Jika anda hadir ke kenduri di bahagian selatan Malaysia, terutamanya di Johor, anda boleh menemui satu sajian unik yang disajikan kepada para tetamu iaitu telur pindang.
Kebiasaannya, telur pindang ini disajikan bersama nasi briyani ataupun nasi minyak – ini bagi memberikan satu gabungan yang lebih lengkap di dalam hidangan.
Apa Itu Telur Pindang?
Bagi yang mungkin baru mengenalinya, telur pindang ialah sejenis telur rebus tradisional yang diproses dalam masa yang lama, direbus bersama pelbagai herba dan rempah – sekaligus memberikan rasa dan warna yang sangat berbeza dari telur rebus biasa.
Di Malaysia, khususnya di negeri Johor, telur pindang adalah hidangan istimewa yang sering menjadi buah tangan dalam majlis perkahwinan atau kenduri.
Sejarah di Sebalik Telur Pindang
Telur pindang bukan sekadar makanan tetapi ia lebih daripada itu – yang mana ia boleh dikategorikan sebagai simbol budaya.
Di kebanyakan majlis perkahwinan tradisional Melayu, telur pindang dihidangkan kepada para tetamu sebagai tanda penghargaan dan restu kepada pasangan pengantin. Ia melambangkan harapan agar kehidupan pengantin baru ini akan penuh rezeki dan kebahagiaan.
Berbeza dengan telur rebus biasa, telur pindang dimasak bersama daun-daun herba seperti daun jambu, daun salam, daun ketumbar, kulit bawang dan serai. Melengkapkan rasanya juga adalah jintan manis, jintan putih, cili kering, bawang putih dan juga kicap.
Proses memasaknya mengambil masa hampir seharian – dan ada yang memasaknya sehingga dua hari untuk mendapatkan warna coklat gelap pada kulit telur dan rasa herba yang menyerap sepenuhnya ke dalam isi telur.
Apakah Rasa Dan Juga Khasiat Telur Pindang?
Bagi yang tertanya-tanya, apakah sebenarnya rasa telur pindang – ia sebenarnya memiliki rasa yang agak unik, sedikit berlemak dan juga mempunyai aroma herba yang kuat. Akan tetapi, rasa telur tersebut tidaklah berempah, walaupun ia dimasak sekali bersama herba.
Disebabkan ia dimasak menggunakan herba dan rempah, maka khasiatnya adalah sama dengan kebanyakan makanan yang dimasak menggunakan bahan yang sama. Antaranya:
#1 Kaya dengan Antioksidan
Herba yang digunakan dalam proses membuat telur pindang seperti daun salam, daun ketumbar dan serai kaya dengan antioksidan. Antioksidan penting untuk melawan radikal bebas dalam tubuh, membantu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kanser.
Antioksidan juga boleh memperlambat proses penuaan, menjadikan tubuh lebih sihat secara keseluruhan.
#2 Membantu Pencernaan
Herba seperti serai misalnya, diketahui membantu meredakan ketidakselesaan perut dan kembung. Oleh itu, pengambilan telur pindang di dalam hidangan bukan sahaja boleh mengenyangkan perut, tetapi juga membantu sistem pencernaan untuk mencerna makanan.
#3 Rendah Kalori tetapi Mengenyangkan
Telur secara umumnya adalah sumber protein yang baik dan rendah kalori, menjadikannya sesuai bagi mereka yang menjaga pemakanan tetapi ingin tetap merasa kenyang. Oleh kerana telur pindang dimasak tanpa minyak atau lemak tambahan, ia lebih sihat dan boleh dinikmati tanpa rasa bersalah.
Jadi, jika anda belum mencubanya, telur pindang biasanya boleh ditemui di pasar pagi di sekitar negeri Johor. Dan harga jualannya adalah sekitar RM2 untuk sebiji telur.