Tahukah anda bahawa selain kempen kesedaran kesihatan wanita yang terutamanya berkenaan kanser payudara giat dilaksanakan pada bulan Oktober (Pinktober), terdapat juga kempen khusus berkenaan isu kesihatan lelaki dilakukan pada bulan November – dikenali sebagai Movember. Ketika kempen ini, ia memberi tumpuan kepada penyakit lelaki seperti kanser prostat dan kesihatan mental.
Akan tetapi, ini tidak bermakna hanya segelintir bulan sahaja yang perlu anda fokus tentang isu kesihatan. Masih terdapat keperluan sepanjang tahun untuk menangani penyakit lain seperti seperti sindrom metabolik (MetS) yang boleh mempengaruhi kualiti hidup dan kecergasan golongan lelaki.
Menjelang 2040, demografi Malaysia akan merangkumi pembahagian populasi yang hampir sama di antara populasi muda (18.6%) dan populasi warga tua (14.5%), dengan populasi warga tua melebihi enam juta rakyat.
Dan ini menunjukkan bahawa Malaysia bakal menjadi negara menua ataupun disebut sebagai ageing nation dalam tempoh masa akan datang. Apabila peralihan demografi ini berlaku, pengurusan MetS di kalangan lelaki menjadi lebih penting untuk mendorong penuaan yang sihat dan menyokong lelaki di sepanjang peringkat kehidupan.
Memahami Sindrom Metabolik (MetS)
Apakah itu MetS? Menurut Dr Radzi Rodzlan, Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), ia dicirikan oleh sekurang-kurangnya tiga daripada lima faktor risiko berikut:
- obesity perut (central obesity)
- serum trigliserida yang tinggi (mempunyai terlalu banyak lemak dalam darah)
- low high-density lipoprotein cholesterol (HDL-C) atau apabila seseorang tidak cukup “kolesterol baik” dalam darah mereka
- tekanan darah tinggi
- paras gula darah semasa berpuasa yang tinggi

Secara umumnya, MetS boleh memberi kesan kepada lelaki dan wanita. Kajian menunjukkan bahawa prevalens keseluruhan MetS di kalangan orang dewasa di Malaysia terletak antara 25 hingga 40%.
Untuk pengetahuan anda juga, MetS biasanya dikaitkan rapat dengan peningkatan usia, di mana risiko untuk mengalaminya meningkat seiring bertambahnya usia.
Selain itu, sejarah diabetes peribadi atau keluarga turut memainkan peranan penting, terutama bagi wanita yang pernah mengalami diabetes semasa mengandung (GDM) atau bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan diabetes jenis 2.
Faktor lain yang turut menyumbang kepada risiko MetS termasuklah:
- tabiat pemakanan tidak sihat
- merokok
- sejarah pengambilan alkohol berlebihan
- tekanan
- menopaus
- pengambilan diet tinggi lemak dan gaya hidup yang kurang aktif.
Beliau turut menegaskan bahawa MetS boleh meningkatkan risiko untuk menghidap diabetes jenis 2 serta penyakit kardiovaskular, yang akhirnya boleh menyebabkan serangan jantung atau strok.
Masalah Urinari Dalam Kalangan Lelaki
Menurut Dato’ Dr Selvalingam Sothilingam, Pakar Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik daripada SMCV, kini semakin banyak bukti saintifik yang menunjukkan bahawa lelaki yang menghidap MetS berisiko tinggi untuk mengalami masalah urinari yang sederhana hingga teruk apabila usia mereka meningkat

