Dalam dunia teh, perbezaan antara teh daripada daun dan teh daripada bunga memberikan kita lebih banyak pilihan untuk menyesuaikan citarasa dan rasa yang diinginkan.
Dari teh hijau hingga chamomile, setiap jenis teh ini bukan sahaja mempunyai keunikan aroma dan rasa, malah turut hadir dengan manfaat kesihatan tersendiri.

Apa Itu Teh Daripada Daun?
Teh daun, atau teh yang berasal daripada daun merangkumi jenis teh seperti teh hijau, teh hitam, teh Oolong dan teh putih. Teh ini berasal dari daun tumbuhan Camellia sinensis yang mana untuk setiap jenis teh daun ini diproses secara berbeza – ada yang dikeringkan tanpa fermentasi, ada juga yang melalui proses fermentasi penuh.
Hasilnya, rasa teh daun boleh berbeza antara satu sama lain. Misalnya, teh hijau mempunyai rasa sedikit pahit dan beraroma herba, sesuai untuk mereka yang inginkan kesegaran dalam setiap hirupan.

Teh hitam pula memberikan rasa yang lebih pekat dan berani, sering menjadi pilihan mereka yang ingin menikmati teh dengan kandungan kafein yang sedikit lebih tinggi.
Manakala teh putih merupakan salah satu teh dengan rasa yang ringan. Disebabkan oleh prosesnya yang ringkas, teh putih dianggap sebagai teh premium yang dicari ramai penggemar.
Akhir sekali untuk teh Oolong, ia adalah jenis teh yang berada di antara teh hijau dan teh hitam dari segi tahap oksidasi. Dengan tahap oksidasi separa, teh Oolong menawarkan pelbagai profil rasa bergantung pada jenisnya – ada yang rasanya seakan teh hijau dengan rasa ringan, dan ada juga yang hampir seperti teh hitam, dengan rasa lebih dalam.
Apa Itu Teh Daripada Bunga?
Di sisi lain, teh bunga mempunyai sentuhan kelembutan dan aroma yang cukup berbeza. Teh seperti chamomile, melati, ros dan roselle dihasilkan dari kelopak bunga yang dikeringkan dan diseduh untuk memberikan rasa manis semula jadi serta aroma bunga yang menyegarkan.
Bagi yang mencari minuman untuk meredakan tekanan dan juga membantu tidur lebih lena, secawan teh chamomile adalah pilihan yang sangat baik. Ini kerana, ia mempunyai aroma yang lembut dan sedikit manis.
Sementara roselle pula memiliki rasa yang sedikit berbeza. Rasanya lebih pekat dan sedikit masam. Di dalam amalan tradisional, ia digunakan dalam perubatan semula jadi untuk membantu melancarkan penghadaman dan meredakan keradangan.

Teh melati pula adalah teh pilihan popular di Asia, khususnya di China, di mana ia sering dicampur dengan teh hijau. Aroma manis dan lembut bunga melati memberi rasa tambahan yang unik, menjadikan teh ini lebih harum dan menyegarkan. Teh melati juga dianggap membantu dalam mengurangkan tekanan dan meningkatkan suasana hati.
Akhir sekali, teh dari kelopak ros atau mawar tidak hanya cantik tetapi juga kaya dengan antioksidan dan vitamin C. Rasa teh mawar adalah sedikit manis dengan aroma yang elegan, sesuai untuk dinikmati sambil bersantai.

Kelebihan Teh Bunga
Selain menawarkan rasa yang ringan dan bebas kafein, teh bunga umumnya rendah kalori dan kaya dengan pelbagai nutrien yang baik untuk tubuh. Bukan itu sahaja, teh bunga juga boleh dinikmati secara panas atau sejuk, mengikut cita rasa masing-masing.
Jadi, mana satu pilihan yang sesuai untuk anda? Jika anda perlukan sedikit ‘boost’ di pagi hari, mungkin teh hijau atau teh hitam boleh menjadi teman baik anda. Tetapi, jika anda mencari ketenangan atau sekadar mahu menikmati petang yang santai, teh chamomile atau teh roselle boleh memberi pengalaman yang lebih lembut.