapa obesiti dikaitkan dengan risiko kanser yang lebih tinggi:
- Hormon. Dalam keadaan obesiti, tahap hormon ini boleh menjadi lebih tinggi daripada biasa. Lebihan estrogen ini boleh merangsang pertumbuhan sel-sel tertentu yang meningkatkan risiko kanser payudara dan kanser rahim pada wanita.
- Keradangan. Lebihan lemak, terutamanya di bahagian perut, mengeluarkan bahan kimia yang mencetuskan radang (inflamasi) berterusan dalam tubuh. Radang ini dianggap berbahaya kerana ia mencipta persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan sel-sel kanser. Radang yang berpanjangan ini boleh merosakkan DNA dalam sel, sekaligus meningkatkan risiko pembentukan sel kanser.
- Paras Insulin. Individu yang mengalami masalah obesiti sering mengalami paras insulin dan faktor pertumbuhan insulin yang lebih tinggi di dalam darah. Kedua-dua faktor ini boleh merangsang pertumbuhan sel, termasuk sel-sel kanser. Paras insulin yang tinggi juga boleh menyebabkan sel-sel kanser tumbuh dengan lebih pantas dan menggalakkan penyebaran sel kanser.
- Perubahan Dalam Pembentukan Sel Metabolisme. Individu yang mengalami obesiti juga mengalami perubahan sel metabolisme – yang mana ia menyebabkan pertumbuhan dan pembahagian sel yang tidak terkawal. Selain itu, lemak yang berlebihan menggalakkan keadaan hipoksia (kekurangan oksigen) dalam tisu yang mencetuskan pertumbuhan saluran darah baru untuk menyokong sel-sel kanser.

Mulakan Langkah Positif – Kawal Berat Badan Anda
Obesiti bukan sahaja berkait dengan penampilan tetapi juga kesihatan yang lebih besar. Khusus anda yang mengalami obesiti, anda boleh mula mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, dan sekiranya ia berlarutan sehingga ke paras yang membimbangkan, anda boleh mendapatkan bantuan daripada para pakar seperti di Alpro Pharmacy.
Di Alpro Pharmacy, mereka mempunyai pakar kesihatan seperti doktor, ahli farmasi dan pakar dietetik yang boleh membimbing anda dalam usaha menurunkan berat badan.
Pilihan seperti ubat-ubatan, diet terkawal (seperti puasa berkala atau diet rendah karbohidrat), serta senaman dan suplemen yang sesuai boleh disyorkan mengikut keadaan kesihatan anda. Harus diingatkan, elakkan daripada tunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk – mulakan langkah kecil hari ini demi masa depan yang lebih sihat.