Antara jenis penyakit urologi yang berlaku disebabkan MetS adalah seperti batu karang, benign prostatic hyperplasia (BPH) atau pembesaran prostat, gejala yang berkaitan dengan masalah saluran kencing, pundi kencing, prostat dan uretra (LUTS), mati pucuk, masalah ketidaksuburan lelaki dan kanser prostat.
Gejala yang berkaitan dengan masalah urinari atau umumnya dirujuk sebagai LUTS selalunya disebabkan oleh BPH. Gejala-gejala tersebut termasuk kelewatan untuk memulakan buang air kecil (teragak-agak untuk membuang air kecil), aliran air kencing yang lemah, pengosongan pundi kencing yang tidak lengkap, tidak boleh menahan kencing atau kerap kencing serta tidur yang terganggu akibat sering kencing pada waktu malam (nocturia).
Pesakit yang mengalami gejala seperti di atas digesa untuk mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin, terutamanya jika mereka mempunyai tahap bacaan ujian Antigen Spesifik Prostat (PSA) yang tinggi.
Jika tidak dirawat, BPH dikaitkan dengan pelbagai komplikasi seperti jangkitan saluran kencing, darah dalam air kencing, masalah kencing terhalang yang teruk, inkontinensia kencing atau sering terkucil, kerosakan buah pinggang dan kencing pada waktu malam di atas katil.
BPH juga boleh menyebabkan masalah pada buah pinggang yang membawa kepada pembengkakan buah pinggang (hydronephrosis) dan dalam kes yang serius, ia boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang. Keadaan ini sering dirujuk sebagai masalah buah pinggang yang kronik dan lelaki akan mengalami tekanan darah tinggi, kedua-dua kaki bengkak, dan sering mengalami kencing malam (nocturnal enuresis).
Dato’ Dr Selvalingam menekankan kepentingan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, kerana pengesanan awal adalah kunci dalam mencegah komplikasi lanjut yang disebabkan oleh MetS dan masalah urinari.

Apakah Rawatan Untuk Masalah Urinari Dalam Kalangan Lelaki?
Sekitar 80% lelaki dengan BPH boleh berjaya dirawat dengan ubat. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini perlu diambil untuk jangka masa panjang.
Lelaki yang mengalami komplikasi daripada BPH mungkin memerlukan pembedahan seperti TURP (Transurethral Resection of Prostate) yang merupakan sejenis prosedur urologi yang dilakukan untuk membuang tisu prostat untuk merawat uretra yang tersumbat, atau rawatan invasif minimal seperti REZUM (Water Vapor Therapy of Prostate) yang merupakan sejenis prosedur tanpa pembedahan yang menggunakan wap untuk mengecutkan prostat yang membesar.
Kesan MetS Terhadap Kesihatan Buah Pinggang
MetS boleh mengakibatkan perubahan ketara pada struktur dan fungsi buah pinggang. Dr Radzi berkongsi yang mana perubahan ini termasuk penurunan kadar penapisan glomerular (GFR) yang merupakan pengiraan untuk mengukur sejauh mana buah pinggang seseorang berfungsi dalam menapis sisa dan cecair tambahan daripada darah mereka. Selain itu, MetS juga berupaya menyebabkan peningkatan mikroalbumin kencing yang menunjukkan terdapat kebocoran protein dari buah pinggang.
Perubahan dalam fungsi buah pinggang sebegini boleh menyebabkan penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang teruk, termasuk penyakit buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang.
Dr Radzi seterusnya menekankan bahawa gejala awal dan tanda-tanda masalah buah pinggang yang dikaitkan dengan MetS termasuk:
- bengkak kaki
- air kencing berbuih
- bacaan ujian yang tidak normal untuk ujian darah dan air kencing
Untuk mengelakkan perkembangan CKD, beliau menekankan kepentingan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dengan kerap kerana pengesanan awal adalah penting untuk mengelakkan komplikasi lanjut yang berkaitan dengan MetS.
Selain itu, kedua-dua doktor pakar daripada SMCV ini menggalakkan orang ramai untuk melakukan perubahan gaya hidup seperti bersenam dengan kerap untuk memerangi masalah rintangan insulin dan mengamalkan diet yang dapat menyihatkan jantung dengan mengelakkan pengambilan jumlah karbohidrat yang berlebihan kerana ia boleh merangsang pengeluaran insulin yang berlebihan.
Langkah-langkah proaktif seperti ini boleh meningkatkan tahap kesihatan keseluruhan dengan ketara dan mengurangkan risiko untuk mendapat masalah berkaitan buah pinggang.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).