Jenama Kopi Johor Kini Ke Kuala Lumpur – Kopi Rakyat Menyajikan Variasi Pilihan Kopi Yang Menggunakan Biji Kopi Dari Johor

November 11, 2024
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Pernahkah anda mendengar tentang kewujudan jenama Kopi Rakyat di dalam industri kopi di Malaysia? Jika belum, tahukah anda bahawa Kopi Rakyat merupakan sebuah jenama tempatan yang berasal dari Johor memfokuskan penawaran kopi yang menggunakan biji kopi daripada negeri selatan tanah air itu.

Sebelum ini, jenama Kopi Rakyat ini telahpun membuka cawangannya di sekitar Johor Bahru – iaitu di Kampung Melayu Majidee, Toppen Shopping Centre dan juga Paradigm Mall JB.

Dan kini, jenama kopi ini mula memperluaskan penawaran mereka yang semakin popular menerusi pembukaan dua cawangan baru di Kuala Lumpur – iaitu NU Sentral dan juga MyTown dalam masa terdekat.

Bagi yang tidak begitu mengenali tentang Kopi Rakyat, jenama ini menawarkan kopi tradisional yang ditambah dengan elemen moden – sekaligus memberikan pengalaman kopi baharu kepada penggemarnya.

Selain daripada kopi tradisional yang menjadi kegemaran ramai, mereka juga menawarkan variasi minuman kopi moden yang sesuai untuk pelbagai selera.

Kopi Rakyat juga menawarkan minuman dengan harga yang berpatutan, menjadikannya pilihan popular di kalangan pencinta kopi yang mahu menikmati secawan kopi berkualiti tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.

Dengan pembukaan dua cawangan baru di Kuala Lumpur, Kopi Rakyat berharap agar dapat memperkenalkan jenama ini lebih lagi kepada penggemar kopi di seluruh Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd